PADA bulan Jun lalu, saya sempat mengikuti Simposium Tasik Shah Alam 2010 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Kebetulan saya kembali bekerja selepas bercuti kahwin.
Sebenarnya simposium ini dianjurkan sempena 25 tahun Taman Tasik Shah Alam dibina. Apa yang menarik dalam simposium ini ialah penyertaan Encik Fumiaki Takano daripada Takano Landscape Inc., Jepun, orang yang bertanggungjawab merekabentuk Taman Tasik Shah Alam dulu.
Selain beliau, simposium ini juga turut disertai oleh Profesor Galen Cranz daripada Universiti California di Berkeley; Dr Tan Wee Kiat, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NPaks Singapura dan Datuk Ishak Ariff, mantan Ketua Pengarah Perancangan Bandar Malaysia.
Peserta dalam program ini terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan sama ada mahasiswa dan pensyarah di peringkat universiti, pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta para profesional yang bekerja dalam bidang perancangan rekabentuk ini.
Simposium ini menelusuri aspek sejarah di mana peserta didedahkan dengan proses perancangan dengan latar belakang sosio-ekonomi pada waktu Taman Tasik Shah Alam mula direkabentuk dan dibangunkan.
Aspek ini penting kerana memang dalam banyak hal, dokumentasi seperti ini jarang dibuat di negara kita dan jika ada sekalipun, ia tidak disimpan kemas. Sebab itu bila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim bercakap tentang geran untuk penyelidikan Lembah Bujang, saya fikir ia adalah sesuatu yang baik untuk diteliti.
EVOLUSI & SUMBANGAN TAMAN
Dengan mengenali evolusi perkembangan Taman Tasik Shah Alam misalnya, berasaskan latar belakang persekitaran sewaktu ia dibina dan tahun-tahun berikutnya, kita dapat mengenali corak perkembangannya terutama dalam aspek keterkaitan dengan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat dan negara.
Kita tidak boleh menolak sumbangan taman dalam meningkatkan nilai hartanah setempat. Tasik sebagai elemen lembut dalam pembinaan landskap mempunyai kaitan rapat dengan psikologi manusia.
Namun, selaras dengan itu juga, aspek penyelenggaraan taman menjadi isu kritikal yang perlu disantuni. Tidak lama dulu, saya pernah menulis tentang pengurusan taman dan hutan lipur di Malaysia yang secara umumnya boleh dikatakan lemah. Pada hemat saya, ia lemah kerana beban kos yang tinggi di samping terhadnya tenaga kerja dalam sektor kerajaan untuk menguruskan sepenuhnya hal ini.
Meski pun ada contoh taman dan hutan lipur yang berjaya diuruskan oleh pihak swasta atau agensi kerajaan, saya fikir keunikan setiap kawasan memainkan faktor penting kerana apabila ia terkait dengan soal kos, ia adalah satu persoalan yang rumit.
Sebelum ini, saya ada menulis tentang enam fasa pengalaman rekreasi yang patut difikirkan oleh mereka yang merancang dan merekabentuk taman. Untuk tulisan ini, saya mahu berkongsi aspek lain berkaitan taman iaitu ekosistemrekreasi.
TIGA ASPEK EKOSISTEM REKREASI
Ekosistem rekreasi melibatkan tiga aspek utama iaitu (i) Sumber – sama ada sedia ada atau kemudahan yang dibangunkan, (ii) Matlamat dan Objektifpihak pengurusan dan yang terakhir (iii) Kehendak dan Kemahuan Pengguna.
Ekosistem rekreasi adalah kombinasi aspek sains tulen, sains sosial dan seni. Sebab itulah saya selalu merasakan pengalaman belajar di Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan pengkhususan dalam bidang Taman dan Rekreasi adalah satu pengalaman yang cukup bermakna meskipun ia mungkin bukan sebuah kursus popular.
Pada saya, ia banyak mematangkan fikiran untuk melihat kehidupan berbanding belajar untuk sekeping kertas bernama Ijazah.Sebagai seorang yang dilatih dalam bidang ini, saya gembira mendengar pembentangan daripada Puan Noor Azlin Yahya dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Puan Asmah Yahaya dari Perbadanan Putrajaya.
Sejak dulu, saya dapati orang ramai lebih mengenali FRIM berbanding agensi kerajaan yang lain. Kertas kerja yang dibentangkan Puan Noor Azlin Yahya menarik kerana ia menerangkan hampir seluruh fungsi hutan bandar dalam konteks pemeliharaan dan pemuliharaan.
KONSEP HUTAN BANDAR
Hutan bandar adalah satu konsep yang mungkin baru di Malaysia, meskipun tidaklah terlalu baru secara akademiknya. Paling tidak, di Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia itu sendiri kepakarannya masih boleh dianggap terhad. Saya fikir, jika negara kita atau mana-mana negeri berhajat untuk mengetengahkan idea Pembangunan Hijau, aspek hutan bandar adalah elok untuk ditekuni.
Saya sempat berbual dengan Puan Asmah. Rupanya beliau kini melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama seperti saya – Pengurusan Taman danRekreasi, dan beliau juga orang Perlis! Pembentangan Puan Asmah adalah berkisar tentang perancangan dan rekabentuk taman untuk pengguna.
Sepanjang pembentangan dan perbualan dengan beliau, saya dapat mengesan bagaimana terujanya beliau dengan dinamika perancangan dan rekabentuk taman melalui perspektif pengguna. Apa yang lebih penting daripada kertas kerja beliau ialah bagaimana semua pihak yang terbabit harus bekerjasama memberikan input kepada perancangan dan rekabentuk taman. Adakalanya perancang dan juga kontraktor yang membangunkan kawasan adalah pihak yang berbeza. Ini boleh menyebabkan kualiti perancangan tadi merosot disebabkan faktor pembangunan yang tidak menepati tema serta objektif sebenar perancangan asal.
Jenis-jenis pokok yang ditanam juga perlu diketahui oleh penyelenggara taman. Saya pernah ditanya tentang pokok yang harus ditanam di bandar untuk mengurangkan pencemaran oleh gagak di samping memanggil sejumlah spesies burung lain untuk menjadikan suasana bandar lebih menarik.
Ya, dalam perbincangan simposium tersebut, isu pencemaran disebabkan oleh burung yang menjatuhkan buah daripada pokok-pokok di kawasan taman juga disebut. Apapun, dalam dunia kreatif, saya percaya “yang terbaik sentiasa boleh ditambahbaik”. Cuma, janganlah kerana penambahbaikan itu sentiasa boleh dilakukan, kita mengambil sikap tidak apa dan tidak mencuba yang terbaik.
–
Tulisan ini pernah disiarkan di kolum saya di MStar Online.





