MENGAPA rakyat Malaysia tidak merasakan ada perubahan berlaku sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan?

Benarkah tidak ada perubahan berlaku? Jika ya, kenapa? Jika tidak, mengapakah ia tidak dirasakan? 

Tulisan ini agak panjang dan bersiri kerana ia akan menyentuh beberapa aspek. 

Saya pernah berbincang mengenainya di pelbagai forum dan tulisan. Bagi yang pernah mengikuti perbincangan dan tulisan saya sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi, ia tidak lari bahkan sebenarnya menjadi sebahagian rantaian yang membawa kita kepada situasi semasa.

Untuk tulisan pertama ini, saya lakarkan dahulu dalam bentuk garis masa sidang Dewan Rakyat pada 2018.

1. Selepas PRU14 yang cukup bersejarah pada Rabu 9 Mei 2018, Dr Mahathir Mohamad hanya mengangkat sumpah keesokannya, Khamis 10 Mei 2018.

2. Satu mesyuarat khas mengenai pelantikan Kabinet diadakan pada 11 dan 12 Mei 2018. Selepas itu Dr Mahathir mengumumkan pembentukan 10 kementerian pertama dan pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Pemimpin kanan parti-parti komponen PH, Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu kemudian dilantik menjadi menteri dalam negeri, menteri kewangan dan menteri pertahanan pada Sabtu 12 Mei 2018

Alhamdulillah, pada Rabu 16 Mei 2018, Anwar Ibrahim dibebaskan. Pada 16 Mei 2018 juga menteri kewangan membuat pengumuman kadar sifar GST bermula 1 Jun 2018 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

3. Seramai 14 menteri mengangkat sumpah pada 22 Mei 2018 dan bakinya mengangkat sumpah pada 26 Jun 2018.

4. Dewan Rakyat mula dibuka untuk persidangan dari 16 Julai 2018 hingga 16 Ogos 2018, diikuti dengan Dewan Negara dari 20 Ogos 2018 hingga 12 September 2018.

Selepas majlis mengangkat sumpah jawatan dan perasmian pembukaan sidang, aturan urusan mesyuarat berjalan seperti biasa. Parlimen kemudian membahas usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong sehingga 6 Ogos 2018.

Pada 31 Julai 2018 bacaan pertama rang undang-undang untuk memansuhkan cukai GST, seterusnya digantikan dengan cukai SST, pindaan undang-undang kastam dan zon bebas dibaca oleh menteri kewangan. 

Bacaan kedua dibuat pemansuhan cukai GST dan pengenalan semula cukai SST bermula pada 7 Ogos 2018. Bacaan kedua bagi pindaan undang-undang kastam dan zon bebas bermula pada 9 Ogos 2018.

Pada 7 Ogos 2018 PM mencadangkan pembentukan jawatankuasa pemilih Parlimen dan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di mana wakil rakyat Umno pada ketika itu, Ronald Kiandee (Beluran) dipilih sebagai pengerusi.

Selepas beliau menyertai Bersatu, jawatan tersebut diganti oleh Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Pada 8 Ogos 2018 dua RUU dikemukakan. RUU Perbekalan oleh menteri kewangan untuk penguntukan semula peruntukan perbelanjaan dan RUU antiberita tidak benar. 

Bacaan kedua RUU Perbekalan bermula pada 13 Ogos 2018 diikuti dengan perbahasan di peringkat jawatankuasa. Bacaan kedua RUU antiberita tidak benar dibuat pada 14 Ogos 2018.

Pada 13 Ogos 2018, menteri pengangkutan membuat bacaan pertama RUU untuk membubarkan SPAD dan seterus meminda Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat. Bacaan kedua dibuat bermula 14 Ogos 2018.

Pada 16 Ogos 2018, menteri kewangan mengusulkan ketua audit negara dan PAC menyiasat semula skandal 1MDB.

Ini baru garis masa. Ada banyak isu menarik sepanjang tempoh perbahasan ini jika kita ingat semula, misalnya tentang jumlah hutang, tentang wang GST yang disebut oleh menteri kewangan sebagai “dirompak”, pembubaran SPAD, penolakan Dewan Negara terhadap RUU.

Anti Berita Tidak Benar (Pindaan) dan lain-lain lagi. Ini akan saya kongsi dan bincangkan dalam tulisan akan datang.

5. Kemudian Dewan Rakyat bersidang untuk kali kedua dari 15 Oktober 2018 hingga 11 Disember 2018. dan Dewan Negara dari 3 Disember 2018 hingga 20 Disember 2018.

Sesi soal jawab dijalankan seperti biasa disusuli dengan dengan pindaan-pindaan pada RUU Jalan, Parit dan Bangunan, RUU Sewa Beli, RUU Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan). Bacaan kedua dibuat bermula 16 Oktober 2018.

Pada 18 Oktober 2018 YAB Perdana Menteri membacakan teks ucapan Semakan Semula Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di mana istilah kemakmuran bersama pertama kali disebut. Perbahasan SSRMK-11 ini dibuat sehingga 1 November 2018.

Pada Jumaat 2 November 2018, menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2019 yang diikuti perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Kemudian Dewan Rakyat ditangguhkan seminggu sempena perayaan Deepavali. Ini juga membolehkan wakil rakyat membuat persediaan untuk membaca dan bersedia dalam perbahasan Belanjawan 2019.

Berturutan daripada itu menteri kewangan juga membawa untuk bacaan kali kedua RUU Kewangan, dan membuat pindaan-pindaan pada RUU Cukai Pendapatan, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan, RUU Kastam, RUU Eksais dan RUU Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). Ia diikuti dengan bacaan kedua.

Pada 4 Disember 2018, menteri pendidikan mengemukakan pindaan terhadap RUU Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), RUU IPTS, RUU Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib). Ia diikuti dengan bacaan kedua.

Pada 6 Disember 2018, menteri pembangunan usahawan mengemukakan pindaan kepada RUU Maktab Kerjasama (Pemerbadanan)

Pada 10 Disember 2018, menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengemukakan pindaan kepada RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) manakala menteri pengangkutan mengemukakan pindaan kepada RUU Pengangkutan Jalan.

Pada hari terakhir sidang 11 Disember 2018 Menteri di JPM mengemukakan pindaan kepada RUU Sivil.

Apa yang kita patut tahu dan boleh belajar daripada garis masa ini? 

Bagi saya ada beberapa perkara penting terkait dengan persoalan-persoalan yang saya kemukakan di awal tulisan ini.

Daripada apa yang telah diputuskan di Parlimen, kita tahu sebenarnya perubahan sudah bermula dalam beberapa perkara. Tidak benar jika ada yang mendakwa tidak ada sebarang perubahan sejak PH menang PRU14.

Ada perubahan yang lebih mudah dilaksanakan dan memberi kesan segera misalnya dalam hal pelantikan pengerusi PAC, ada yang mengambil masa untuk melihat kesannya misalnya dalam pindaan Auku, ada juga yang kesannya tidak dirasakan kerana ada faktor lain misalnya pemansuhan GST dan diganti dengan SST yang diharapkan dapat menurunkan harga barang.

Dalam perubahan yang berlaku, tidak semua mendapat perhatian yang sama. Namun, perubahan berkaitan ekonomi lebih banyak dibicarakan berbanding selainnya.

Sudah tentu, semua perubahan ini boleh dan mesti dibincangkan secara meluas supaya kita semua dapat mengenal pasti peluang dan risiko yang datang bersamanya. – 23 September, 2019.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/185206