7 Jun 2000. Kebetulan saya masuk ke universiti ketika ‘bara’ Reformasi 1998 masih belum surut. Ya, boleh dikatakan Reformasi 1998-lah yang menjadi titik mula merubah perspektif saya memandang kehidupan; dan langsung mengubah perwatakan serta jenis kegiatan seharian saya.
Minggu Orientasi Mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun itu mungkin berbeza daripada sebelum-sebelumnya. Ini kerana program matrikulasi telah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan. Justeru, kami semua mahasiswa baru ditempatkan di Kolej Matrikulasi (KOMAT) (kini Kolej Ketiga Belas). Saya difahamkan ada sebahagian mahasiswa yang mendaftar untuk pengambilan kedua kemudiannya ada ditempatkan di kolej lain. Saya sendiri bersama sebilangan teman yang pernah mewakili negeri dalam kegiatan Sukan dan Permainan ada ditawarkan untuk menginap di blok Majlis Sukan Negara, Kolej Canselor (KC). Ya, dulu semasa bersekolah saya pernah mewakili negeri dalam sukan ragbi dan permainan catur. Seingat saya, tidak ramai daripada kami memilih untuk bertukar kolej, konon lebih mudah untuk belajar bersama rakan-rakan sekuliah di kolej yang sama.
Sebelum masuk universiti, saya memang mengikuti perkembangan politik secara dekat – melalui media massa dan internet. Lagipun kedua ibu-bapa saya pernah aktif dalam politik. Sedikit sebanyak ia membuatkan saya tidak ralat.
Kebetulan semester itu akan diadakan Pilihan Raya Kampus – jika tidak silap saya diadakan pada bulan Ogos, sebelum cuti pertengahan semester.
Kami pernah diperkenalkan dengan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semasa Minggu Orientasi Mahasiswa. Bukan sekadar MPP, persatuan ko-kurikulum berkredit berpeluang mempromosi kelebihan persatuan masing-masing. Waktu itu tentu saja Kualiti Kepimpinan Pelajar (QKP) menjadi pilihan ramai mahasiswa baru. Perkataan “Kepimpinan Pelajar” di sana cukup untuk menarik minat.
Semasa ber-jogging di sekitar kampus, fasilitator memperkenalkan kami kepada pelbagai kolej kediaman yang ada. Petang itu kami ternampak bendera Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) digantung di Kolej Ke-2. Rakan saya yang berkopiah tiba-tiba membuka suara “Mereka boleh gantung, kalau kita gantung kena tindakan”. Waktu itu saya fikir dia mungkin penyokong PAS, almaklum dia memakai kopiah. Fasilitator kami tidak menunjukkan kecenderungan politik beliau pada waktu itu.
Dalam dialog bersama pemimpin negara, yang datang pada waktu itu ialah Prof. Dato’ Dr. Mahadzir Md Khir. Saya tidak pasti rakan-rakan saya yang sama masuk belajar pada waktu itu masih ingat beliau duduk di lantai pentas Dewan Seri Pulasan, Kolej Ke-6 selepas bercakap untuk beberapa waktu. Ketika soalan dibuka, tidak ada seorang pun mahu tampil bertanya. Sehinggalah pengerusi majlis mahu menutup sesi tersebut, akhirnya saya bangun untuk bertanya.
Saya hanya ingat dua soalan yang ditanyakan iaitu i) kenapa ada dwi-piawai layanan kerajaan kepada mahasiswa dalam dan luar negara. Sambil mahasiswa dalam negara sering diingatkan agar tidak melibatkan diri dalam politik, di luar negara Kelab UMNO dibenarkan. Saya ingat jawapan beliau bahawa Kelab UMNO hanyalah sebuah kelab sosial (dalam pengertian positif) yang biasa menguruskan kebajikan. Saya dapat melihat jawapan beliau tidak disambut dengan baik oleh mahasiswa baru yang ada.
Soalan kedua; kebetulan ketika itu di Parlimen, YB Mahfuz Omar (PAS) membawa isu tender makanan selama 15 tahun di UPM yang diberikan kepada Dewina, sebuah syarikat milik adik Dato’ Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Soalan kedua tidak dapat dijawab. Pada waktu itu mahasiswa bertepuk tangan dan sebahagian bersorak “1-0”.Hanya selepas saya, kemudian bersusun rakan-rakan lain keluar mempertanyakan pelbagai soalan.
Itu semasa saya di pengajian Diploma. Lain pula semasa saya di pengajian Ijazah pada tahun 2003.
Ketika itu, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) (TNC HEP) UPM telah bertukar. Minggu Orientasi Mahasiswa biasanya di bawah kendalian TNC HEP.
