Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

18/2/2010 | Komen

Tulisan

Anak Muda

Pengalaman Politik Kemahasiswaan 3

Bertuah mahasiswa kini dengan ruang ‘sudut pidato’ yang dibuka kembali. Ia bukanlah satu hal yang baru diperjuang, malah sejak mula. Bukan saja sudut pidato, malah hal seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Aku Janji juga. Justeru jika ada yang mahu mahasiswa mengucapkan terima kasih, saya kira mereka wajar berfikir semula.

Semasa di pengajian Diploma, saya sempat menikmati suasana kampus yang bebas. Pada waktu itu para pelajar yang mengikuti kursus Komunikasi Kepimpinan sering menggunakan ruang kuliah untuk menjemput tokoh politik berbicara. Dalam satu dialog dengan Dato’ Ahmad Zahid Hamidi (kini Dato’ Seri, YB Menteri Pertahanan), saya membuat kenyataan provokatif bahawa “Aku Janji lebih kurang sama dengan tindakan Hitler kepada anak muda di era pemerintahan Nazi”. Saya mengesan nada marah pada jawapan beliau.

Semasa pengajian Diploma di kampus, saya banyak menghabiskan masa sebagai seorang pendakwah. Saya aktif dengan Jemaah Tabligh dan dilihat berlainan kerana jarang sekali ada pendakwah Jemaah Tabligh mahu bicara soal politik. InsyaAllah jika saya berkesempatan, saya juga mahu menulis tentang sisi politik antara pelbagai jemaah di kampus.

Tahun 2001 saya berpeluang mengikuti rombongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) ke pembukaan Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Saya masih ingat kerana itu kali pertama saya masuk ke sana dan sempat bergambar dengan beberapa tokoh politik kerajaan dan pembangkang (tapi melalui kamera seorang MPP, almaklum belum mampu memiliki kamera pada waktu itu).

Saya juga kemudian bersama delegasi UPM ke Universiti Malaya (UM) dalam Simposium Penegasan Hala Tuju Idealisme Mahasiswa yang dirasmikan penutupannya oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Simposium ini pada mulanya dilaporkan batal berikutan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC), tapi ia dipindahkan ke Perdana Siswa, UM.

Yang menjadi ketegangan waktu itu ialah tuduhan rambang termasuk oleh Menteri, Dato’ Azalina Othman Said bahawa kebakaran DTC adalah perbuatan mahasiswa yang beberapa hari kemudian dibuktikan tidak benar bila siasatan menunjukkan bahawa ia berpunca daripada litar pintas. Tidak ada ungkapan maaf, begitu angkuhnya beliau.

Natijah daripada ini, dua pemimpin mahasiswa iaitu Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Mohd. Fuad Ikhwan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Khairul Anuar atau dikenali dengan nama Jonah adalah pemimpin GEMA yang kemudian berpecah dan beliau kemudian aktif menggerakkan Universiti Bangsar Utama (UBU), tempat aktivis mahasiswa dan masyarakat berkumpul membincangkan banyak isu rentas keperihatinan. Fuad pula adalah pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan juga Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS). Mereka dibebaskan beberapa minggu selepas itu.

Sebagaimana ditulis sebelum ini, saya gagal menemukan aktivis mahasiswa di kampus. Jika ada risalah atau kertas kecil berunsur politik, ia tidaklah ternampak radikal. Hanya selepas isu ini saya mula menemui aktivis mahasiswa yang bergiat dengan politik negara secara nyata.

Dia senior saya di fakulti pengajian. Dia pelajar cemerlang dan menguasai bahasa mandarin. Saya boleh cam dia seorang aktivis mahasiswa kerana dia memakai baju “Bebaskan Jonah”. Seingat saya sepanjang di kampus, hanya dia dan saya yang melekatkan badge anti-ISA di beg. Mungkin ada yang lain tapi saya tak bertemu.

Saya menegur tapi dia tidak melayan. Dalam hati saya mengomel “sombong benar dia ni, macam mana orang nak hormat aktivis mahasiswa?”.

Kemudian saya berpeluang borak dengannya dan dia mengatakan “aku bukan sombong, aku hanya berhati-hati dengan siapa aku berbual”. Saya pelajar baru, dengan misai dan janggut serta ketayap Raihan berwarna hitam dan pakaian kemeja kemas, saya dilihat ‘berusia’ walhal umur baru mencecah 19 tahun.

Selang beberapa hari saya diajak senior ini mengikuti perkongsian pengalaman Jonah ditahan ISA. Itu kali pertama saya ‘berkenalan rapat’ dengan arena aktivisme mahasiswa di luar kampus.

Jonah seperti biasa menceritakan tekanan demi tekanan yang dikenakan kepadanya. Seorang senior yang mendokong kuat kerajaan dalam satu perbualan kami di kampus sering cuba memperkecilkan Jonah. Mereka orang Melaka. Kata senior yang satu ini “keluarga Jonah orang UMNO”.

Kata saya: “saya membesar dalam keluarga UMNO”. Ayah pernah berkhidmat dengan Dato’ Radzi Sheikh Ahmad berbelas tahun dan emak juga pernah menjadi Ketua Wanita Cawangan Kampung Guru dan pada waktu itu Kampung Guru dikenal sebagai pendudukan elit di Kangar, Perlis.

Tapi mestikah anak muda sentiasa berada di aliran tradisi keluarga?

Di UBU, saya melihat perjuangan politik melangkau sentimen kepartian. Di sana aktivis masyarakat berkumpul dan memperkatakan persoalan nilai dan bentuk, bukan jenis bicara politik parti sebagaimana lazimnya. Ia menambat hati saya kerana keluasan subjek bicara itu memberi kebebasan yang banyak berbanding hitam-putih bicara politik kepartian.

Ya, boleh dikatakan majoriti di sana mendokong aliran kiri. Ia bukan masalah besar buat saya meskipun ada teman aktivis mahasiswa mempersoal “bagaimana boleh seorang aktivis dakwah bersama kumpulan aktivis mahasiswa yang mendokong ideologi sosialisme?”.

Untuk saya, pandangan bahawa bergaul beerti setuju sepenuhnya adalah jenis pandangan yang cetek dan tidak mencerahkan maka saya tolak pendapat itu.

Di kampus, saya memang dikenal bergaul dengan semua kelompok. Meski pada waktu-waktu tertentu saya akan berjubah-serban, saya biasa bersukan dengan rakan-rakan lain, makan dan belajar bersama, bermain papan selaju, bersiar dengan motosikal dan bertukar pandangan tentang apa yang boleh dibuat untuk memajukan kehidupan mahasiswa di universiti, fakulti dan kolej pengajian. Saya juga berkawan dengan mahasiswi dan pernah sekali rakan kebudayaan di kolej terkejut kerana saya datang mendaftar sebagai ahli kelab dengan berjubah-serban! Siapa suruh buat pertemuan antara waktu Maghrib dan Isya’! :)

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.