SEMALAM sebenarnya ada dua naratif besar sedang dibina. Namun ramai lebih memberikan perhatian kepada Piagam Muafakat Nasional antara dua buah parti terbesar di negara kita, iaitu Umno dan PAS. 

Meskipun cabaran yang akan diberi oleh kerjasama dua parti ini pasti sengit, ia masih terlalu awal untuk dibincangkan. Saya akan menulis mengenainya kemudian. 

Naratif lain yang juga sedang dibina ialah pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang dasar hala tuju jangka panjang ekonomi negara – Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Dalam laporan berita dinyatakan wawasan ini bertujuan untuk menangani isu jurang ekonomi antara negeri dan miskin-kaya melalui pengupayaan warga. Kebetulan, Perdana Menteri turut menyatakan antara negeri miskin yang akan dibantu ialah Perlis, negeri saya. 

Memang sebelum ini saya pernah membangkitkan isu jurang pembangunan khususnya berkaitan Perlis dalam sesi dialog bersama beliau serta ketika beberapa peluang berbahas di Dewan Rakyat.

Pastilah saya berharap kerajaan akan melakukan sesuatu yang berkesan dalam aspek ini. Sementara menanti dokumen lengkap, eloklah proses rundingan bersama pemegang taruh dibuat dengan teliti.

Latar persoalan

Persoalan yang mendasari idea kemakmuran bersama ini sebenarnya bukanlah baru. Malah ia merupakan wacana tanding yang selalu mengiringi persoalan pembangunan di seluruh dunia.

Sebelum ini Bank Dunia, dalam misi memerangi kemiskinan di seluruh dunia, menggariskan dua objektif besar untuk dicapai iaitu menghapuskan sama sekali kemiskinan tegar dan seterusnya merapatkan jurang kaya-miskin. 

Bermula 2013, penekanan diberi kepada kemakmuran bersama yang mengandungi dua elemen utama iaitu pertumbuhan ekonomi dan ekuiti. Usaha ini memberi tumpuan kepada kumpulan 40% rakyat berpendapatan terendah. 

Secara ringkasnya, yang dimaksudkan dengan kemakmuran bersama ialah pembangunan inklusif iaitu dirasakan oleh mereka yang tertinggal dalam kepantasan arus pembangunan. 

Selama beberapa dekad, kemiskinan global telah berkurang secara drastik. Malaysia, pada satu tahap dianggap sebagai antara negara contoh. Namun statistik di atas kertas mungkin sahaja boleh memberi gambaran yang tidak tepat dengan realiti sebenar kesukaran hidup. 

Bayangkan jika statistik menunjukkan kemiskinan begitu melata? Apakah pula realiti sebenarnya? 

Dalam sejarah dunia, kita dapat melihat ada negara miskin berupaya bangkit menjadi negara maju. Ada juga negara kaya yang merudum. Malah ada negara, termasuk Malaysia, termasuk dalam perangkap pendapatan pertengahan.

Bukan sahaja itu, negara miskin, sederhana dan kaya masing-masing tidak terlepas daripada pelbagai krisis ekonomi politik yang tersendiri dari semasa ke semasa. Daripada seluruh pengalaman ini pastilah ada penjelasan-penjelasan untuk diteladani bersama. 

Agenda Baharu Malaysia

Sebagaimana kemiskinan sukar diukur, begitulah juga dengan langkah mengatasinya. Lazimnya, kita mudah mendengar ahli-ahli politik menyanyikan lagu pengagihan kekayaan yang lebih adil. Ia memang enak didengar.

Namun, akhirnya, falsafah umum yang mesti diterima ialah kita tidak mungkin selamanya dapat mengagihkan kekayaan tanpa menjana pertumbuhan baru.

Jika kita hanya berpuas hati dengan cara tersebut, lambat laun yang akan kita mampu agihkan hanyalah kemiskinan. 

Dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya, pelbagai isu dibangkitkan oleh pemain-pemain politik untuk memenangi imaginasi rakyat yang diterjemahkan melalui kertas undi.

Meskipun ekonomi mempunyai peranan besar dalam menentukan sokongan ramai, penyelesaian ekonomi sahaja tidak memadai untuk negara bergerak ke hadapan secara utuh. 

Dalam kata lain, menjadi negara kaya tidak bermaksud sesebuah negara itu makmur. Sebaliknya, kemakmuran sesebuah negara adalah resepi kekayaannya. 

Maka tidak hairanlah pelbagai pihak cuba mendefinisikan erti kemakmuran. Di peringkat global, Indeks Kemakmuran Legatum (Legatum Prosperity Index) misalnya mengukur bukan sahaja aspek persekitaran ekonomi dan perniagaan, tetapi juga tata kelola, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu, modal sosial dan alam sekitar. 

Secara umumnya, berdasarkan indeks ini, pencapaian Malaysia agak memuaskan (kecuali dalam petunjuk kebebasan individu, selainnya kita berada dalam julat antara 22-55 negara terbaik dalam laporan terakhir yang dibuat pada 2019). Kita berada di kedudukan ke-44 dunia. 

Namun sekali lagi, kita tidak wajar lekas berpuas hati dengan petunjuk-petunjuk indeks ini. Kita mesti berani melihat lebih jauh mendalam. Ini kerana Malaysia secara relatifnya berada pada kedudukan sama – agak baik – sejak beberapa tahun lalu. 

Justeru, persoalan yang harus ditanya – apakah yang mendorong rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran lalu sehingga mereka berani menciptakan sejarah Malaysia moden?

Dengan menjawab persoalan ini, kita akan lebih mengerti mengapa perlunya kita kepada satu wawasan kemakmuran bersama. – 15 September, 2019.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/183493