RUU Perbekalan yang menguntukkan semula peruntukan perbelanjaan dibentang kira-kira tiga bulan selepas PRU-14. Ini kerana selepas PRU-14 beberapa kementerian telah disusun dan dinamakan semula, ada yang baru ditubuhkan dan ada yang dibubarkan di mana fungsinya telah dipindahkan kepada kementerian lain. Ini melibatkan banyak agensi di bawahnya.

Selepas penguntukan semula ini diluluskan barulah peruntukan pada ketika itu dapat disalurkan semula kepada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan di bawahnya.

Hanya kira-kira RM6 bilion disalurkan semula kepada setiap kementerian ini. Dengan baki wang dan tempoh masa yang ada, tidak banyak boleh dibuat oleh kerajaan.

Tidak ada projek-projek sederhana dan besar boleh dibuat kerana proses sebut harga dan tender memerlukan tempoh masa yang lebih panjang. Saya masih ingat dalam perbahasan di Dewan Rakyat, ahli Parlimen Pendang berseloroh mengatakan baki wang yang tinggal hanya kira-kira RM470 juta selepas PRU-14 hanya cukup untuk membuat sebuah kilang seluar dalam!

Kerajaan membuat keputusan untuk membuat semakan terhadap semua projek yang telah diumumkan oleh pentadbiran terdahulu. Dengan kekangan kewangan yang ada, kerajaan mengumumkan penangguhan dan pembatalan semua projek yang perkembangan kerja belum mencecah 15%.

SSRMK-11

Melalui semakan semula Rancangan Malaysia ke-11 (SSRMK-11), kerajaan memasukkan sebahagian dasar yang berkaitan manifesto Pakatan Harapan. Ini terutamanya berkaitan reformasi institusi.

Malangnya ini tidak cukup diwar-warkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada khalayak ramai. Saya berharap ini akan dikongsikan supaya masyarakat umum sedar bahawa Pakatan Rakyat kekal komited terutama dengan manifesto yang dapat dilaksanakan tanpa implikasi kewangan dan undang-undang yang besar.

Melalui SSRMK-11 ini juga kita harus sedar bahawa pentadbiran baru sedikit-sebanyak akan terikat dengan rancangan jangka sederhana yang telah diumumkan tiga tahun lalu.

Ini menjadikan ruang pembaharuan terhad memandangkan ada projek-projek yang telah pun dirancang dan dibuat lebih awal dan tidak boleh dihentikan semudahnya kerana implikasi kewangan dan undang-undang tadi

Mungkin lebih tepat untuk dikatakan bahawa Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentang pada tahun hadapan adalah dokumen perancangan ekonomi jangka masa sederhana Pakatan Harapan yang sebenar berbanding SSRMK-11 atau Belanjawan 2019 dan 2020.

Belanjawan 2019

Ramai menantikan Belanjawan 2019 kerana ia merupakan belanjawan pertama yang akan dibentang kerajaan.

Sayangnya, saya harus akur bahawa ia tidak cukup memukau, mungkin kerana tempoh masa persediaannya, terutama berkaitan rundingan awam, yang terbatas selepas PRU-14.

Ini ditunjukkan misalnya dalam teguran YB Port Dickson, Anwar Ibrahim yang merasakan bantuan kepada kumpulan rapuh, khususnya petani, peladang, nelayan, penoreh getah dan sebagainya perlu diberi ketika ekonomi tidak menentu.

Syukur kerana Menteri Kewangan mengambil maklum dan berusaha untuk memperuntuk sejumlah bantuan kepada kumpulan rapuh ini, meskipun jumlahnya lebih rendah.

Beliau menjelaskan bahawa memang sukar meningkatkan kesejahteraan rakyat ketika kerajaan perlu melakukan pemulihan fiskal.

Memang sebelum pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan menyatakan beliau mungkin akan mengambil langkah tidak popular tetapi sangat diperlukan negara sekurang- kurangnya dalam tempoh 2-3 tahun pertama.

Jika kita lihat semula Belanjawan 2019, sebenarnya jumlah peruntukan yang dibelanjakan adalah lebih tinggi daripada tahun sebelumnya – iaitu RM314.5 bilion berbanding hanya RM280.25 bilion. Ini bermaksud pertambahan sebanyak kira-kira hampir RM35 bilion.

Peningkatan ini sudah tentulah memaksudkan bahawa kerajaan sebenarnya mempunyai asas yang kukuh dan mampu berbelanja. Jadual berikut merupakan perbandingan antara perbelanjaan Belanjawan 2018 (BN) dan Belanjawan 2019 (PH):

ADA GAMBAR TABLE KAT FOLDER DOWNLOAD

Namun, dalam tiga tahun pertama ini, keutamaan perbelanjaan sedikit-sebanyak berbeza berbanding sebelum ini. – 30 September, 2019

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Beliau juga ahli jawatankuasa pemandu ahli parlimen muda Bank Dunia dan pengasas Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/186877