Saya masih ingat sekitar tahun 2007, ketika membantu Open Dialogue Center (ODC) menggerakkan beberapa siri program pendidikan ekonomi. Salah satu program dianjurkan bersama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), sebuah badan intelektual yang dianggotai ramai cendekiawan muslim, khususnya para pendokong agenda islamisasi ilmu pengetahuan.

Sebagaimana selalu didengar, ramai cendekiawan muslim cuba mempopularkan istilah ‘ekonomi Islam’ dan ia tidak terkecuali dimunculkan dalam program yang dijalankan tersebut. Terlepas sama ada kita mahu bersetuju dengan keabsahan istilah tersebut, secara realiti ia mudah diterima oleh majoriti muslim, jika tidak semua.

Muslim di seluruh dunia kini sibuk mengambil manfaat sempena kehadiran bulan Ramadhan. Menjelang berakhirnya ‘bulan ibadah’ ini, muslim sering diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah, satu daripada tuntutan zakat yang wajib dalam ajaran agama Islam.

Zakat adalah satu daripada aspek yang selalu dibincangkan dalam keluasan wacana ‘ekonomi Islam’. Satu daripada contoh popular sering disebut ramai ialah tentang hebatnya ‘ekonomi Islam’ di mana wujud satu keadaan tidak ada sesiapa yang layak menerima zakat!

Dakwaan tersebut tentulah berbunyi gah dan menyuntik rasa bangga muslim. Hal ini diberitakan berlaku di zaman kekhalifahan Umar bin Abdul Aziz. Sejauh mana ia benar berlaku tidak dapat dipastikan dengan jelas. Tidak ada perincian tentang dakwaan ini dan untuk saya ianya masuk ke wilayah dakwaan popular untuk memanggil sentimen muslim.

Pada hari ini, ternampak muslim hanya sekadar mampu mengatakan “jika sistem zakat dilaksanakan dengan betul, pasti tidak timbul lagi masalah kemiskinan”. Ini juga satu lagi dakwaan yang tidak jelas. Pertama, ia mengandaikan wujudnya perlaksanaan tidak betul tanpa perincian dan kedua, kepastian bahawa tidak timbul lagi masalah kemiskinan itu adalah satu dakwaan yang boleh dilihat sebagai berlebihan.

Ini mengingatkan saya kepada allahyarham Syeikh Azmi, mantan mufti di negeri Pulau Pinang yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat. Satu daripada pandangan beliau yang saya fikir penting untuk diteliti ialah persoalan agihan zakat. Beliau mendakwa wujudnya lebihan wang zakat di negeri-negeri tertentu atas alasan semua yang layak, mengikut asnaf zakat, telah menerima bantuan.

Saya yakin alasan ini tentulah sukar diterima oleh muslim. Pertama, ia seolah-olah membayangkan bahawa masalah kemiskinan itu sudah selesai. Kedua, muslim percaya bahawa kutipan zakat untuk tahun tertentu mesti dihabiskan pada tahun itu juga. Ketiga, sebagaimana dicadangkan oleh allahyarham Syeikh Azmi, lebihan ini sebenarnya boleh dipanjangkan ke negeri-negeri lain. Keempat, sebanyak manakah ia benar-benar telah diagihkan? Terakhir, pernah berlaku debat dalam negara kita, sama ada ia boleh diberikan kepada bukan muslim atau tidak. Sekurang-kurangnya, lima perkara ini boleh dan patut dibincangkan oleh para ilmuwan muslim.

Persoalan pertama yang dinyatakan di atas mempunyai persoalan kritikal terhadap dakwaan “pengalaman di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz”. Banyak latar sejarah perlu ditekuni untuk kita melihat realiti populasi dengan segala kerencamannya dan membolehkan persoalan ini difahami secara tuntas. Jika tidak, sebagaimana dinyatakan sebelum ini, ia tidak lebih daripada sekadar dakwaan.

Persoalan kedua adalah relevan sekiranya kita benar-benar meneliti asnaf penerima zakat yang dibenarkan di dalam ajaran agama Islam. Persoalan ketiga, terkait dengan persoalan kedua, menambahkan sifat mustahil pada realiti lebihan wang zakat ini, jika benar. Persoalan keempat juga mempunyai perkaitan tidak langsung dengan persoalan kedua dan ketiga kerana ternampak agihan zakat ini berlaku secara buruk akibat sistem pentadbiran berpusat sehinggakan belanja pengurusan, melalui asnaf fisabillillah (berjuang atas nama Allah s.w.t.) telah mengambil bahagian yang besar (bahkan sehingga separuh!) daripada kutipan zakat ini!

Yang kelima, paling kontroversi selepas Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim pernah mengutarakan pandangan untuk menggunakan dapatan zakat bagi tujuan-tujuan pembangunan. Ini pernah mencetuskan kontroversi sehingga Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang ketika itu menjawat kedudukan mufti negeri Perlis tampil menjelaskan keadaan, meski ramai mungkin berat menerimanya.

