Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

1/1/2010 | Komen

Tulisan

Alam Sekitar

Teknologi Hijau

Saya masih ingat pada tahun 1990-an, atau mungkin sebenarnya lebih awal (kerana saya mula bersekolah di darjah 1 pada tahun 1990!), agenda Pembangunan Mapan telah menjadi mantra dalam pengucapan pembangunan banyak pihak.

Agenda ini bagaimanapun agak semput berbanding agenda-agenda pembangunan apatah lagi bila Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur khususnya dilihat sebagai mercu tanda kemajuan negara.

Rakyat Malaysia pada waktu itu ternyata dahagakan pembangunan.

Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, tuntutan dunia yang semakin pantas hari ini terlalu banyak.

Kita boleh membaca tema-tema seperti “penyertaan gen-y dalam politik, urus-tadbir yang baik, penghapusan kemiskinan, demokrasi, kebebasan, keadilan dan sebagainya”.

Tanpa menafikan tuntutan-tuntutan lain, kelestarian alam sekitar sebenarnya boleh cocok dengan mana-mana tema yang dibicarakan.

Semasa baru menyambung pengajian dalam bidang Diploma Perhutanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya terasa begitu sunyi. Bidang pengajian ini menurut pensyarah saya ‘tidak glamour’.

Ya, dalam realiti orang-ramai bercakap tentang pembangunan, tentu saja ramai anak muda yang mahu jadi teknokrat dan profesional. Siapa mahu habiskan masa ‘bermain dengan pokok’?

Rakan-rakan di kampus berkongsi ‘rasa rendah diri’ yang sama apabila pulang ke kampung kerana yang ditanya oleh rakan-rakan lain, bekas guru dan keluarga terdekat termasuk jiran-jiran ialah “kau belajar pasal pokoklah ya?”.

Hanya tidak lama selepas itu, kami belajar tentang teknologi Sistem Informasi Geografi (GIS) di mana ia melibatkan teknologi satelit dalam proses pengurusan hutan.

Pada waktu itu, perspektif saya tentang Perhutanan berubah, dan kini saya sedang menyiapkan tesis Sarjana saya dalam pengkhususan bidang di bawah Fakulti Perhutanan, UPM.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan akan bergerak untuk mengimplimentasi dasar teknologi hijau yang efektif.

Selain dasar teknologi hijau sebagai tiang utama, beliau juga menyebut tiga tiang lain yang penting untuk ‘memastikan kesuburan’ agenda ini iaitu persekitaran menggalakkan atau dalam kata lain ialah ketepatan pendekatan ekonomi, menggiat latihan sumber manusia yang berkaitan dan penerangan kepada orang-ramai agar prospek ini bukan saja difahami, tetapi melibatkan kepentingan umum.

Kenyataan beliau bahawa Malaysia telah berjaya membawa masuk RM12 bilion pelaburan berasaskan teknologi hijau sehingga Jun 2009 tentulah sesuatu yang menggembirakan.

Ini secara tidak langsung menunjukkan keyakinan pelabur terhadap agenda alam sekitar. Pada masa yang sama, saya fikir Malaysia perlu berhati-hati kerana wujud kecenderungan pejuang alam sekitar memaksa ekonomi perlindungan yang tidak sihat untuk pertumbuhan negara.

Dalam konteks latihan sumber manusia, saya kira perlu ada semakan serius oleh Kementerian Pengajian Tinggi khususnya, serta Kementerian Pelajaran tentang potensi kegiatan luar khususnya rekreasi sebagai medan promosi dan menerapkan kesedaran.

Semasa belajar di Fakulti Perhutanan, saya mendapati bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi tidak mendapat tempat sewajarnya.

Bidang rekreasi masih dilihat dalam konteks sukan tetapi tidak dalam konteks alternatif pengurusan.

Malah, ia seakan dilihat terkeluar daripada konteks pengurusan hutan, walhal ia cukup dekat.

Saya fikir, sudah tiba masanya bidang ini diangkat sebagai satu jabatan penting jika belum cukup untuk menarafkannya sebagai sebuah Fakulti Pengajian sebagaimana banyak universiti di luar negara.

Jujur saya katakan, cakupan bidang ini amat luas berbanding hanya sekadar diserapkan di dalam Jabatan Perhilitan atau Jabatan Perhutanan.

Para pelajar rekreasi khususnya boleh diserapkan dalam bidang pelancongan di mana aspek Eko-Pelancongan boleh dikembangkan untuk mengoptimumkan interpretasi sumber kepada pelancong yang ramai berkunjung ke Malaysia untuk menikmati khazanah alam kita yang unik.

Konsep eko-pelancongan itu sendiri mampu meningkatkan ekonomi domestik penduduk di mana ia tepat dengan sasaran dasar yang mahu diketengahkan Perdana Menteri.

Saya juga harus mengetengahkan kenyataan bahawa jumlah populasi hutan kita kini merosot kepada 59% (termasuk kawasan hijau lain) dan kita harus kembali mendokong komitmen kita kepada Protokol Kyoto untuk menjaga 60% hutan kita daripada dimusnahkan.

Ia ternyata satu cabaran getir buat sebuah negara membangun yang cukup hampir menuju negara maju berasaskan petunjuk ekonomi.

Tetapi manusia akhirnya akan terus bergelut mencari kesempurnaan.

Tulisan ini disiarkan di kolum saya, Alam di MStar pada 10 Oktober 2009.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.