Pada 11 Julai yang lalu, saya telah dijemput mempengerusikan sebuah forum anjuran Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang membincangkan isu bertajuk Gaji Minima – Adalah ia cara terbaik membantu orang miskin? Saya dimaklumkan TV3 dan NTV7 ada menyiarkan liputan forum ini dalam ruang Berita Perdana jam 8 malam tersebut namun saya tidak sempat menontonnya.

Sebenarnya isu Gaji Minima ini banyak dibincangkan di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini. Tentu sekali ia adalah sebuah usul yang popular memandangkan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Rakyat (PR), kini mentadbir sejumlah negeri-negeri ‘kuasa ekonomi’ di Malaysia kelihatan seakan bersetuju dengan usul ini.

Berdasarkan rekod sejarah, ia bukanlah usul baru tetapi usul yang telah lama dibincangkan sejak abad ke-19 sebelum Australia dan New Zealand menjadi negara terawal menggubal Akta berkaitannya pada tahun 1890-an selepas protes keras dan kerap oleh Kesatuan Buruh di sana. Sekiranya kita meneliti dengan lebih dekat lagi, perdebatan Gaji Minima ini mempunyai kaitan kuat pertembungan ideologi sejak zaman berzaman. Sepanjang pemerhatian saya, IDEAS merupakan satu-satunya organisasi di Malaysia yang banyak membincangkan penolakan usul ini selain daripada Persekutuan Majikan Malaysia. Untuk saya, pendirian IDEAS ini tentulah satu pendirian yang berani kerana ia adalah satu pendirian tidak popular di kalangan rakyat terbanyak.

Pagi itu menampilkan empat panelis: 1) saudara Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD). Beliau juga ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti yang rencam pandangan politiknya; 2) Tuan Haji Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia yang mempunyai banyak fakta, data, statistik dan pengalaman berdepan dengan isu ini di peringkat domestik dan antarabangsa; 3) Dr. Lee Chee Sung, Pengarah Eksekutif (Ekonomi) Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang pernah berkhidmat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selama lebih 20 tahun dan pernah menjadi Ketua Jabatan Sistem Kewangan di institusi kewangan antarabangsa itu. Dalam perbualan dengannya selepas program, saya tanyakan “Kenapa tinggalkan IMF untuk NKEA?”. Beliau menegaskan bahawa ini adalah masa untuk beliau berkhidmat kepada negara. Panelis terakhir pada pagi itu ialah 4) saudara Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS sendiri.

Khalid Jaafar memulakan perbincangan dengan mengutip sebahagian dialog Socrates “apakah kita benar-benar mahukan keadilan atau kita hanya mahu sesuatu itu kelihatan adil?”. Beliau mengimbas satu tulisan di Jurnal Economic Review pada tahun 1978 yang memuat pandangan ‘hampir konsensus’ oleh para ahli ekonomi bahawa Gaji Minima hanya akan meningkatkan kehilangan pekerjaan. Pada beliau, Gaji Minima hanya boleh menjamin gaji, tetapi tidak boleh menjamin peluang pekerjaan. Beliau berpandangan bahawa peningkatan gaji hanya boleh berlaku dengan peningkatan ekonomi negara yang sekaligus bukan sahaja menjamin gaji, tetapi juga menjamin pekerjaan. Beliau menjelaskan pandangan ini dengan asas ekonomi: penawaran kerja harus melebihi penawaran buruh.

Shamsuddin Bardan memulakan dengan definisi Gaji Minima iaitu “kadar gaji paling rendah patut dibayar dan dipersetujui melalui kontrak”. Beliau menjelaskan bahawa garis kemiskinan di Malaysia ditentukan oleh Pendapatan Isi Rumah, bukan Gaji Minima. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), menurut beliau, meskipun bertujuan baik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, agak idealis dari segi perlaksanaannya kerana ILO tidak mempedulikan kemampuan syarikat. Beliau juga menerangkan kesulitan perlaksaan Gaji Minima berpunca daripada rencamnya sektor yang ada sama ada formal dan tidak formal.

Saya tertarik dengan kesudian Dr. Lee datang berkongsi pandangan beliau atas kapasiti peribadi. Beliau berpendapat, berasaskan banyak kajian yang telah dibuat, Akta Gaji Minima adalah satu dasar yang tumpul untuk menyelesaikan masalah kemiskinan; bahkan bukan saja ada kelompok akan kehilangan kerja, tetapi banyak kes ia menyebabkan industri tutup dan semua pekerja di industri tersebut kehilangan kerja. Jika ada kes ianya berjaya dilaksanakan, dan ini agak sukar ditemukan, ia hanya dapat berlaku di negara maju. Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa Gaji Minima boleh merapatkan sedikit gini-coefficient (jurang kaya-miskin) dalam masyarakat.