Saya difahamkan setengah segmen di kalangan ahli akademik melihat lantikan beliau adalah lantikan politik kerana beliau mempunyai talian kekeluargaan dengan Tan Sri Musa Mohamed, Menteri Pendidikan pada waktu itu. Beliau dikenali sebagai TNC CGPA (merujuk kepada Penilaian Angka Gred Kumulatif dalam sistem pengajian di universiti) kerana cara beliau mematahkan pandangan mahasiswa ialah dengan bertanya “berapa CGPA kamu?”.
Jika CGPA mahasiswa itu rendah, beliau akan berseloroh misalnya “pergi belajar dulu baik-baik sebelum nak mengkritik itu ini”.
Pernah ketika saya menghantar kertas kerja Program Pendakian Trans-Titiwangsa, beliau berkata “dulu saya tak naik gunung pun boleh dapat First Class”.
Beliau diangkat menjadi TNC HEP semasa saya di tahun akhir pengajian Diploma dan beliau ingat saya kerana pernah bangun mempersoal dasar baru HEP (semasa beliau mentadbir, HEP dikenali sebagai BHEM – Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa). Ini akan saya kisahkan dalam siri lain.
Dalam beberapa ucapan beliau sepanjang Minggu Orientasi Mahasiswa, beliau menekankan persoalan penglibatan mahasiswa dalam politik kampus. Suaranya keras dan ada masanya ketika beliau mahu menggambarkan beliau baik, kata seperti “anak-anak…” digunakan.
Saya difahamkan tekanan politik oleh beliau lebih keras. Ia berbeza dengan TNC HEP sebelumnya yang cukup dekat dengan mahasiswa dan membuka luas ruang diplomasi untuk mahasiswa meneroka potensi kepimpinan.
Mungkin kerana beliau nampak garang, tidak ada mahasiswa yang ingin bertanya. Sekali lagi, saya bangun dan mempertikai kecaman demi kecaman yang dibuat oleh beliau kepada aktivis dan pemimpin mahasiswa. Tanya saya: “Asyraf Wajdi Dusuki (kini Dr. dan antara tokoh muda UMNO) adalah anak kepada Setiausaha Politik Dato’ Seri (kini Tun) Dr. Mahathir dan beliau lantang mengkritik kerajaan semasa pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tetapi beliau tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib. Malah beliau menjadi antara pelajar terbaik di Kuliah-nya di UIAM. Soalan saya, apakah kerana beliau antara pelajar cemerlang, maka kegiatan politiknya dibenarkan atau kerana dia anak kepada Setiausa Politik Perdana Menteri maka tidak ada tindakan yang berani diambil kepadanya?”. Beliau tiba-tiba bersederhana ketika mengupas persoalan saya.
Sehari kemudian, mahasiswa tiba-tiba dibangkitkan melalui pidato oleh Dr. Zamri Mu’ati, pensyarah komunikasi yang juga mantan pemimpin mahasiswa di awal tahun 1980-an. Ujar beliau, mahasiswa terbilang “mesti jadi gila” dalam pengertian berbuat sesuatu yang di luar kebiasaan mahasiswa stereotype. Dr. Zamri dalam ucapan beliau berkongsi pengalaman menjadi pemimpin mahasiswa di era awal 1980-an dan kisah “curi bas ke Singapura” yang disampaikannya mendapat standing ovation daripada mahasiswa selepas berhari-hari dihadapkan dengan mesej serupa: “mesti belajar”, “taat kerajaan”, “jangan terlibat dengan politik”. Beliau menyimpulkan mahasiswa terbaik mesti berani mengambil risiko. Bak kata Prof. Diraja Ungku Aziz: “bukan saja mencabar, tetapi terpelajar”.
Mahasiswa bukanlah menolak mesej-mesej yang disampaikan sebelumnya, tetapi cara ia dikembangkan jelas satu indoktrinasi politik. Boleh dikatakan kita tidak tahu membezakan ucapan seorang TNC HEP dengan Ketua JKKK UMNO Cawangan!
Namun dua hari sesudahnya, TNC HEP kembali dan cuba mempertahankan diri dengan kata seperti “bukan saja dengan mahasiswa senior, hati-hati juga dengan bekas mahasiswa yang kini menyambung semula pengajian mereka kerana nanti kamu akan dihasut”. Beliau juga kelihatan marah dan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan mahasiswa apabila cuba mempertikai ucapan Dr. Zamri Mu’ati sebagai sesuatu yang tidak selaras dengan apa yang beliau mahukan.
Tamat minggu orientasi, Selamat Datang ke Kampus Perjuangan – Dari Terhad Pagar Kampus ke Lapangan Masyarakat!
3 Komen
hamidi
8 August 2009 4:04PM
Nice article!
Masturah Abu Bakar
8 August 2009 4:04PM
Minta tunjuk ajar.
” Memoir, Harapan & Perubahan “
aqfiqabdullah
8 August 2009 4:04PM
hidup orang muda….
Hantarkan komen anda
Some notice or statement regarding comments posted on this website.