Persoalan kelima ini tidak terhenti di situ. Saya mengesan lebih daripada perihal pembangunan kerana persoalan sebenar yang tidak ditangani ialah bagaimana pemberian zakat boleh digunakan untuk pengecualian cukai di Malaysia oleh muslim sambil kutipan zakat ini hanya diagihkan di kalangan muslim. Ini secara tidak langsung menghadirkan elemen ‘ketidakadilan berasaskan agama atau kaum’ dalam realiti sosial masyarakat Malaysia.

Saya yakin persoalan terakhir ini mempunyai keabsahannya tersendiri. Mungkin tidak disedari tetapi ianya berlaku. Ini turut mengingatkan saya akan pengenalan cukai kharaj oleh Kerajaan Negeri Terengganu semasa kepemimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang selepas Pilihan Raya Umum pada tahun 1999. Meskipun saya percaya beliau bermaksud baik, hakikat bahawa tindakan itu dilihat sebagai penambahan beban cukai kepada bukan muslim telah menonjolkan kelemahan muslim dalam mengenengahkan geist sebenar maksud kehadiran agama.

Memang agak merisaukan apabila saya sendiri berpengalaman berdepan dengan kesungguhan seorang anak muda yang sering melecehkan ‘epistemologi Islam’ orang lain (bahkan sebilangan ilmuwan muslim juga tidak terkecuali!) kerana berasaskan keyakinan bahawa dirinya memiliki keutuhan ‘epistemologi Islam’, beliau pernah mendakwa bahawa cukai Jizyah dalam Islam (cukai bersifat perlindungan) adalah bukti bahawa ‘elemen perkauman’ itu dibenarkan.

Itu mungkin hujah para pendokong semangat ‘perlindungan kaum’. Elemen wajib pada zakat juga pernah dijustifikasikan sebagai ‘kuasa kerajaan untuk membuat kutipan’. Satu lagi aspek berkaitan dan sering dipanjangkan sebagai hujah oleh para pendokong aliran ekonomi klasik ialah kadar kutipan zakat yang cukup rendah, sekitar 2.5% berbanding kutipan tinggi cukai sebagaimana berlaku pada zaman ini di banyak tempat sehingga mewujudkan masalah ‘perangkap pendapatan pertengahan’ (middle-income trap).

Daripada penjelasan di atas, saya merumuskan bahawa wujud keperluan untuk muslim merenung semula ke dalam diri sendiri untuk memperteguh gagasan ‘ekonomi Islam’ dengan menyemak semula amalan kutipan dan agihan zakat ini. Apa yang boleh ditawarkan ialah:

1. Hapuskan kebanyakan cukai yang selama ini cukup membebankan rakyat dan perkenalkan kadar cukai yang setara dengan zakat. Kadar zakat yang rendah jelas tidak menjustifikasikan kuasa besar kerajaan dalam hal kutipan hasil.

2. Meskipun kadar kutipan zakat secara relatifnya rendah, nilainya tidak semestinya sedikit. Di Malaysia, ratusan juta wang zakat dikutip hanya di sebuah negeri! Justeru, segala bentuk kegunaan zakat ini dijelaskan secara terang dan nyata agar ia boleh disemak-imbang untuk manfaat yang optimum kepada semua asnaf yang layak menerimanya dan bukan dihabiskan untuk membuat papan tanda atau kain rentang iklan mengenai kewajipan berzakat serta gambaran bahawa institusi zakat telah dan sedang melakukan sesuatu.

3. Adalah wajar sistem pengurusan zakat secara berpusat diminimakan atau dihapuskan. Kutipan zakat yang dibuat di peringkat kampung, mukim, daerah dan sebagainya harus diuruskan di peringkat tersebut. Pengurusan berpusat boleh meningkatkan kos dan tempoh pengurusan yang boleh dimudahkan.

4. Berasaskan semangat sebenar zakat, lebihan kutipan di ‘kawasan maju’ boleh diluaskan agihannya di kawasan memerlukan.

Akhir sekali, saya berpendapat bahawa muslim seharusnya lebih sensitif dengan persoalan keadilan, kebebasan serta kesama-rataan. Semua nilai-nilai besar dalam sejarah pengalaman perkembangan ajaran Islam serta peradaban dunia ini tidak wajar dibicarakan secara cetek, tetapi harus meresap dalam dan jauh kepada fikiran dan amalan kita seharian. Untuk muslim, ini tidak terlepas daripada persoalan amanah dan dakwah. Tanpa bukti alternatif berasaskan petunjuk sistem pengurusan cemerlang serta kesan berganda daripadanya, kita akan terus bermain dengan slogan serta kisah-kisah muluk tentang indahnya ‘ekonomi Islam’.

Saya fikir zakat mungkin isu pemula untuk sebuah wacana ‘ekonomi Islam’ yang segar sebelum persoalan lebih kompleks seperti wang emas dibincang-bahaskan. Ciri-ciri ini nanti akhirnya harus diintegrasikan sebagai sistem untuk pentadbiran.

Wallahu’alam.

Amin Ahmad, 28 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my).

https://www.malaysiakini.com/news/514637