Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

1/1/2010 | Komen

Tulisan

Alam Sekitar

Mengurus Taman Rekreasi Tidak Mudah

Ia bukan cerita baru, malah boleh dikatakan berulang-ulang. Ternampak seolah kita tidak mahu menyelesaikannya secara tuntas tetapi hanya bersifat segera, ketika isunya hangat dibicarakan.

Saya ikut perihatin dengan peristiwa kematian beberapa pelajar dan juga pengunjung di Kuala Dipang dan juga air terjun berangkai, Kampar. Dulu juga pernah kedengaran kematian semasa mengikuti latihan Khidmat Negara serta pendaki sesat di gunung.

Ia bukan saja melibatkan nyawa, tetapi juga kos yang tidak sedikit. Saya tidak memaksudkan bahawa nyawa itu boleh dibandingkan dengan wang, tetapi bukankah lebih baik jika wang tersebut disalurkan untuk penambahbaikan?

Peluang berekreasi luar tentulah sesuatu yang menyeronokkan. Agama sendiri menuntut agar kita melihat belajar daripada kejadian alam. Tuhan sendiri sering menjadikan misalan kehidupan manusia ini ada pada alam. Malah, sebahagian teori pembangunan manusia sendiri merujuk langsung kepada alam.

Saya membaca juga beberapa perkembangan misalnya hasrat Khazanah Nasional dan anak syarikatnya yang ingin memajukan taman tema serta aspek masa senggang sebagai satu modal pelancongan. Ia satu cita-cita yang amat baik malah harus didokong sewajarnya.

Namun, pada masa yang sama, amatlah wajar bagi kita memahami dinamika dalam bidang pengurusan rekreasi luar ini.

Saya pernah menulis bagaimana hutan lipur misalnya, diuruskan oleh kerajaan dengan dana yang cukup terhad. Kebanyakan renjer perhutanan misalnya dilatih dalam bidang ‘pengusahasilan’ hutan, dan tidak pengurusan taman melibatkan pengguna. Aspek penting berkaitan pengguna ialah menguruskan kepuasannya.

Ya, ia subjektif, namun tidak bererti bahawa ia tidak boleh diuruskan.Apabila saya menyatakan masa senggang, perkara utama yang harus dilihat ialah pengguna memanfaatkan kawasan rekreasi ini di luar waktu kerja mereka. Ia juga bermakna di luar waktu kerja pegawai kerajaan yang biasa.

Kita ambil perkhemahan sebagai contoh. Waktu lapang hujung minggu, malah seawal usai solat Jumaat, perkhemahan 3 hari 2 malam akan mengambil tempat. Saya tidak pasti sama ada kerajaan punya peruntukan cukup untuk membayar kerja lebih masa stafnya.

Harus diingat juga bahawa mereka akan bekerja semula pada hari Isnin di mana rekreasi luar biasanya menuntut tenaga yang banyak dan mereka yang menguruskannya perlu bersedia 24 jam.

Saya juga pernah menulis lama sebelum ini akan keperluan kerajaan membenarkan perunding latihan untuk memanfaatkan peluang yang ada. Kementerian Belia dan Sukan misalnya ada menyediakan kursus kejurulatihan rekreasi dengan tahapan tertentu. Namun, harus ditanya sejauh mana peluang mereka untuk menjadikan kemahiran ini sebagai satu sumber ekonomi mereka?

Perunding latihan selalunya lebih bersedia dalam menguruskan risiko terhadap peserta yang mereka kendalikan apatah lagi ia melibatkan aspek undang-undang yang ketat berkaitan kecuaian dan sebagainya. Ramai menyangka bahawa dengan menandatangani borang pelepasan tanggungjawab oleh ibu bapa misalnya, mereka boleh berlepas diri daripada menanggung sebarang kemalangan.

Tahap kepuasan dalam rekreasi luar bergantung kepada fasa-fasa pengalaman mereka sebelum, semasa dan selepas mereka mengikuti mana-mana kegiatan rekreasi luar. Apabila Menteri menyatakan bahawa guru-guru dalam tragedi di Kampar mengikuti kaunseling akibat trauma, ia bukan saja memberi kesan kepada mereka yang terbabit, tetapi industri rekreasi itu sendiri.

Masyarakat kita akan menjadi masyarakat tertutup apabila ibu bapa sentiasa melarang anak-anak mereka mencari pengalaman melalui kegiatan rekreasi luar. Rekreasi luar yang asalnya untuk manfaat ramai kini telah menjadi satu momokan ngeri untuk orang-ramai.

Bukan sekadar pengalaman pengguna semasa berinteraksi dengan alam, kemudahan di kawasan rekreasi luar juga sering tidak ditambah baik akibat bidang ini tidak dilihat penting dan peruntukan kepadanya juga terhad.

Ini secara tidak langsung juga membataskan tahap kepuasan pengguna dalam memanfaatkan sumber yang ada. Kemudahan yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh memberikan risiko yang tinggi kepada pengguna.

Semasa saya menjadi Pengerusi Kelab Kejurulatihan dan Kepimpinan Rekreasi Luar di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya pernah mendengar bahawa Majlis Rekreasi Kebangsaan akan ditubuhkan di mana pensyarah saya terlibat dalam mesyuarat berkaitan.

Hal ini tentulah disambut dengan penuh rasa gembira oleh saya dan rakan-rakan. Namun, saya tidak tahu perkembangan lanjut tentang Majlis ini.Apa yang boleh dibuat, Majlis ini harus berfungsi untuk menyemak semula seluruh hutan lipur misalnya, serta pengurusan taman dan di kawasan-kawasan di mana aktiviti rekreasi dijalankan.

Saya tidak berharap Majlis ini menjadi satu lagi tekanan dan beban kepada mereka yang bergiat dalam industri ini melainkan sebagai sumber penambahbaikan kualiti khidmat kepada pengguna dan alam sekitar.

Hutan lipur di seluruh negara misalnya perlukan penjenamaan semula untuk menjadi daya tarikan berterusan terutama kepada pelancong luar yang mahu menikmati pengalaman di hutan tropika.

Saya berharap pada masa depan, rekreasi luar menjadi satu sebab utama kita mahu kekalkan ciri alam sekitar yang tidak banyak diusik dan anak-anak tidak hanya bermain di depan komputer di dalam rumah, di balik pagar yang berkunci!

Tulisan ini disiar di kolum saya, di MStar pada 14 November 2009.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.