Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

1/1/2010 | Komen

Tulisan

Alam Sekitar

Bajet 2010 dan Alam Sekitar

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membentangkan belanjawan 2010 dengan tema “1Malaysia: Kemakmuran Bersama”.

Ia mungkin bukan satu perkara yang baru, namun ia kekal penting untuk diperhatikan lebih-lebih lagi dalam suasana persekitaran ekonomi dunia yang cukup mencabar pada hari ini.

Fokus saya tentu saja kepada perihal alam sekitar. Belanjawan ini penting untuk saya kerana komitmen kerajaan selepas menyuntik masuk kata Teknologi Hijau pada nama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Tiga strategi yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Najib iaitu Memacu Negara ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi; Memastikan Pembangunan Holistik Dan Mapan; dan Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat harus diperhalusi oleh semua.

Saya telah menyatakan bagaimana isu alam sekitar sering ‘berperang’ dengan persoalan ekonomi yang tidak kurang kompleksnya.

Tanyalah mana-mana pejuang alam sekitar, sikap paling mudah yang diambil mereka tentu saja menyalahkan peniaga, khususnya para peniaga besar. Dakwaan mereka ini tentulah ada signifikannya, tetapi untuk saya ia bukanlah faktor tunggal dan mutlak.

Lebih dahsyat lagi, wujud kecenderungan sesetengah pejuang alam sekitar yang mahu “memaksa kerajaan” untuk “mewajibkan” orang-ramai memberi barang mesra alam sahaja.

Di sinilah wujudnya sebahagian kesangsian para pelabur terhadap agenda alam sekitar yang kini diangkat serius ke peringkat antarabangsa.

Dalam persaingan ekonomi dunia yang meningkat, dasar ekonomi perlindungan bukanlah satu daya tarikan bagi para pelabur, malah dalam sejarah Kemelesetan Agung ekonomi dunia pada separuh pertama abad lepas jelas menunjukkan keburukan dasar ini.

Dunia akan menyaksikan satu lagi komitmen perjanjian negara-negara dunia yang berkait langsung dengan alam sekitar, dan ini tidak terkecuali Malaysia. Perjanjian yang bakal dilaksanakan di Copenhagen pada Disember ini adalah lanjutan daripada Protokol Kyoto lebih dua dekad lepas.

Pada hemat saya, antara perkara penting yang mesti terus diperkasa oleh Malaysia tentu saja kempen “Pertanian adalah Perniagaan” sebagaimana dipopularkan Perdana Menteri ke-empat, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, kempen ini tentu saja memerlukan mekanisme yang tepat untuk membenarkan lonjakan nilai kepada ciri perniagaan yang mahu disuntik kepada sektor pertanian.

Apa yang terzahir pada belanjawan 2010 untuk memajukan pertanian bagi saya sudah cukup baik untuk permulaan perspektif baru.Pembangunan holistik dan mapan tentu saja satu tema berkait rapat dengan alam sekitar dan popular pada dekad 1990-an.

Dunia masih gagal menterjemahkan hasrat ini kerana tentu saja holistik itu hanya sekadar berupaya menjelaskan kerangka besar perspektif yang boleh dilihat, namun kompleksiti isu yang datang bersamanya ternyata tidak mudah.

Saya fikir, kita harus memberikan banyak usaha memberi jiwa kepada sistem pendidikan. Tidak banyak dapat kita lakukan jika hanya bersandar kepada penguatkuasaan undang-undang. Undang-undang tentu saja boleh berjaya misalnya seperti dilaksana di Singapura.

Tetapi, ia nanti hanya akan menjadi komitmen satu pihak dan bukan tabiat semulajadi seseorang.

Saya masih ingat ketika berkunjung ke Jepun pada tahun 2006, amat menarik apabila mendapati anak-anak kecil di Jepun diasuh perihal etika. Kanak-kanak tadika diajar jika mereka membuat sampah, mereka mesti kemudiannya membuang ke dalam tong sampah.

Tidak hairan apabila saya melihat orang Jepun yang menghisap rokok akan mengeluarkan bekas kecil dari saku mereka untuk mengetuk asap rokok ke dalamnya. Ia menjawab persoalan saya tentang kenapa bersihnya Jepun.

Banyak yang dirangka dalam belanjawan 2010 dan saya gembira melihat kerajaan memperakui bahawa negara kita masih memerlukan kadar pertumbuhan tertentu dari segi pembangunan.

Mungkin apa yang baik boleh dilakukan sekarang ialah pengisytiharan umum tentang kawasan-kawasan hijau (green lung) yang dikhususkan bagi setiap kawasan yang ingin dibangunkan.

Di sebalik belanjawan 2010, kerajaan harus mengambil perhatian kepada suara rakyat yang sering mengandaikan bahawa banyak perkara baik dirancang gagal di peringkat perlaksanaan. Jika boleh, saya mahu mengatakan ia gagal kerana sebahagian kecilnya oleh sistem perlindungan dan birokrasi yang tidak perlu.

Namun asas yang paling ketara tentu saja berkait soal sikap, dan sikap antara lain didorong oleh paradigma yang salah dalam melihat sesuatu perkara.

Ya, tentu saja kita tidak menjangkakan kesempurnaan daripada tiap perancangan yang mahu digerakkan. Namun, ia bukan satu bentuk alasan untuk kita tidak mencuba yang terbaik.

Tulisan ini disiar di kolum saya, di Mstar pada 9 November 2009.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.