Panelis keempat, Wan Saiful memanjangkan hujah dengan perbincangan persoalan hak individu dan campur tangan kerajaan. Beliau menyifatkan Gaji Minima adalah satu isu yang tidak patut dicampur-tangan oleh kerajaan. Pada hemat beliau, isu Gaji Minima telah dipolitikkan oleh pihak tertentu di dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kerana ianya bersifat populis. Wan Saiful berpendapat usaha pengolahan persetujuan kolektif (collective bargaining) perlu diperkuatkan di Malaysia dan bukan menggunakan Akta untuknya. Beliau berpendapat majikan di Malaysia perlu rasional dan bertanggungjawab serta tidak mengambil kesempatan di samping Kesatuan Sekerja mesti diperkuat. Hakikat bahawa keanggotaan Kesatuan Sekerja hanya sekitar 8% menunjukkan kegagalan Kesatuan Sekerja untuk memobilisasikan kumpulan pendesak mereka. Beliau juga menolak tekanan majikan dan kerajaan untuk Kesatuan Sekerja aktif dan kuat.

Wan Saiful berpendapat Gaji Minima hanya akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu yang tidak patut menerimanya. Lebih buruk, mereka yang tidak berada dalam sistem misalnya “makcik penjual pisang goreng” tidak mendapat manfaat ini. Beliau membawa contoh pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang menikmati Gaji Minima dengan hanya membuat kerja separuh masa. Pada saya, itu masih dikira baik. Isteri saya yang pernah berkhidmat di Australia mengatakan para penganggur di sana juga menikmati Gaji Minima sehingga 700 dollar Australia tanpa perlu berbuat apa-apa! Ini tentu saja satu berita yang menggembirakan untuk para penganggur! Cuma, yang membezakannya ialah kemampuan Australia dan Malaysia untuk membiaya hal ini. Di Australia, saya difahamkan bahawa kira-kira 50% penduduk di sana membayar cukai berbanding di Malaysia yang tidak pun sampai satu pertiga.

Sesi soal jawab ternyata lebih menarik. Saya terkejut apabila seorang audiens yang mendakwa datang daripada organisasi Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) menyatakan “kenapa kita perlu peduli dengan mereka yang hilang pekerjaan sedangkan majoriti pekerja akan mendapat manfaat?”. Ungkapan ini hadir sebagai satu maklum balas kenyataan bahawa kelompok yang akan hilang pekerjaan adalah kelompok kurang mahir dan corot latar belakang pendidikan di mana ia lazimnya merujuk kepada kelompok miskin yang mahu dibantu pada asalnya. Panelis agak terkejut dengan kenyataan tersebut kerana ia tidak mencerminkan alasan biasa yang selalu kedengaran: untuk menolong peningkatan taraf hidup golongan miskin.

Saya fikir satu lagi soalan daripada ahli JERIT yang lain tidak kurang menarik. Beliau bertanyakan pandangan panelis “sama ada gaji sebanyak RM350-RM700 itu cukup atau tidak?”. Semua panelis sebulat suara mengatakan ia tidak cukup dan Dr. Lee menegaskan bahawa keadaan gaji di Malaysia yang tidak banyak berubah sejak 20 tahun lalu adalah sesuatu yang serius dan perlu ditangani. Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Khalid Jaafar bahawa ia tidak mudah dilakukan kerana dinamika masyarakat yang perlu diselidiki. Khalid menegaskan bahawa isu gaji ini menunjukkan Malaysia sebenarnya berada dalam situasi krisis di mana stagflasi (iaitu situasi kadar inflasi dan pengangguran yang tinggi) boleh berlaku. Beliau menambah, pendapatan sebenar (real wages) – pendapatan yang diselaras dengan kenaikan inflasi – perlu diguna-pakai berbanding pendapatan tetap (nominal wages).

Semua panelis menyimpulkan bahawa Malaysia memang sangat memerlukan ekonomi yang manusiawi tetapi ia bukan dengan cara menggunakan undang-undang untuk menetapkan gaji. Shamsuddin Bardan pada akhirnya menggesa agar Kesatuan Sekerja mengukuhkan diri dan sentiasa melindungi pekerja secara rasional dalam proses rundingan dan Wan Saiful menegaskan bahawa kita semua perlu mengembalikan keutuhan masyarakat perihatin (Caring Society), dan bukan menompokkan lebih kuasa kepada kerajaan untuk membolehkan kita maju ke depan.

Pada akhirnya, saya menyimpulkan bahawa dunia yang bermasalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan dengan perbincangan selama dua jam. Apa yang perlu dilakukan ialah pertukaran pendapat secara berterusan, objektif dan tidak terlalu emosional. Saya dapat melihat maksud sama mahu dicapai oleh semua pihak yang berbeza pendapat, hanya bezanya pada kaedah untuk mencapai maksud tadi. Untuk saya, masa depan Malaysia akan lebih baik dengan rancaknya sumbangan idea serta ruang bebas untuk semua menyertai dan merayakan demokrasi.


Noor Amin Ahmad ialah Penyelidik Bersekutu di IDEAS.

https://www.malaysiakini.com/news/514637