Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

1/1/2010 | Komen

Tulisan

Alam Sekitar

Teori Kuznet

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah membawa satu isu iaitu pertentangan cara berfikir yang wujud di kalangan aktivis alam sekitar dan juga pemikir ekonomi.

Ada kecenderungan yang besar di kalangan aktivis alam sekitar untuk menyalahkan pembangunan sebagai punca masalah alam sekitar di mana dakwaan ini ada kebenarannya pada tingkat tertentu.

Namun, dari perspektif lain pula, ia mungkin sebaliknya.

Perkara pokok yang mesti dinyatakan secara jelas di sini ialah; 1) dunia semakin panas dan 2) manusia memerlukan pembangunan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

Persoalannya, bagaimana dua objektif ini dapat dicapai?

Asas pemikiran aktivis alam sekitar biasanya bersandarkan cara berfikir mudah bahawa jika manusia berupaya memiliki lebihan kewangan, mereka akan membeli lebih barangan justeru ia mengakibatkan lebih banyak sumber alam untuk dikorbankan bagi keperluan ini.

Bunyinya amat menggerunkan. Ia seolah-olah menghalang manusia daripada meningkatkan produktiviti mereka untuk membina sebuah kehidupan yang lebih baik.

Sebenarnya, kita tidak wajar membiarkan pemikiran kita berada pada dua kutub ekstrim di mana ia bersifat “zero-sum games”. Titik pertemuan mesti dikenal-pasti.

Nicholas Sarkozy, Presiden Perancis pernah menyebut dalam satu sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan memakai istilah “Pertumbuhan Bersih” (Clean Growth) di mana kita tidak patut dihadapkan dengan pilihan sama ada menyelamatkan alam sekitar atau memilih pertumbuhan.

Apa yang perlu kita lakukan ialah menjana pertumbuhan dan menyelamatkan alam sekitar.

Beliau, pada masa itu mencadangkan pendekatan ekonomi baru diperkenalkan melalui pengurangan kadar guna tenaga dan juga bahan mentah.

Secara teorinya, graf loceng Kuznet telah dijadikan sandaran penting sejak awal 1990-an berkaitan dasar alam sekitar.

Graf loceng Kuznet ini dinamakan sempena pakar ekonomi, Simon Kuznet yang mula menemukan corak ini dalam ketidaksetaraan pendapatan.

Dua pakar ekonomi di Amerika Syarikat, Gene Grossman dan Alan Krueger pernah mengambil contoh berasaskan graf loceng Kuznet ini di mana mereka mendapati kadar sulfur dioksida di banyak bandar di dunia menurun selepas mereka mencapai kadar pendapatan median sebanyak AS$5,000-AS$8,000.

Mereka menambah bahawa kadar kesedaran orang ramai juga meningkat signifikan dengan kenaikan pendapatan mereka serta mereka juga mula beralih kepada teknologi mesra alam.

Bagaimanapun, berasaskan teori ini, kadar ‘pengorbanan’ alam sekitar akan meningkat sehingga ke tahap median kadar pendapatan sebagaimana yang dinyatakan.

Ini tidaklah bermaksud bahawa situasi alam sekitar bergantung semata-mata kepada wang, sebaliknya ia juga berkait langsung dengan urus-tadbir yang baik oleh kerajaan, kekuatan undang-undang, tahap pendidikan masyarakat dan sebagainya.

Tujuan saya membawakan isu ini ialah sempena meraikan debat hangat sempena Sidang Bangsa Bersatu di Copenhagen berkaitan isu Iklim.

Debat paling menonjol ialah antara mereka yang mendokong dasar perlindungan dalam ekonomi atas maksud mengawal iklim bumi sementara mereka yang mendokong pertumbuhan ekonomi pula cuba meyakinkan perwakilan bahawa dasar perlindungan bukan jalan keluar kepada masalah alam sekitar, tetapi dasar pro-pertumbuhan adalah pelengkap kepada usaha menjaga alam sekitar.

Yang menarik tentunya bila pakar ekonomi berbeza pendapat, antara lain kerana perang ideologi secara senyap di sebalik dasar ekonomi yang cuba diusulkan dengan menjadikan alam sekitar sebagai perisai.

Semasa sambutan Hari Bumi yang pertama pada 22 April 1970; pakar ekologi, Paul Ehrlich dan pakar fizik, John P. Holdren telah memperkenalkan satu teori yang membayangkan pertumbuhan adalah sesuatu yang buruk.

Teori ini dikenali sebagai I=PAT iaitu impak kepada alam sekitar berkadar langsung dengan pertambahan populasi serta pengaruh teknologi.

Jangan terkejut jika aktivis alam sekitar akan berani mencadangkan kepada anda bahawa untuk mendapat keadaan bumi yang baik, maka manusia perlu menghadkan kelahiran anak, jangan jadi terlalu kaya dan jangan terlalu menggunakan teknologi!

Teori ini diterima baik pada awal mula ia diperkenalkan. Namun, sebaik sahaja dunia memasuki era 1990-an, para penyelidik mula mendapati graf impak alam sekitar ini mendatar dan menurun, selari dengan pertumbuhan ekonomi sebagaimana yang dirumuskan melalui graf loceng Kuznet.

Banyak kajian mendokong teori yang ditunjukkan graf loceng Kuznet ini, kecuali kepada negara di mana jaminan hak pemilikan harta (property rights) lemah.

Sejak 1850, didapati corak penggunaan tenaga tidak berasaskan penggunaan karbon yang banyak telah berkembang secara konsisten.

Menurut Pengarah Program Persekitaran Manusia di University Rockefeller, Jesse Ausubel, peralihan sumber tenaga baru yang kurang menggunakan karbon akan lebih ketara dirasai pada 2060 atau 2070, berdasarkan corak yang ada.

Tentulah sukar untuk kita membayangkan bagaimana teori-teori yang ada dapat diterjemahkan secara pasti dalam realiti dunia pada hari ini.

Hakikatnya, dunia semakin panas dan dunia masih ramai mereka yang tidak punya keperluan asas untuk hidup.

Saya pernah terbaca berita menyatakan penyanyi dan pelakon, Zainal Abidin dan Maya Karin mahu menubuhkan sebuah parti politik yang memperjuangkan alam sekitar (mungkin ala Green Party di negara Eropah).

Saya pasti, Karam Singh Walia mungkin akan turut bersama menjadi jurukempen parti ini, jika benar ia menjadi kenyataan.

Namun saya harap mereka akan lebih bersedia, kerana isu alam sekitar bukan sekadar selapis, berkaitan sampah, air bersih dan sebagainya tetapi melibatkan perkiraan yang luas dan tentu saja memerlukan kedalaman hujah untuk menjadikan alam sekitar sebagai keutamaan dalam pertimbangan bicara massa.

Tulisan ini disiarkan di kolum saya, Alam di MStar pada 1 Oktober 2009.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.