Debat Perubahan Iklim kian memuncak. Bagi pencinta alam sekitar, Disember 2009 ini tentu saja bulan yang penting. Tinggal beberapa waktu lagi Sidang Kemuncak Dunia yang akan membincangkan perubahan iklim akan bersidang.
Kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bahawa beliau akan hadir ke Sidang Kemuncak ini ternyata memberi suntikan moral kepada mereka yang memakai label ‘pejuang alam sekitar’ untuk terus agresif berkempen.
Amerika sebagai sebuah negara industri adalah antara negara yang dilihat liat memberi kerjasama.
Namun, hakikat bahawa orang ramai bersetuju sesuatu patut dilakukan untuk memelihara alam sekitar tidak memberi erti bahawa mereka bersetuju dengan apa saja kaedah yang mahu diguna pakai atas niat murni tersebut.
E-mel bocor
Minggu ini hangat diperkatakan tentang ribuan e-mel bocor dari Unit Penyelidikan Universiti East Anglia.
Pihak universiti kini sedang menjalankan siasatan bagaimana ruang peribadi mereka diancam.
Namun, hujah ancaman terhadap ruang peribadi ini tidak dapat menolak bahawa wujudnya pakatan tersusun antara ahli politik dan juga para penyelidik di universiti untuk menyembunyikan fakta berkaitan isu perubahan iklim.
Peristiwa ini telah memberi kesan kepada usaha membuat keputusan pada Sidang Kemuncak yang kian hampir.
Siasatan bertumpu kepada e-mel John Holdren, Penasihat Sains di Rumah Putih bermula pada tahun 2003, ketika beliau bertugas di Pusat Kajian di Woods Hole, Massachusetts.
John Holdren adalah seorang pendokong pandangan bahawa isu perubahan iklim adalah berpunca daripada aktiviti manusia, dan beliau mempertahankan kajian oleh Michael Mann, saintis di Universiti Pennsylvania yang merumuskan perkara ini.
Mann, dalam e-melnya mencadangkan para pengkaji perubahan iklim agar tidak menyiarkan kajian mereka di jurnal-jurnal kerana ia nanti akan dipetik.
31,000 Saintis saman Al-Gore
Sebagaimana telah tercetus setahun lalu, 31,000 saintis menyaman Al-Gore yang didakwa membuat telahan berlebihan dan membelakangkan sains di sebalik kempen pro alam sekitarnya!
Para saintis ini mendakwa filem dokumentari Al-Gore, An Inconvenient Truth yang diterbitkan pada 2006 sebagai satu propaganda politik dengan menunjukkan sejumlah kesalahan fakta.
Al-Gore, dalam filem dokumentari berkenaan juga telah berjaya memukau penonton dengan menggunakan perkataan ‘jika’ ketika beliau menerangkan bahaya perubahan iklim sekiranya tidak ada kesedaran untuk mengambil langkah-langkah yang wajar menanganinya.
Hakim Burton di United Kingdom juga telah memenangkan Stewart Dimmock yang menyaman sekolah anaknya kerana telah mengajar propaganda politik (merujuk kepada filem dokumentari Al-Gore) berbanding sains yang sebenar.
Dalam hujah penghakimannya, beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya sembilan kesilapan Al-Gore yang bersifat propaganda politik melalui filem dokumentari tersebut. Ironinya, Al-Gore bagaimanapun dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2007 berikutan hasil kerjanya itu.
Kaitan pergerakan solar dan kepanasan bumi
Para saintis iklim berpendapat bahawa kepanasan bumi, berasaskan kajian mereka, cocok dengan aktiviti solar. Graf aktiviti solar dalam Jurnal Astrofizik menunjukkan bahawa suhu bumi konsisten dengan aktiviti solar ini, di mana pengetahuan manusia masih terbatas dalam mengetahui dinamikanya. Graf dalam jurnal ini menunjukkan catatan sejak tahun 1750 sehingga kini.
Seorang pakar di Sekolah Sains Atmosfera Universiti Colorado State, William Gray, 77 mendakwa laporan Panel Antara-Kerajaan untuk Perubahan Iklim (IPCC) sebagai beragenda politik.
Gray menjelaskan bahawa kaedah kajian IPCC tidak menggunakan model komputer yang boleh dipertanggungjawabkan. Sebagai salah seorang pakar kajian yang telah 55 tahun menumpukan usaha dalam bidang ini, beliau termasuk rakan-rakan pakar lain tidak pernah dirujuk oleh IPCC.
Dalam kata lain, para saintis menegaskan bahawa kaedah penyelesaian yang cuba ditawarkan melalui Sidang Kemuncak di Copenhagen adalah tidak tepat.
Cukai karbon
Dalam Sidang Kemuncak nanti, cukai karbon akan diperkenalkan di mana ia akan melibatkan perbelanjaan besar untuk menangani jumlah karbon yang terlepas ke udara.
Para saintis membantah kaedah ini kerana berasaskan kajian mereka, ia tidak menyelesaikan masalah karbon sebaliknya menggalakkan peningkatan karbon tetapi aktiviti solar.
Cukai karbon secara asasnya adalah satu pendekatan untuk menghalang aktiviti manusia seperti kilang daripada melepaskan kadar karbon pada tahap tertentu. Jika kilang-kilang ini berbuat demikian, mereka dikehendaki membayar sejumlah cukai.
Kajian di Korea menunjukkan bahawa selepas jenis cukai ini diperkenal, peningkatan pelepasan karbon di udara kian mendadak kerana kilang mampu membayar cukai dan mereka menjustifikasikan kenaikan harga produk mereka dengan alasan cukai yang tinggi. Ini telah membebankan pengguna barangan yang menghasilkan karbon.
Para saintis bertegas bahawa kajian mereka menunjukkan aktiviti manusia tidak signifikan dalam mempengaruhi perubahan iklim.
Dalam kajian mereka, suhu bumi kian sejuk berbanding lewat 1990-an. Mereka mengatakan kepanasan bumi yang berpunca daripada aktiviti solar masih di luar keupayaan manusia untuk difahami seluruh prosesnya justeru tidak adil untuk mengenakan cukai karbon ini.
Mereka berpendapat bahawa ada pihak tertentu yang cuba mencipta kekayaan segera dengan pengenalan cukai karbon dan yang akan menanggungnya kelak ialah rakyat yang membayar cukai.
Inilah antara sebahagian apa yang saya cuba jelaskan apabila menekankan pendekatan sebahagian aktivis alam sekitar yang tidak menghujahkan agenda alam sekitar secara menyeluruh terutama dalam aspek ekonomi yang cukup menentukan survival negara-negara yang mahu menandatangani perjanjian nanti.
Mencintai alam sekitar memang kerja baik, tapi awas, kaedahnya harus menang-menang, apatah lagi dengan kesilapan fakta dan rancangan menjadi kaya segera!
–
Tulisan ini disiarkan di kolum saya, di MStar pada 8 Disember 2009.
Komen
Hantarkan komen anda
Some notice or statement regarding comments posted on this website.