Di tengah hiruk-pikuk pelbagai isu, saya sedar bahawa isu seks mempunyai tempat yang besar dalam perhatian masyarakat di Malaysia.
Dalam politik, ia menjadi senjata paling ampuh untuk mana-mana pihak menjatuhkan lawan masing-masing. Soal benar atau tidak berlaku itu satu hal lain. Pokoknya, mereka tahu bahawa kesalahan berkaitan seks adalah pengakhiran kerjaya politik yang lebih cerah kerana umumnya masyarakat akan menolak kesalahan berkaitan seks.
Dalam ekonomi, lambakan pusat hiburan turut dijadikan isu. Sama ada ia pusat hiburan haram atau berdaftar itu soal lain. Di sana, selain hiburan biasa, ada yang melihatnya sebagai sumber pergaulan tidak terbatas dan akhirnya mendorong kepada seks.
Dalam aspek sosial, kita tahu pernah ada isu pengajaran seks di sekolah rentetan daripada isu seks bebas di kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah.
Beberapa waktu kebelakangan ini, ada dua isu timbul – buku Seks Islam yang ditulis oleh Kelab Isteri Taat Suami dan isu Seksualiti Merdeka. Buku tersebut dan festival Seksualiti Merdeka telah diharamkan. Malah, kehadiran Elton John untuk menghiburkan hadirin juga dibantah dengan justifikasi orientasi seksnya.
Ya, seks adalah sesuatu yang taboo di Malaysia meskipun iklan berkaitan ubat kuat seks boleh ditemui di banyak tempat. Pada hemat saya, sikap taboo ini mempunyai sisi baik dan buruk.
Ia baik jika sikap taboo itu boleh menjadi pendinding untuk menjaga kehormatan diri. Namun, ia boleh menjadi buruk jika akhirnya ilmu pengetahuan berkaitannya tidak ada, dan pada tahap yang paling buruk, menjadi punca hilangnya kehormatan diri.
Saya memilih untuk meninjau wacana yang bergerak, khususnya dalam isu Seksualiti Merdeka yang dibantah ramai. Namun, ada juga terselit sejumlah kenyataan yang neutral dan positif berkaitannya. Di samping itu, ternampak ada juga pihak yang cuba untuk score political points daripada isu ini.
Sebenarnya, saya sudah menjangka bahawa isu ini lambat laun akan masuk ke ruang awam di Malaysia. Namun, saya tidak menjangka bahawa ia akan berlaku lebih awal memandangkan saya berpendapat wacana tentang moral tidak pernah dibincangkan tuntas tetapi mengalami nasib yang sama seperti banyak isu lain – akhirnya ia ‘dimatikan’ melalui kekuasaan. Begitulah lazimnya pergerakan isu di Malaysia.
Tanda keculasan ini nampak lebih ketara apabila ada yang wewenang mengaitkan masalah ini dengan soal kebebasan ala Barat, seolah-olah Barat itu tunggal dan tidak rencam. Jika mereka tahu bahawa isu kecenderungan seks sejenis itu telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, bahkan turut menjadi perdebatan hangat di Barat yang mereka tuduh itu, tentulah tindakan kurang cerdik untuk melonggokkan dakwaan hak asasi itu kebebasan ala Barat tidak dibuat. Malah, untuk mengatakan kebebasan di Barat itu tidak terbatas juga adalah satu kenyataan simplistik yang menggambarkan pengungkapnya bersikap semberono tentang Barat.
Kita tidak perlu pergi ke Barat untuk tahu tentang persoalan homoseksual di sana. Cukup jika kita meluangkan masa dan menggunakan enjin carian internet untuk membacanya. Jelas, isu ini juga menjadi keperihatinan mereka. Setakat pembacaan saya, perbezaan ketara yang boleh ditemui ialah pendekatan dalam menanganinya. Malah, saya berani mengatakan isu ini dibincangkan lebih meluas dan tersusun.
Saya percaya jika seseorang itu benar terdidik, mereka akan tahu bahawa kehormatan diri perlu dipelihara. Bagi seorang muslim, hukumnya jelas. Bukan sekadar hubungan sejenis, hubungan lelaki dan wanita juga ada batasnya. Tidak timbul isu ‘haram tetap haram’ kerana ia memang diakui dan tidak dibantah. Menganggap seorang muslim lain tidak mengetahui hukum tentang ini adalah satu persepsi yang boleh dikatakan kurang matang.
