Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

1/1/2010 | Komen

Tulisan

Alam Sekitar

Tragedi Bersama

Dalam bidang alam sekitar, ada satu konsep penting telah dibangunkan oleh seorang ahli ekologi, Profesor Garret Hardin dan ia dikenali sebagai “Tragedi Bersama” atau dalam bahasa inggerisnya disebut “The Tragedy of the Commons”.

Hardin mendapat ilham daripada kerja seorang ahli matematik amatur bernama William Forster Floyd yang menulis mengenai subjek ini dalam sebuah risalah kecil terbitan sekitar tahun 1833.

Hardin kemudian menulisnya semula dan menerbitkannya dalam Jurnal Sains pada tahun 1968. Esei Hardin ini memberikan impak yang besar kemudiannya, sesuai dengan kebangkitan era komunisma-sosialisma ketika itu.

Ringkasnya, esei Hardin berkisar metafora di mana sebuah kandang dimiliki bersama oleh sejumlah penternak dan mereka bebas memasukkan sebanyak mana pun haiwan peliharaan mereka ke dalamnya demi untuk mencapai keuntungan mudah.

Malangnya tindakan ini berakhir dengan kerugian kepada semua apabila kualiti haiwan yang dihasilkan berkurangan berikutan terhadnya sumber makanan.

Hardin mengumpamakan semakin ramai manusia di dunia dengan jumlah haiwan yang tidak terhad ini sedangkan sumber alam yang ada terhad.

Hipotesis yang cuba dimajukan oleh Hardin ialah untuk mengawal populasi manusia bagi tujuan memelihara alam sekitar.

Apa yang cuba digambarkan Hardin ialah monopoli faedah daripada hasil perkongsian bersama ini dan pada masa yang sama kerosakan dikongsi oleh mereka selain daripada yang memonopoli.

Ramai aktivis alam sekitar berpendapat bahawa lebihan populasi manusia di dunia menyumbang kepada masalah alam sekitar. Ada dua kenyataan yang ditawarkan oleh kelompok yang mencadangkan agar populasi dikawal iaitu (i) mengurangkan penggunaan barang keperluan dan (ii) mengurangkan pengguna barang keperluan.

Bayangkan anggaran pertambahan penduduk di dunia dalam tempoh sekarang hingga ke tahun 2040 dijangka bertambah daripada 6.8 billion kepada 9 billion manusia berikutan jumlah anggaran kematian jauh lebih rendah berbanding kelahiran.

Kenyataan ini bunyinya seakan benar, namun tersirat maksud yang pada hemat saya sangat batil.

Memang kita akui bahawa dengan pertambahan penduduk, lebih banyak sumber diperlukan sama ada air, tanah dan lain-lain.

Permintaan yang meningkat ini akan mendorong pemusnahan sumber hutan misalnya bagi memenuhi keperluan yang ada. Tapi, apakah salah untuk manusia hidup dan menikmati kehidupannya?

Untuk saya, menghalang kelahiran manusia adalah satu perkara yang tidak dapat menyelesaikan isu perubahan iklim.

Populasi rakyat Jepun misalnya telah mencapai tahap tertinggi pada tahun 2004 dengan jumlah sekitar 128 juta penduduk dan kemudian terus berkurangan sehingga kini sekitar 50 ribu orang berikutan kadar kematian melebihi kelahiran.

Namun, pembebasan gas rumah hijau di Jepun adalah tertinggi yang direkodkan di negara itu pada Mac tahun 2008.

Begitu juga mengikut pengalaman di Cuba. Dari tahun 1990 hingga 2004, jumlah populasi yang ada di negara itu bertambah kira-kira 1 juta orang atau sekitar 8.5%.

Walaubagaimanapun, rekod kadar pembebasan gas rumah hijau di negara itu pada tempoh yang sama berkurangan sebanyak 19.4% – dari 32 juta tan kepada 25.8 juta tan.

Hakikat bahawa negara China dan India memiliki paling ramai penduduk, tetapi bukan negara penyumbang yang utama kepada pembebasan gas rumah hijau cukup untuk menjawab persoalan sama ada cadangan menghadkan populasi dapat menyelesaikan masalah perubahan iklim.

Dalam pengertian lain, jumlah populasi boleh dianggap tidak mempengaruhi perubahan iklim secara signifikan.

Saya fikir, kawalan populasi itu adalah lebih layak dianggap sebagai “The Tragedy of the Commons”.

Tulisan ini disiar di kolum saya, Alam di MStar pada 21 Disember 2009.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.