Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Profesor A. Murad Merican, Profesor Ilmu Kemanusiaan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan juga Profesor Dr. Dzulkifli Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) kerana sudi berkongsi pandangan mereka tentang Universiti melalui tulisan “Universiti Kita Ketandusan Idea” dan “Universiti: Mencari Kebenaran” yang disiarkan di Utusan Malaysia, keluaran 4 Oktober dan 12 Oktober yang lalu.
Pendorong perubahan
Persoalan universiti memang menjadi minat saya. Sebagai seorang budak kampung, saya diasuh untuk melihat Universiti sebagai medium pengubah nasib diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Pemahaman ini mempunyai keabsahannya tersendiri. Ini tentulah dinisbahkan kepada fungsi ilmu dan kemahiran yang patut diperolehi untuk meletakkan kemuliaan insan di tempat sepatutnya.
Alangkah bersyukur dan gembiranya saya ketika mendapat tawaran masuk ke universiti dulu. Meskipun tawaran kursus yang diberikan tidak sama seperti yang dipohon, saya tetap hadir mendaftar sebagai seorang mahasiswa jurusan Diploma Perhutanan pada waktu itu. Belajar dalam bidang yang dianggap ‘tidak popular’, saya tekad untuk cuba menyesuaikan diri dan mendapatkan yang terbaik daripada ilmunya. Hanya menjelang tahun akhir, saya merasakan ia bermakna, sekaligus telah mendorong saya untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat Sarjana Muda.
Semasa pengajian di peringkat Sarjana Muda inilah, saya menawarkan diri dalam kempen pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan agenda “Ke Arah Universiti Kelas Pertama”. Pada waktu itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) giat mendorong misi Pengantarabangsaan Universiti. Sayangnya, pendekatan yang mahu diambil hanya cenderung memenuhi kriteria penarafan kedudukan (ranking) universiti di dunia.
Dalam pidato kempen pemilihan MPP ini, antara lain telah saya tegaskan, Universiti harus memainkan peranan mendorong masyarakat berpengetahuan (knowledge society) dan bukan sebaliknya. Hujah asasnya mudah: para pensyarah dan jumlah besar mahasiswa bergelut dengan ilmu. Jika penggerak universiti ini tidak berada di barisan hadapan mengungguli wacana, lambat laun universiti hanya akan menjadi kilang mencetak kertas bernama ijazah dengan nilai yang sama seperti sijil sekolah.
Mencari kebenaran sebagai produk dan proses
Memang, pasca krisis-politik 1998 yang mendorong munculnya apa yang disebut sebagai Gerakan Reformasi itu telah menjadikan suasana di universiti itu “tenang di permukaan dan berkocak di dalam”. Tempias krisis politik nasional telah merebak ke kampus. Keluarga di kampung cukup risau apabila saya menyatakan keinginan menjadi seorang “aktivis mahasiswa”. Idealnya, saya membayangkan sumbangan kepada masyarakat dalam banyak bentuk. Namun, gambaran yang ada pada mereka ialah “penjara”!
Ya, pada usia muda dengan gelar mahasiswa, ianya cukup untuk dikaitkan dengan “idealisme”. Sebenarnya, setakat yang saya tahu, pada fikiran aktivis mahasiswa itu tidak jauh beza dengan pandangan Profesor Dr. Dzulkifli – bahawa tugas hakiki Universiti ialah untuk mencari kebenaran.
Ia bukanlah satu pandangan baru. Profesor Awang Had Salleh pernah mengutarakan hal yang sama kira-kira 15 tahun lalu. Beliau mengatakan bahawa Universiti adalah sebuah institusi yang (sepatutnya) menggalakkan penghuninya menjalankan dua fungsi klasik, iaitu mencari kebenaran, dan memperbaharuinya melalui tindakan mempersoalkan kembali kebenaran yang dianggap sudah mantap. Untuk saya, kenyataan ini boleh difahami dalam pengertian bahawa kebenaran itu bukanlah sekadar produk semata-mata, tetapi juga melibatkan proses.
Dalam menterjemahkan maksud ini, “aktivis mahasiswa” umumnya percaya bahawa semangat kebebasan dan keadilan mesti wujud di persekitaran universiti. Melalui nilai kebebasan, tindakan mempersoalkan kembali kebenaran yang dianggap sudah mantap itu dapat berlaku. Dengan nilai keadilan, proses menemukan kebenaran dan mempersoalkannya ini dapat berlangsung dengan tertib. Tanpa kebebasan, proses ini sukar berlaku kerana wujud kecenderungan untuk para pensyarah menafikan proses pencarian kebenaran oleh para mahasiswa. Bagi mereka, mahasiswa tidak layak menyoal dan hanya perlu mendengar dan mengikut kerangka pemahaman yang mereka persetujui. Saya berani mengatakan bahawa tidak sedikit mahasiswa yang terhukum dengan pendekatan ini disebabkan kuasa memberikan markah ujian dan peperiksaan itu ada pada pensyarah.
