Tentang Amin Ahmad
Keluarga
Lahir pada 20 Februari 1982 dan telah berkahwin dengan Siti Kamariah binti Ahmad Subki.
Membesar dalam keluarga sederhana di bawah jagaan En. Ahmad bin Abdullah dan Tengku Hamidah binti Mas Abdullah Akhir bersama (abang) Noor Ariff bin Ahmad, (arwah kakak) Puteri Noor Akhmar binti Ahmad dan adik-adik, Noor Akhbar bin Ahmad, Muhammad Naim bin Ahmad dan Puteri Noor Liyana binti Ahmad.
Pendidikan
Mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indra (SRKSI), Sekolah Menengah Kebangsaan Derma (SMKD) – kedua-duanya sekolah harian di Kangar, Perlis – sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bergraduat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan. Ketika ini, beliau sedang menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Taman dan Rekreasi di universiti yang sama.
Kepimpinan
Aktif di kampus dengan memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Perhutanan serta beberapa jawatan lain di peringkat Universiti, Fakulti Pengajian dan Kolej Kediaman. Selain di kampus, turut aktif menyertai proses hidup bernegara dengan mengikuti beberapa program di luar kampus yang dianjurkan pelbagai pihak – kerajaan, NGO dan badan pelajar-belia.
Sukan, Permainan dan Hiburan
Ketika aktif bersukan di zaman persekolahan, beliau pernah mewakili negeri untuk permainan Catur (1994-1998) – Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kejohan Catur Merdeka Kebangsaan – dan menjadi Juara Remaja untuk Kejohanan Catur Merdeka bawah 20 tahun negeri Perlis pada 1995, 1998 dan 1999 sekaligus menyimpan Piala Pusingan Kejohanan. Selain itu, beliau pernah mewakili negeri dalam kejohanan Ragbi Sentuh MSSM (1994) dan Kejohanan Ragbi bawah 18 tahun MSSM (1999). Beliau juga pernah aktif dalam sukan bola sepak dan olahraga sebelumnya.
Di peringkat universiti, pernah mengetuai pasukan Catur universiti untuk Kejohanan Sukan Antara Universiti Malaysia dan Kejohanan Catur Inter-Varsiti di peringkat Antarabangsa. Aktif menggerakkan program-program rekreasi luar dan pernah menjadi Ketua Fasilitator untuk Kem Alam Sekitar Kebangsaan 2007 (KEMPAS 2007).
Menikmati buku pada masa lapang dan menonton. Selain itu, memanfaatkan kemudahan internet untuk meluaskan pergaulan dan pengetahuan. Juga meminati muzik dan pernah bermain muzik secara underground bersama Flossy Distortion (kini Flossy) pada 1999 dalam satu gig di Kangar, Perlis.
Luar Negara
Pernah mengikuti delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Penerima tajaan Kelab Rotary Fujisawa untuk lawatan sambil belajar ke Jepun, tajaan Yayasan Aman Sasakawa untuk menyertai Program Kepimpinan Muda Nahdah Asia dan biasiswa Frederic Bastiat untuk hadir ke kursus musim panas di Cato University, San Diego, Amerika Syarikat.
Pekerjaan
Pernah bekerja dalam pelbagai bidang, kini beliau merupakan Pegawai Komunikasi kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor.

