Kita memang perlu belajar daripada sejarah. Tapi bukan untuk syok sendiri. Kita mesti belajar untuk memperbaiki diri sendiri dan keadaan. Sebab itu George Santayana, profesor falsafah di Harvard pernah mengingatkan kita bahawa “mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan dikutuk kerana mengulangi kesilapan masa lalu”.

Ada pemikir dan penulis mungkin berkhayal bila membandingkan Lincoln dengan Abah. Dalam pertarungan melawan pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat pun hujah ini tidak dipakai. Abah bukan Lincoln. Untuk terfikir membandingkan keduanya pun sudah cukup menjengkelkan.

Benar, di awal kepresidenan Lincoln beliau ada menerima kecaman, bahkan ancaman bunuh. Tetapi, siapakah yang melakukan itu? Ia adalah puak kalah dalam kempen kepresidenan yang baru saja berakhir. Hakikat bahawa Lincoln terpilih menjadi presiden Amerika Syarikat ketika itu tentulah kerana pengundi di Amerika memberikan mandat popular kepadanya. Dan dalam demokrasi, yang popular bukanlah beerti beliau mendapat sokongan mutlak. Pasti ada lawannya.

Mengapa Lincoln menjadi popular dan lawannya kalah sehingga berterusan membenci malah mengancam nyawanya? Tidak lain dan tidak bukan kerana mesej perjuangan Lincoln ketika itu, iaitu menghapuskan perhambaan kaum kulit hitam. Apakah mesej penentangnya? Kelompok yang menggunakan alasan politik demografi untuk terus menghidupkan sistem penindasan dan kawalan elit pemodal sehinggakan sanggup memisahkan negara (secession).

Dan Lincoln bukan pengecut. Beliau berdiri di setiap ruang, di atas tunggul kayu mahu pun di dewan, mendebatkan lawannya yang tidak kurang petah berpidato. Begitulah dia ketika mempertahankan dasar-dasar yang diambil olehnya sehingga dipilih sekali lagi sebagai presiden Amerika Syarikat. Dia tidak mewakilkan pihak lain atau hanya menghantar kertas-kertas bertulis sebagai jawapan. Malah beliau sesekali turun bersama tenteranya di lapangan.

Saya yakin, jika Lincoln hidup di era ini, ucapannya di Gettysburg yang termasyhur itu tidak akan mengungkap:

“… that this nation, under God, shall have a new birth of freedom and that government of the SD, by the SD, for the SD, shall not perish from the earth.”

Kabinet Lincoln unik. Pasukan berlawanan (team of rivals) yang dirumuskan oleh Dorris Kearns Goodwin, pemenang hadiah Pulitzer sebagai kegeniusan politik Abraham Lincoln. Ini tentu sekali berbeza dengan sikap pemimpin politik yang cuba memonopoli parti hanya kerana ‘kartelnya; menang lebih banyak semasa pemilihan.

Dan Lincoln menuju kemenangan dalam perang saudara di Amerika Syarikat kerana banyak sebab antaranya kerana tenteranya berpadu, tidak berpecah-belah atau berpakat dengan lawan untuk mensabotaj pasukan sendiri. Dalam tentera, jika ini berlaku, hukumnya ialah ditembak mati!

Malang sekali usaha mengheret Lincoln dalam teknik mengampu sang penguasa ini sampai turut meremehkan pertentangan kelas yang konon dianggap basi.

Seperkara tentang Lincoln yang jarang disebut ialah beliau seorang pembaca, dan kerana susahnya hidup, belajar sendiri sehingga mahir. Beliau tidak menswastakan akalnya kepada penulis atau pemikir lain. Dan kerana pengalaman dan pembacaannya, beliau turut berjuang untuk kepentingan masyarakat tertindas dan terpinggir, tanpa mengira warna kulit. Hanya saja ini jarang diperkatakan kerana perlawanan menentang perhambaan dan perkauman jauh lebih bersifat revolusionari pada waktu itu.

Walaupun Azmin sendiri tidak membaca bukunya, penulis sebenar buku tersebut mungkin lupa gambar Azmin memegang buku Piketty diangkat sebagai pilihan. Malah, laporan Bank Dunia tentang Shared Prosperity diangkat sebagai tema dasar utama menteri ekonomi 2018-2020 – Wawasan Kemakmuran Bersama. Lupakah penulis buku Stiglitz yang ditunjuk kepada saya dan dikatakan akan menjadi panduan dasar itu?

Saya bukanlah jurukempen utama pertentangan kelas, tetapi mengingatkan semua ini membuatkan saya tertanya: Apakah penasihat Azmin Ali tidak ada sekelumit rasa malu tentang ini?

Seorang pemikir dan penulis tidak boleh semudahnya menjungkir balik sejarah, apatah lagi dalam masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan.

Kita boleh cuba mengangkat pemimpin tertentu yang kita suka atau senang berurusan dengannya. Namun, biarlah ia dibuat secara lebih terhormat supaya dapat dibezakan antara seorang pemikir dan pengampu.

AMIN AHMAD ialah ahli parlimen Kangar. Beliau pernah menterjemahkan lebih 1,500 muka surat biografi Abraham Lincoln tulisan Carl Sandburg, sejarawan terkenal Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam tiga jilid buku oleh Institut Buku Darul Ehsan.

https://www.malaysiakini.com/news/586063