Amin Ahmad

Menggeluti Demokrasi untuk Keadilan dan Kebebasan

26/2/2010 | Komen

Tulisan

Agama

Belajar dari Nabi s.a.w.

Setiap 12 Rabiul’awal, bergentayangan mesej “meneladani Rasulullah s.a.w.” kepada muslim. Ya, meski ilmuan muslim berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Baginda s.a.w., tarikh tersebut dijadikan sambutan kelahiran-nya. Tarikh ini juga merupakan tarikh wafatnya Baginda s.a.w..

Tahun ini di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul sekali lagi menjadi polemik. Jika tahun lalu Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat keputusan untuk ikut sama berarak, tahun ini muncul surat yang mendakwa beliau berusaha membatalkan tradisi perarakan ini. Seperti biasa, ia dijadikan ‘peluru politik’ oleh sebahagian ‘juara’ Melayu-Muslim dengan menggambarkannya sebagai bukti amalan perkauman oleh pemimpin parti yang didominasi kaum Cina itu.

Tidak ada catatan dalam Al-Quran dan hadis nabi s.a.w. menyatakan umat perlu menyambut hari kelahiran Baginda s.a.w.. Justeru, ia bukanlah amalan khusus bagi umat Islam. Umat Islam yang terdidik tentu saja maklum bahawa amalan terbaik bagi mengingati Baginda s.a.w. ialah dengan berselawat kepadanya dan mencuba sedaya upaya meneladani amalan Baginda s.a.w.. Ini disebut dalam hadis.

Dulu semasa aktif berdakwah bersama Jemaah Tabligh, saya menemukan dua pandangan yang menarik untuk difikirkan.

Pertama, ada pendapat yang berbunyi begini: “sedangkan Nabi s.a.w. yang dipilih Allah s.w.t. itu bersolat malam sampai bengkak kaki, kita umat Islam kena buat lebih banyak lagi”.

Pendapat kedua pula berbunyi: “kita ni umat akhir zaman, mana mungkin kita dapat berbuat sebagaimana Nabi s.a.w.”.

Untuk saya, pandangan pertama boleh menjadikan umat Islam berlebihan dalam mengusung mesej amalan yang dikaitkan dengan agama sementara pandangan kedua pula boleh menjadikan umat Islam meremehkan keperluan sesetengah amalan dibuat.

Di Malaysia kini muncul pandangan sinis terhadap apa yang disebut sebagai Wahabi atau Salafi. Semasa kursus perkahwinan yang saya ikut baru-baru ini, borang takliq tidak disediakan untuk negeri Perlis, kata staf penganjur kepada saya: “Perlis Wahabi”.

Saya tidak menyoal banyak kepadanya tetapi dulu semasa saya pulang ke kampung memang emak ada menyuarakan rasa tidak selesa kumpulan orang tua-tua kepada pendekatan dakwah sesetengah ustaz. Contoh yang tidak asing lagi ialah “baca Yaasin malam Jumaat adalah bidaah”.

Sebenarnya bila orang tua-tua rasa tidak selesa, itu tidak bermaksud mereka cuba memberitahu mereka sudah tahu segalanya. Saya ingat ketika masih bersekolah, saya suka mendengar kaset ceramah Ustaz Ismail Kamus. Dalam ceramah tersebut beliau menyebut tentang bidaah Yaasin ini. Tapi pendekatan Ustaz Ismail Kamus bagi saya amat mencerahkan. Beliau menjelaskan bahawa “para guru agama dulu-dulu menyusun amalan membaca Yaasin malam Jumaat ini sebagai tertib supaya jangan umat Islam sampai tidak buat langsung”.

Jujurnya, saya tidak pernah selesa dengan satu sentimen semasa bersama Jemaah Tabligh. Sentimen ini sebenarnya ada di mana-mana jemaah pun, tapi mungkin dalam bentuk lain. Dalam Jemaah Tabligh, sentimen ini muncul dengan pertanyaan “dakwah mana yang paling tepat mengikuti cara Baginda s.a.w.?”. Apa yang hendak dimaksudkan di sini ialah dakwah bil-hal (dakwah dengan perbuatan). Saya tidak pernah berminat masuk ke wilayah tersebut – maksud saya mendakwa cara saya paling betul – kerana bagi saya jika ada yang mahu berdakwah itu sudah cukup baik.

Dalam pengalaman lain, saya pernah diajak mengikuti ‘kumpulan Jemaah Islam’ dengan hujah “jemaah kami yang lebih tepat dengan cara Rasulullah s.a.w. dan kami boleh tunjukkan apa beza kami dengan jemaah-jemaah lain yang ada”.

Sebenarnya, saya merasakan umat Islam dilanda sindrom kurang keyakinan diri. Saya menghormati sikap berhati-hati yang ada, tapi saya tidak begitu bersetuju dengan sikap hati-hati yang berlebihan. Nabi s.a.w. pernah menyebut, sebagaimana tercatat dalam sahih Bukhari: “Jangan berlebihan tentang aku sebagaimana orang Kristian berlebihan tentang Isa anak Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah, maka katakanlah “Hamba Allah s.w.t. dan Rasulnya”.

Para sahabat r.a. yang terdekat dan diangkat menjadi khalifah khususnya tidak pernah menunjukkan dalam catatan sirah bahawa mereka menyambut hari kelahiran Baginda s.a.w., sedangkan mereka sempat bersama susah-senang dan tentunya lebih kasihkan Baginda s.a.w. berbanding kita.

Tetapi di Malaysia ini saya fikir wacananya ‘istimewa’. Bila sikap berlebihan ditegur, akan ada yang berkata: anjur Jom Heboh boleh, apa salahnya kita sebarkan mesej selawat sambil berarak? Ada juga yang mempersoal: sunnah apa rumah tinggalan nabi s.a.w. dimusnahkan, hotel-hotel didirikan di Arab Saudi?

Saya anggap hujah-hujah beginilah yang menjadikan masyarakat umum tidak mesra dengan mesej agama. Dengan membuat perbandingan Jom Heboh dengan perarakan Maulid misalnya, secara tidak sedar kita memberi nilai perbandingan sama antara aktiviti yang dinisbahkan kepada tuntutan agama dengan aktiviti masyarakat yang biasa.

Aneh, tatkala umat Sunni itu mencela amalan pengikut Syiah yang saya sifatkan berlebihan juga dalam mengenang tragedi Karbala – lihat bagaimana mereka memukul tubuh mereka sehingga berdarah, hatta anak kecil! – namun mereka boleh menjustifikasikan kemahuan untuk berarak.

Saya tegaskan, mahu atau tidak berarak bukan isu. Kepada yang mahu berarak, pohon permit dan buatlah secara sederhana. Umat Islam harus berhenti menggesa kerajaan menyediakan segala kemudahan – baju, kasut, makanan dan sebagainya – hanya kerana kita mahu memanifestasikan dengan cara kita. Sudah tiba masanya umat Islam meneladani Rasulullah s.a.w. yang tidak membebankan peruntukan negara (termasuk negeri dalam konteks moden) untuk perkara yang tidak perlu. Inilah masanya umat Islam menunjukkan bagaimana kita boleh menguruskan keperluan kita sendiri tanpa perlu dokongan kerajaan sepenuhnya.

Selawat!

Kali pertama disiarkan di UmmahOnline.com.

Komen

Hantarkan komen anda

Some notice or statement regarding comments posted on this website.