Isunya bukan hukum tetapi pendekatan menanganinya. Saya berpendapat tindakan undang-undang dan kenyataan hukum saja tidak memadai. Nampak sangat mudah bila hanya perlu melakukannya tanpa berinteraksi dengan falsafah di sebaliknya dan realiti sebenar. Tambahan pula, kerumitan boleh berlaku apabila hukum (dalam konteks ini merujuk kepada Islam) mahu digunakan kepada mereka yang tidak percaya kepadanya.
Berapa ramai di kalangan kita telah berusaha mendekati dan memahami mereka? Berapa ramai yang pernah bersuara jika ejekan, hinaan atau didiskriminasi dihamburkan dalam hal-hal yang tidak ada kena mengena dengan orientasi seks mereka?
Ya, kita bimbang kerana jika pembelaan itu nanti dinilai ramai sebagai satu kecenderungan menyokong orientasi seks mereka dan seolah-olah menggalakkannya. Logik mudah yang mahu dipakai ialah jika A membela B, maka A bersetuju dengan B dalam semua perkara. Apa yang tidak difahami ialah sekiranya A mempunyai pandangan tertentu berkaitan B secara peribadi, A tidak semestinya memaksa pandangan itu sebagai pandangan umum, apatah lagi menggunakan kekuasaan untuk itu. Kekuasaan sepatutnya melindungi yang lemah daripada terus ditindas. Oleh kerana kita bimbang, kita lebih rela melihat tekanan majoriti itu dibiarkan tanpa berusaha memisahkan tindakan yang betul dan salah, mencari apa yang lebih baik selain maki hamun.
Dalam kes Seksualiti Merdeka, saya yakin bahawa mereka adalah kelompok minoriti. Mereka berhak bersuara dan saya berhak mendengar tanpa perlu bersetuju dengan mereka. Boleh jadi ada isu yang dibangkitkan mereka itu mempunyai keabsahan. Jika mereka melakukan pertemuan di ruang tertutup untuk menyedarkan masyarakat tentang diskriminasi dan juga penindasan yang mereka hadapi, wajarlah kita memberi perhatian. Mengakui mana-mana isu yang absah dibangkitkan tidak menjadikan kita bersetuju dengan orientasi seks mereka.
Sebenarnya, persoalan seks tidak perlu dibawa ke ruang awam. Ini terpakai dalam mana-mana kes sekalipun. Sekiranya ia mahu dibawa ke ruang awam, maka ruang awam yang mengandungi pelbagai kelompok itu berhak menyuarakan fikiran dan perasaan mereka, dengan syarat ia berlangsung secara aman.
Sepatutnya tidak timbul kebimbangan isu ‘aksi tidak senonoh’ mereka di ruang awam kerana saya percaya sebagai masyarakat yang mementingkan moral, ‘aksi tidak senonoh’ mana-mana pihak di ruang awam wajar ditegur, tanpa menunggu kekuasaan untuk bertindak bagi pihak kita. Saya yakin jika masyarakat berani mengambil tanggungjawab ini, lambat laun masyarakat akan lebih jelas dengan isu ruang awam dan ruang persendirian yang nampak begitu kabur di Malaysia.
Sambil saya mempercayai pendekatan dakwah dan sains perlu digunakan terhadap kelompok ini, pendekatan sama juga perlu diajar kepada mereka yang wewenang menganggap tindakan diskriminasi itu betul dan baik.
Saya yakin bahawa cadangan yang diberikan ini sebenarnya tidak mudah untuk dilaksanakan. Bagaimanapun, itu tidak beerti ia tidak boleh dibincang lanjut. Bagi yang berdepan dengan masalah orientasi seks dan ingin berubah, ketahuilah ramai di luar sana yang mendoakan anda berubah meskipun mereka sendiri buntu untuk memberitahu apakah langkah terbaik yang patut diambil. Bagi yang gembira dengan orientasi seks sejenis, ketahuilah bahawa anda berhak dilayan dengan adil sebagai individu dan berusahalah untuk menghormati ruang awam dalam apa juga tindakan.





No Comments » 