Paling tidak, saya fikir, mesej demokrasi kian meluas pasca pemecatan saudara Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sekaligus Menteri Kewangan Malaysia.
Mungkin saja keluasan itu dirasakan kerana saya menempuh awal usia sebagai anak muda. Saya yakin bahawa mesej demokrasi itu telah lama disuara-wacanakan di negara ini, hingga ada sebahagian kelompok masyarakat kuat berpegang bahawa ianya sesat malah boleh sampai menggugurkan aqidah seorang muslim!
Faham ini mungkin saja berpunca daripada konsep demokrasi – pemerintahan dasar kelompok majoriti (yang menang dalam Pilihan Raya). Ia membayangkan seolah-olah semua pihak wajib tunduk dan berserah kepada penguasa yang dianggap telah mempunyai keabsahan untuk berbuat apa sahaja. Untuk saya, ini sekaligus menunjukkan bahawa ada ruang yang perlu diisi bagi mendorong pemahaman rakyat berkaitan demokrasi dan saya menganggap forum awam anjuran Free Public Forum (FPF) yang membariskan Profesor Abdul Aziz Bari, pakar-aktivis perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saudara Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), saudara Hanipa Maidin, peguam yang juga aktivis Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan saudara Hishamuddin Rais, aktivis sosial terkenal di Malaysia adalah satu inisiatif yang cukup baik.
Saya sendiri telah mengambil bahagian untuk bertanyakan soalan kepada setiap ahli panel tersebut dan dilema yang dilontarkan kepada mereka masih ada di fikiran. Saya telah memberi komentar berkaitan pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang saya sifatkan sebagai satu inisiatif baik. Namun, selepas beberapa ketika, saya menemukan sejumlah rungutan lahir daripada proses tersebut. Justeru, saya mahu berkongsi pemahaman tentang demokrasi yang tentu saja boleh diulas- debatkan secara terbuka. Malah, tentu saja struktur ini boleh dilihat sebagai satu indikator untuk menilai komunikasi dan tingkah laku politikus atau parti politik tertentu.
Prinsip-prinsip demokrasi
Pertama, kata demokrasi itu sendiri bermaksud “pemerintahan daripada rakyat”. Ya, demokrasi meletakkan sumber autoriti keabsahan (source of legitimacy) pemerintahan itu kepada rakyat (dan boleh dibaca sebagai manusia). Ringkasnya, kuasa pemerintahan mana-mana pihak itu adalah melalui ‘izin’ yang diperintah.
Maksud ini ditunjukkan oleh satu sistem Pilihan Raya sebagai cara praktikal untuk menentukan siapa akan melaksanakan kuasa politik dalam negara dan tentunya kepada seluruh penduduk termasuk mereka yang dipilih. Melalui Pilihan Raya, prinsip persamaan (equality) ditunjukkan melalui kuasa undi yang sama, terlepas sama ada mereka mempunyai lambakan Ijazah Doktor Falsafah atau tidak pernah bersekolah sekalipun.
Pilihan Raya ini hendaklah dipastikan bebas dan adil. Semua rakyat boleh menjadi calon dan mengundi serta membuat kempen mereka secara terbuka. Asas sistem juga perlu diyakini adil dalam semua proses berkaitan Pilihan Raya, bermula dari mula pendaftaran sebagai pemilih sehingga kiraan dan keputusan rasmi daripada pemilihan tersebut. Selain itu, Pilihan Raya juga perlu dibuat secara berkala bagi membolehkan rakyat mempunyai kawalan terhadap pemerintah dan pemerintahan memandangkan sumber asal keabsahan pemerintahan ini adalah daripada rakyat.
Berdasarkan itu juga, proses pemantauan dan memastikan tingkah laku wajar oleh mereka yang dipilih itu mesti dan perlu dipastikan boleh dibuat. Ini termasuk menegakkan dasar yang sihat seperti Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) dan memansuhkan dasar yang tidak sihat misalnya Akta Hasutan. Rakyat mesti diberi ruang untuk mendapatkan pandangan kedua dan seterusnya kerana tidak ada satu sumber pun boleh dianggap mencukupi, termasuk sumber rasmi kerajaan. Dengan sendirinya, ini menjelaskan keperluan media bebas (press freedom) dalam sebuah kerajaan yang demokratik.
Kebebasan tidak terhad setakat itu. Memandangkan kebebasan merupakan satu landasan moral individual yang utama, hak-hak asas setiap individu (fundamental liberties) dijamin dan tidak boleh diganggu gugat. Ini termasuk antaranya hak untuk hidup, kebebasan bersuara, bebas berpersatuan, kebebasan beragama atau tidak beragama, bebas di ruang peribadi dan hak memiliki harta yang sah.
Semua kebebasan asasi ini juga adalah perlambangan ciri persamaan serta kemuliaan insan yang perlu dihormati oleh semua pihak. Saya fikir, kenyataan Frederic Bastiat cukup menarik untuk ditekuni. Menurut beliau: “nyawa, kebebasan dan harta tidak wujud kerana manusia manusia membuat undang-undang dan peraturan. Sebaliknya, adalah satu fakta bahawa kehidupan, kebebasan dan harta telah wujud lebih awal sehingga memerlukan manusia membuat undang-undang berkaitannya”.
