Kebetulan semasa saya mengikuti semester satu pengajian Diploma diadakan Pilihan Raya Kampus. Ia dibuat pada minggu akhir sebelum cuti pertengahan semester.
Jujurnya saya tidak menemukan aktivis mahasiswa sebagaimana terbaca di internet. Yang ada hanya risalah dan keratan kecil propaganda politik – sama ada menyentuh perihal politik kampus atau politik negara. Juga ternampak contengan bermesej politik di tandas-tandas kampus. Dalam kata lain, modus operandi aktivis politik kampus pada waktu itu di luar pengetahuan saya, mungkin kerana tidak bersungguh mencari.
Saya hanya buat hal sendiri, tetapi rakan-rakan tahu bahawa saya pro-reformasi. Sikap pro-reformasi saya ditonjolkan melalui badge anti-ISA yang saya lekat di beg kuliah saya. Di kolej, saya sering memakai baju Dosa Kita Pada Anwar ketika waktu santai. Namun, saya jarang bicara politik kecuali dengan rakan-rakan yang minat berbicara tentangnya.
Kecuali segelintir, tidak ada yang betul berani dan bangga mendokong kerajaan waktu itu. Saya fikir memang sukar untuk pendokong kerajaan untuk menjawab persoalan sekitar isu pemecatan dan bicara Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu. Sikap ini berubah sejak 2003 apabila Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa (B’HEM) mula menonjolkan pendekatan lebih keras dalam membendung pengaruh reformasi di kampus.
Secara tidak sedar, mesej politik kampus memang telah giat didorong sejak Minggu Orientasi Mahasiswa. Saya menyedarinya apabila melihat jurukempen dan calon politik kampus yang mendakwa mereka sebagai pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Cuma yang unik sedikit ialah Pilihan Raya Kampus tahun 2000 melibatkan tiga penjuru – kumpulan pertama memperkenalkan diri dengan slogan Dinamik mewakili pro-kerajaan, kumpulan Angkatan Mahasiswa Bersatu (AMB) dengan pengenalan warna Merah mewakili pro-pembangkang dan Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GEMA) mewakili kumpulan pro-reformasi. GEMA hanya bertumpu di kerusi umum dan dikenali dengan keupayaan pidato para calon mereka sementara AMB dan Dinamik lebih banyak bergerak di peringkat grass-root.
Selepas Minggu Orientasi Mahasiswa, kami didatangi oleh kumpulan Dinamik dengan ucap “Salam Reformasi”. Saya difahamkan kumpulan ini ialah yang pro-kerajaan namun kekal dengan mesej dakwah Islam, ringkasnya serpihan aktivis dakwah yang tidak mahu ditekan kerana sikap politik mereka. Kumpulan ini bergerak bersama kumpulan pro-kerajaan yang memang pro-UMNO-BN. AMB pula terdiri daripada aktivis gerakan dakwah di kampus dan majoriti mereka pro-PAS dan PKR. Sementara GEMA pula terdiri daripada aktivis dakwah dan kumpulan mahasiswa yang lebih vokal dan menonjol dengan pergerakan massa seperti demonstrasi jalanan.
Pada masa itu saya didedahkan bahawa politik kampus melibatkan pertandingan kerusi umum dan kerusi fakulti pengajian. Ia mirip dengan kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam praktis politik negara. Bagi kerusi fakulti, dua calon akan dipilih dan bagi kerusi umum, sejumlah kerusi diperuntukkan – biasanya nisbahnya separuh daripada jumlah kerusi fakulti. Di Universiti Putra Malaysia (UPM) semasa saya dalam pengajian Diploma berbeza dengan semasa di pengajian Ijazah kerana pertambahan jumlah kerusi berikutan pertambahan fakulti pengajian.
Seingat saya, sehingga tahun 2002 Pilihan Raya Kampus membenarkan pertandingan secara berkumpulan. Ia bertukar pada tahun 2003 di mana pertandingan secara berkumpulan dilarang dan berlaku perubahan ‘kumpulan menang’ yang membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Saya percaya dengan pertandingan secara berparti atau individu ada pro dan kontra-nya. Bagaimanapun saya fikir pertandingan secara berparti adalah lebih baik.
Seorang calon yang bertanding secara individu terpaksa bekerja lebih keras lagi kerana semua segmen berkaitan Pilihan Raya Kampus perlu diuruskan secara bersendirian. Memang benar ia boleh menguji sejauh mana kemampuan beliau, namun yang ternampak dalam realiti sebenar jelas tidak bermaksud begitu.
Pertandingan secara berkumpulan kelihatan lebih tersusun di mana manifesto yang dirangka dan dikempen bersama akan mendorong kumpulan mahasiswa untuk berinteraksi, berunding dan mencapai kata sepakat sejak sebelum Pilihan Raya Kampus bermula. Bukan saja manifesto tersusun, mahasiswa juga berpeluang mengenal kabinet bayangan yang akan membentuk MPP.
Berbeza dengan bertanding sebagai individu, tiap calon mengemukakan manifesto mereka dan perlu merundingi semula hampir semua perkara selepas menang. Jika ada yang berpendapat bahawa adakalanya manifesto ini sama, bukankah lebih baik mereka yang mempunyai kata sepakat ini membentuk satu kumpulan? Kasihan benar saya melihat ada calon yang bertanding dilucutkan kelayakan mereka hanya kerana menggunakan slogan yang sama dan jawatankuasa yang menguruskan Pilihan Raya Kampus (seperti tugas Suruhanjaya Pilihan Raya) melihat slogan yang sama ini sebagai satu tindakan yang bercanggah dengan pertandingan sebagai individu.
Itu pun mungkin gambaran ideal. Hakikat sebenar yang akan saya dedahkan secara bersiri ialah bagaimana Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) atau/dan pegawai-pegawai universiti yang terlibat sebagai jawatankuasa pengurusan Pilihan Raya Kampus dengan jelas terlibat mengendalikan pengurusan Pilihan Raya bagi satu kumpulan mahasiswa, meskipun mereka juga yang menghukum mahasiswa daripada kumpulan lain yang dilihat sebagai ‘tidak bertanding atas kapasiti individu’.
Bukan saja itu, nantikan pendedahan saya bagaimana ada tokoh politik dan pegawai kerajaan yang ikut sama ‘mengatur strategi menawan kampus’ oleh kumpulan tertentu dalam Pilihan Raya Kampus.
Sepanjang dari tahun 2000 hingga 2006, apa yang saya boleh katakan ialah semangat Pilihan Raya Kampus pada tahun-tahun awal nampak lebih ketara. Itu tidak bermakna bahawa ia tidak boleh dibaiki. Tapi bermula 2003, kelihatan campur tangan politik yang jelas dalam urusan politik kemahasiswaan.
Berupayakah mahasiswa keluar daripada tebing sempit yang ada?
Komen
Hantarkan komen anda
Some notice or statement regarding comments posted on this website.