Sebenarnya, banyak lagi alasan yang boleh diberikan untuk ‘memaksa’ mahasiswa hanya menurut pensyarah. Pada tahap tertentu, jawapan ujian atau peperiksaan yang perlu diberikan oleh mahasiswa itu mestilah sama seperti edaran nota kuliah atau paparan slaid di dewan kuliah! Saya tidak pasti, barangkali pensyarah jenis ini mahu berkata kepada para mahasiswa agar “jangan tunjuk pandai!”.
Tanpa menafikan kelayakan, pengetahuan serta pengalaman para pensyarah, proses yang dinafikan ini telah, sedang dan akan membantutkan proses mencari kebenaran dan memperbaharuinya itu tadi.
Saya meyakini bahawa proses mencari kebenaran dan juga memperbaharuinya itu telah wujud lama sebelum adanya universiti. Bahkan, semangat mencari kebenaran itulah yang mendorong penubuhan universiti pada asalnya sebelum ia berkembang pesat dan membentuk banyak fakulti pengajian, institusi penyelidikan dan jabatan untuk setiap pengkhususan, sesuai dengan sifat ilmu yang luas itu. Proses mencari kebenaran ternyata tidak mudah! Dengan wujudnya kepelbagaian disiplin ilmu ini, tuntutan kebebasan dan keadilan itu menjadi lebih bermakna.
Pengkhususan bidang
Fenomena ini pada satu tahap telah mewujudkan apa yang ditulis oleh Jose Ortega y Gasset dalam the Revolt of the Masses sebagai kebiadaban pengkhususan (the barbarism of specialization). Fenomena ini juga boleh difahami melalui the Report of the Harvard Committee on General Education in a Free Society yang menyebut: walaupun pengkhususan diperlukan, ia tidak mungkin menjadi asas yang sama untuk semua orang dalam sesebuah masyarakat. Justeru, pendidikan umum sebagai ilmu asas seperti kemahiran berfikir, menggunakan rasional dan saintifik disaran sebagai penekanan untuk pembangunan manusia.
Tidak sekadar itu, mendiang John Henry Newman yang pernah menjadi Presiden Universiti Katolik di Dublin misalnya, pernah menegaskan bahawa pertumbuhan intelek itu tidak wajar bergantung kepada penambahan pengetahuan semata-mata, tetapi bagaimana pengetahuan ini diolah mengikut keupayaan rohani kita. Saya fikir, kenyataan ini tentulah besar maknanya. Ia sangat dekat dengan saranan Profesor A. Murad Merican yang menjelaskan satu keperluan menggiatkan lagi pengajian ilmu sains sosial dan kemanusian, termasuk falsafah.
Selain itu, saya yakin beliau turut memaksudkan pengajian agama yang telah sedia bercambah di Malaysia. Lebih menarik, beliau turut menekankan persoalan tunjang universiti-universiti terbaik di dunia ialah penerbitan dan kegunaan ilmu, pemikiran dan kemahiran bagi penerokaan alam-alam yang wujud, menangani dan menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dan peningkatan taraf hidup. Tegas beliau, “kesedaran, iltizam dan keupayaan kita menyedari falsafah sedemikian tidak terlihat dalam wacana-wacana yang sepatutnya terbit dari universiti-universiti tempatan”.
Pengaruh luar
Mengambil maksud semangat ini, kita juga wajar meraikan realiti kewujudan pelbagai kepercayaan. Maksud saya di sini, ciri klasik universiti sebagai pencari kebenaran dan memperbaharuinya itu tidak dapat mengelak daripada pengaruh luar.
Pernah sekali saya ditemuduga oleh jawatankuasa pemilih tutor di fakulti pengajian saya. Soalan yang ditanya ialah “apakah cabaran utama universiti pada masa kini?”. Jawab saya: Universiti harus menggiatkan penyelidikan bermutu dan menyebarkan pengetahuan tinggi.
Ini bukanlah sesuatu yang baru kerana memang antara peranan utama universiti, selain mengajar, ialah membuat penyelidikan dan pengembangan. Cuma, saya turut menjelaskan kepada jawatankuasa tersebut, realiti semasa telah memunculkan sejumlah institusi penyelidikan yang lebih khusus sasaran penemuannya serta lebih cepat analisis dan dapatannya. Berbeza dengan universiti, kajian yang dibuat sering lewat penerbitannya dan dianggap “tidak cukup relevan” dengan keperluan pelbagai pihak. Suka atau tidak, dengan kepesatan arus moden, sesetengah dapatan kajian itu mungkin hanya boleh digunakan dalam tempoh singkat disebabkan cepatnya proses penemuan baru dalam perkara yang sama. Saya tegaskan bahawa tidak mustahil suatu hari nanti universiti menjadi tidak relevan lagi!
Pernah saya usulkan kepada beberapa pensyarah di fakulti pengajian agar setiap seorang daripada mereka menulis satu hingga dua artikel di media massa supaya pada setiap minggu dalam setahun, ada perkongsian pengetahuan berkaitan bidang pengajian kami. Jawapan berseloroh yang saya perolehi: “markah untuk tugasan tersebut kecil untuk kenaikan pangkat”.