Justeru, sebuah kerajaan (baca: kelompok yang dipilih untuk menggubal dasar, mentadbir dan memerintah) dipilih berasaskan falsafah dan fakta ini. Namun, tidak ada jaminan bahawa mereka yang dipilih itu faham dan akan bertindak selaras dengannya. Seringkali kuasa yang ada itu diluaskan untuk meningkatkan kawalan serta berlaku curang dan zalim.
Sebab itu, antara asas kenegaraan yang diperlukan ialah Perlembagaan. Ia adalah satu mekanisme penentuan bidang kuasa wajib pemerintah. Ia sekaligus menjadi satu mekanisme membataskan kuasa pemerintah. Ia adalah kerangka asas untuk memastikan sebuah kerajaan yang dipilih tidak akan wewenang mencabul hak-hak rakyat sebagaimana telah dijelaskan di atas. Untuk menguatkan lagi pembatasan kuasa pemerintah ini, kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman itu dipastikan terasing. Ini akan mendorong sebuah kerajaan untuk berfikir, bersuara dan bertindak secara demokratik dan bukan mengikut kemahuan atau keselesaan mereka atau kelompok majoriti semata-mata. Prinsip jaminan hak ini juga disebut sebagai majority rules, minority rights iaitu pemerintah majoriti dengan jaminan hak kepada minoriti. Dalam demokrasi, kelompok majoriti mempunyai hak tertentu dengan sendirinya.
Perlembagaan dengan prinsip-prinsip yang jelas akan sekaligus mewujudkan satu persekitaran dengan kepastian hukum di mana undang-undang yang digubal dan dilaksanakan terpakai untuk semua orang dan tidak ada mana-mana pihak berada di kedudukan melebihinya atau istimewa dengan maksud mendapat pengecualian tertentu disebabkannya.
Pemerintahan berasaskan hukum (the rule of law) adalah satu tanda ketamadunan yang tinggi kerana ia adalah asas untuk memastikan bahawa setiap pihak tidak akan ditindas dan mempunyai peluang yang sama dalam mencari kesempurnaan hidup.
Namun, demokrasi mempunyai cabarannya yang tersendiri. Saya selalu memetik peringatan oleh Reinhold Neihbuhr dalam karyanya, The Children of Light and the Children of Darkness: keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi perlu”. Ya, prinsip-prinsip demokrasi sering dicabul atas nama majoriti atau tindakan kolektif. Lebih malang, ia digambarkan lemah semata-mata untuk menjaga kepentingan tertentu – sama ada kedudukan tokoh, perlakuan curang atau yang lebih berbunyi rasional mungkin untuk kepentingan negara.
Perkembangan zaman telah menyaksikan bagaimana cadangan penambah-baikan telah dibuat dan dilaksanakan untuk meningkatkan lagi upaya memastikan semua prinsip-prinsip ini dilaksanakan sebaiknya. Oleh kerana wujudnya ruang kelemahan dalam konteks operasi demokrasi itu sendiri, negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman mempunyai sistem semakan kehakiman (judicial review) untuk memastikan Perlembagaan yang adil dan membebaskan itu diikuti.
Saya tertarik dengan penjelasan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari tentang sifat sebuah Perlembagaan yang demokratik itu adalah neutral dan tidak mewakili mana-mana ideologi politik. Saya melihat kenyataan ini pada kemunculan istilah demokrasi sosial dan demokrasi liberal. Perbezaan ini selalunya digariskan melalui pendekatan terhadap isu ekonomi. Lazimnya, pendokong demokrasi sosial mahu lebih banyak campur tangan kerajaan dalam apa yang sering disebut sebagai “agihan semula kekayaan” (redistribution of wealth) atau dalam istilah lebih halusnya “pengagihan keadilan” (redistributive justice). Bagi pendokong demokrasi liberal pula, campur tangan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi harus dielakkan, kecuali dalam hal ehwal penegakan hukum dalam kes seperti kecurian, penipuan kontrak dan sebagainya. Bastiat juga pernah menegaskan buruknya campur tangan kerajaan ini melalui ungkapan: “semua orang mahu hidup dengan biaya kerajaan, (sampai) mereka lupa bahawa kerajaan mahu hidup dengan biaya semua orang”. Pendokong demokrasi liberal meyakini bahawa kebebasan pasaran adalah satu bentuk sistem Pilihan Raya yang dilaksanakan pada setiap masa dengan rakyat berkuasa memilih ke mana kuasa membeli mereka akan disalurkan.
Dengan seluruh prinsip dan keterangan ini, saya berharap wacana demokrasi akan lebih teratur, diperhebatkan sebaran dan dokongan terhadapnya dan memanggil sejumlah penghujahan untuk mendorong masyarakat bergerak ke tingkat lebih tinggi melalui kekayaan pengetahuan bersandarkan nilai serta prinsip, sekaligus memadamkan kejumudan daya fikir, hujah dan amalan yang perlahan-lahan kian membungkus martabat insan.





