KATA MP | Saya masih ingat betapa gembiranya pada awal Disember 2019, melihat Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menghadkan tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri kepada dua penggal – iaitu maksimum lima tahun – diletakkan di atas meja ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ia menjadi satu lagi daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang akan dilaksanakan.

Meskipun pada waktu itu PH teruk diasak oleh pembangkang, saya fikir fokus untuk melakukan reformasi mesti diteruskan, dan menghadkan perkhidmatan perdana menteri adalah satu daripada perkara penting dalam agenda ini.

NaMenteri undang-undang ketika itu, mendiang V. K. Liew, dalam kenyataan kepada media, ada menyebut bahawa Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan antara lain akan dipinda kepada: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat – yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu; dan – yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.”

Tak sempat bacaan kedua

Bacaan kedua sepatutnya dibuat pada Mac 2020. Namun, PH telah dijatuhkan melalui pengkhianatan Bersatu dan kumpulan ahli Parlimen pro-Azmin dalam PKR sebelum itu.

Kumpulan pengkhianat ini, bersama parti-parti yang kalah semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, termasuk beberapa wakil rakyat bebas, telah bekerjasama membentuk kerajaan baru yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN).mun, ia hanya kekal sebagai bacaan pertama.

Dewan yang tidak boleh ditangguhkan lebih enam bulan hanya dibuka pada Mei 2020 dengan Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tanpa perbahasan.

Apabila sidang dipanggil bagi meluluskan RUU Langkah Pencegahan Sementara berkaitan kewangan dan perundangan pada bulan dan Ogos, RUU bagi menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri ini telah ditarik balik.

Menteri undang-undang yang baru ketika itu, Takiyuddin Hassan tidak memberikan sebab kepada penarikan ini selain menyatakan bahawa ia dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62: “Ahli yang menjaga sesuatu Rang Undang-undang boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik Rang Undang-undang itu, atau hendak menangguhkan peringkat satu lagi Rang Undang-undang itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau Bacaan kali yang ketiga. Menarik balik dan menangguhkan Rang Undangundang. 83 apabila sampai pada perkara Rang Undang-undang itu dalam Aturan Urusan Mesyuarat.”

Sekonyong-konyong, setahun kemudian, pada Ogos 2021, Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin telah muncul di televisyen bersama barisan Kabinetnya menawarkan perdamaian dengan parti-parti pembangkang apabila sebahagian ahli Parlimen Umno mula menyatakan rasa tidak puas hati dan menarik sokongan terhadap beliau.

Antara kandungan perdamaian ini termasuklah untuk menghadkan perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal.

Seingat saya idea untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri mula kedengaran sejak 1990-an, ketika Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan tersebut kali pertama sejak tahun 1981.

Dr Mahathir hanya melepaskan jawatan pada tahun 2003, setelah 22 tahun. Pada usia 90-an, beliau telah sekali lagi menjadi perdana menteri. Menariknya, kali ini beliau diangkat oleh parti-parti dan sebahagian pemimpin yang dulu menentangnya.

Begitulah sedikit sebanyak perkembangan tentang idea ini bergerak dalam realiti politik sejak lebih dua tahun lalu.

Malangnya, ia terbingkai sebagai komoditi politik, bukan keinginan sebenar (genuine interest) sesetengah pihak untuk memajukan sistem dan cara berpolitik di Malaysia.

Meskipun umumnya idea ini semakin diterima, beberapa persoalan dasar dan teknikal masih perlu diberi perhatian. Sebagai contoh:

Bagaimanakah tempoh masa ini akan dihitung? Adakah ia bersifat retrospektif atau prospektif?

Sekiranya ia mengambil kira tempoh 10 tahun, adakah ia secara berterusan atau mengambil kira mana-mana tempoh beliau pernah berkhidmat?

Sekiranya mengambil tempoh penggal, adakah misalnya tiga orang perdana menteri yang ada dalam penggal ini masing-masing dikira telah berkhidmat satu penggal, atau hanya mengambil dikira jumlah tahun perkhidmatan sejak mereka mengangkat sumpah?

Harus diingat seseorang juga boleh menjadi perdana menteri atas sebab-sebab luar jangka misalnya kematian, sebagaimana dalam kes Hussein Onn menggantikan Abdul Razak Hussein, atau peletakan jawatan seperti kes Dr. Mahathir menggantikan Hussein Onn.

Jika mengikut tahun perkhidmatan, seseorang berkemungkinan menjadi Perdana Menteri dalam tiga penggal berbeza (mengambil kira Parlimen boleh dibubarkan dalam tempoh kurang empat tahun). Bila ini berlaku, akan timbul isu penggantian Perdana Menteri di tengah penggal, atau mungkin di akhir penggal.

Bagaimana sekiranya seorang Perdana Menteri enggan melepaskan jawatan?

Apa akan berlaku jika tidak ada mana-mana ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti, kecuali seorang ahli Parlimen yang pernah menduduki jawatan tersebut dalam tempoh yang dihadkan?

Meskipun sebahagian soalan ini sukar dijawab, kita mesti mengingati pesan hikmah agar tidak menjadikan kesempurnaan sebagai musuh kebaikan (don’t let the perfect be the enemy of good).

Sebenarnya idea menghadkan kuasa pemerintah bukanlah baru. Malah, ia adalah konsep teras sistem demokrasi yang membezakannya dengan sistem komunisme.

Namun, demokrasi bukan formula suci. Ini terbukti dengan naiknya sejumlah pemimpin diktator dan penindas melalui demokrasi. Hitler tentulah contoh klasik yang menjadi sebutan sehingga kini.

Justeru itu, selain berusaha mengukuhkan pemisahan kuasa (separation of powers), sesetengah negara turut menghadkan perkhidmatan sama ada ketua negara atau ketua eksekutif mereka. Tujuannya jelas untuk mengelak kuasa berlebihan yang berpotensi disalah guna.

Di Malaysia, jawatan ketua negara memang telah dihadkan, bergilir di kalangan Raja-Raja Melayu melalui proses tertentu. Namun, jawatan ketua eksekutif tiada had. Justeru itu, idea menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri tidak harus menjadi pelik atau dicurigai.

Ia sepatutnya disokong oleh semua pihak. Kita mesti yakin bahawa negara ini mempunyai cukup bakat untuk memimpin negara ke hadapan. Kita mesti memberi peluang kepada ramai pemimpin lain yang sudah tentu berkeupayaan menawarkan khidmat baik kepada semua.

Noor Amin Ahmad

Diterbitkan:  Feb 18, 2022 9:00 AM

https://www.malaysiakini.com/news/611153