Justeru, saya dengan rasa hormat ingin menyatakan fikiran tidak setuju terhadap gambaran yang cuba ditonjolkan oleh Profesor Dr. Dzulkifli Razak, bahawa budaya konsumerisme itu telah mengheret universiti kepada perbincangan yang tidak perlu. Pandangan ini juga bukan baru. Ketika agenda Pengkorporatan Universiti, atau sebahagiannya menyebut Penswastaan Universiti, ia digambarkan seolah-olah satu dosa besar sehingga wacana tentangnya sukar berlangsung. Ia dianggap satu tragedi kerohanian dan budaya yang boleh membantutkan pendidikan.
Saya berpendapat kenyataan itu perlu disederhanakan. Secara tradisinya, pusat pendidikan itu memang didirikan atas semangat pasaran. Ia diwujudkan dengan semangat wakaf dan derma. Memang sejumlah kos itu perlu. Jika persoalan wang tidak penting, mustahil kita dapat mendengar permintaan para pensyarah untuk dinaikkan gaji dan permintaan masyarakat untuk memberikan biasiswa penuh untuk mahasiswa. Malah, kos penghantaran seorang mahasiswa di peringkat Sarjana Muda ke luar negara itu boleh menelan belanja antara 5 hingga 20 orang mahasiswa di peringkat pengajian yang sama di universiti swasta atau di universiti awam dalam negara.
Dalam konteks ekonomi, harga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam membentuk tingkah laku manusia. Bagi yang menghargai nilai wang, sepatutnya mereka menggunakan masa di universiti untuk belajar dengan tekun. Jika tidak, lebihan biasiswa mungkin dihabiskan di kelab malam.
Saya tidak pasti sama ada kita pernah sungguh-benar bertanya kepada diri sendiri, selain daripada apa yang kita minta diadakan, bagaimanakah proses untuk kita mengadakannya? Apakah upaya tanggungan kos ini oleh kerajaan?
Agenda pendemokrasian universiti adalah penting untuk dilaksanakan bagi membolehkan pengajian tinggi dimasyarakatkan. Peluang ini hanya mungkin dapat diluaskan, dengan mengambil kira faktor kos tadi, melalui agenda pengkorporatan atau penswastaan universiti. Apa yang perlu dibuat dalam hal ini ialah pembenaran persaingan. Satu artikel dalam majalah Guardian pada 4 September 2008 bertajuk “Privatisation of Higher Education Threatens Universities” jelas menunjukkan kesediaan ramai mengikuti pengajian di kolej swasta berbanding universiti awam disebabkan persaingan.
Kita harus berani mengakui bahawa memang terdapat institut pengajian tinggi swasta yang berkualiti tinggi dan mampu mengeluarkan graduan terbaik dalam bidang pengkhususan masing-masing. Saya yakin kita maklum bahawa memang ada kolej atau kolej universiti yang terpaksa ditutup kerana tidak ada sambutan belajar di sana. Dalam pengertian lain, ia bukan sahaja soal untung, malah mungkin rugi!
Selain daripada persoalan kos, kebebasan pasaran universiti juga dapat menjamin autonomi. Pernah saya bertanyakan seorang Profesor muda yang terkenal dan pernah menulis tentang autonomi universiti, kata beliau “autonomi sukar didapati kerana emolumen diberikan oleh kerajaan”. Jawapan ini, dalam maksud lain, untuk saya adalah satu bentuk ancaman kepada fungsi klasik universiti seperti yang dibincangkan di awal penulisan ini. Maka, pasaran mempunyai peranannya yang tersendiri untuk mengisi ruang vakum ini.
Kita harus berani mengakui, proses panjang mencari kebenaran itu sangat penting, namun tidak wajar dipaksakan kaedahnya. Dengan rancaknya keterlibatan para intelektual di pentas terbuka, proses mencari kebenaran dan memperbaharuinya itu akan lebih cepat mengambil tempat dalam membentuk paradigma pengajian tinggi yang ideal.
Memang, kebenaran yang disandarkan kepada ilmu itu sangat penting dan ilmu itu lebih bermakna apabila ia tidak terhenti di tingkat pengetahuan semata-mata, tetapi diterjemahkan dalam kenyataan sikap dan amalan.
Di sinilah selalunya ‘pergelutan’ timbul dalam diri seorang aktivis mahasiswa. Tatkala mereka merasakan apa yang diterima sebagai kebenaran itu perlu disuarakan dengan tanpa rasa takut, mereka masih dirantai dengan Akta dan juga hukuman ‘Napoleon kecil’ di kampus. Paling tidak, ada ahli akademik yang akan berkata “kita ini hanya mentimun, digolek luka menggolek pun luka”. Saya tidak tahu, pada waktu itu “di manakah nilai kebenaran dicampakkan?”.
–
Amin Ahmad, 28 ialah graduan Sains Perhutanan, mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan penerima Anugerah Naib Canselor 2006, Universiti Putra Malaysia. Beliau mengumpul koleksi tulisannya di www.AminAhmad.com..










jadi apa pilihan yang kita ada sekarang???
mencari kebenaran adalah satu proses yang sangat sukar. tiada markah tambahan untuk pencarian tersebut. cuma hanya menambah pengalaman sendiri sahaja