(PH) jadi kerajaan dan selepas PH jatuh. Masalah sebenar kita ada pada belanjawan kita. Kena tengok dasar fiskal kita. Masalah ini akan terus menghambat kita tak kira siapa pun jadi kerajaan.

Saya cuba ketengahkan belanja mengurus kita terlalu tinggi. Zaman Pak Lah sudah cecah 88% daripada hasil kutipan cukai tahunan. Zaman Najib cecah 95-99%.

Ya, jumlah terkumpul cukai boleh dikatakan hanya untuk tampung belanja mengurus. Tiga item besar ialah gaji, pencen dan subsidi. Semua item sensitif jika hendak ubah. Boleh hilang undi!

Peratusan belanja pembangunan jadi terlalu kecil. Maka kita terpaksa terus berhutang dari tahun ke tahun. Ini sebab hutang tidak berkurangan.

https://a8e2f0e14c613a6e02b63d3aae3c5e30.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html Daripada segi undang-undang yang kawal selia kewangan, kita hanya boleh buat hutang untuk 1) tujuan pembangunan dan 2) bayar hutang lama (debt rollover – atau dalam bahasa mudah gali lubang tutup lubang). Ini dengan anggapan nilai wang akan susut pada masa akan datang.

Sebab itu walaupun jumlah hutang meningkat, berbanding KDNK peratusan mungkin lebih rendah.

Beberapa pendekatan boleh diambil iaitu antaranya tambah cukai dan belanja berhemat. Ini antara sebab kenapa Barisan Nasional (BN) di bawah Najib henak kenalkan GST. Tambah hasil, katanya. Tapi belanja mengurus tidak turun secara signifikan. Maka balik kepada isu asal, duit tidak cukup.

Pendekatan terbaik ialah gandakan pertumbuhan. Dengan pertumbuhan yang tinggi kita dapat melakukan konsolidasi fiskal untuk kurangkan pinjaman hutang tahunan. Sampai satu tahap sederhana kita mungkin dapat jadikan hutang tahunan sifar. Lepas sifar baru lebihan tahunan boleh bayar hutang lama. Panjang proses ini, tuan-tuan.

Satu cara Najib henda belanja berhemat ialah kurangkan subsidi. Ramai tidak ingat masa Najib baru ambil alih daripada Pak Lah pada 2009, setahun kemudian Idris Jala buat kenyataan kontroversi: Malaysia akan bankrap pada 2019 jika terus amal belanjawan cara waktu itu. Waktu itu belanja subsidi kita mencecah RM74 bilion setahun! Terakhir hanya sekitar RM30 bilion (tidak ambil kira Pakej Rangsangan Covid-19 sebab itu satu wacana baru yang besar juga. Kita bincang kemudian).

Ya, subsidi kurang dah banyak dari zaman Pak Lah ke zaman Najib. Ramai tidak sedar. Tapi malangnya belanja mengurus terus tinggi. Ia menjelaskan sekurang-kurangnya dua perkara:

i) Kecekapan komunikasi BN dalam pastikan pengurangan subsidi boleh diterima (termasuk memperkenalkan elemen popular bantuan tunai. Kurang banyak tempat lain, bagi lebih kecil tapi popular di tempat lain). Ini PH tidak buat dengan baik.

ii) Sebab kenapa wujud rasa tidak puas hati yang semakin berkembang dalam masyarakat. Najib perkenal program subsidi popular macam BR1M, tapi dalam usaha beliau tingkat hasil kerajaan dengan perkenal GST.

Rakyat marah sebab ia tidak diurus dengan baik. Subsidi sudah potong, cukai sudah tambah. Duit guna untuk apa yang signifikan?

Tentang langkah tambah hasil kerajaan. Saya antara yang selalu pertahan GST cukai yang bagus. Tapi GST juga mesti ambil kira kesan regresif yang ada. Jangan kita ingat bila bagus mesti terima bulat-bulat. Banyak benda bagus di dunia ini tak dapat jadi dasar sebab penilaian bagus boleh jadi subjektif.

Tanya kepada kerajaan bagus sebab GST tambah hasil. Kerajaan yang hendak guna. Ahli politik boleh bangga kami agih lebih banyak. Tidak ada rasa malu dan segan bahawa GST itu sebenarnya cukai yang diambil daripada rakyat juga. Isu sebenar yang perlu kita perhatikan ialah perbelanjaan bermakna kerajaan.

GST mungkin sistem yang baik. Tapi untuk masyarakat yang 72% berpendapatan kurang RM3,000 dan tak ada simpanan kecemasan, 64% hanya ada kurang RM50,000 KWSP pada usia 55 tahun, hutang isi rumah tertinggi di Asia dan mencecah 90% KDNK, maka cabarannya mungkin berbeza.

Semakin kritikal rakyat kepada corak perbelanjaan kerajaan sebenarnya bagus. Sebab itu walaupun ada yang beria nak pertahan NDA dalam isu pembelian vaksin, saya tetap percaya tuntutan ketelusan itu baik. Jadi nak pertahan NDA tidak perlu sampai menganggap ketelusan itu buruk.

Maksudnya ialah walaupun dalam perkara yang kita sifatkan penting dan mustahak disegerakan, nilai yang menggalakkan tatakelola kerajaan yang baik mesti terus disuburkan, dipertahan dan dijadikan nilai bersama.

Sebelum PRU13 Najib cuba buat pembaharuan dalam item gaji dan pencen dgn memperkenalkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Ia ditolak secara meluas. Najib batalkan. Bagi yang tahu sikit sebanyak falsafah politik ekonomi dan realiti fiskal negara, mereka akan faham mesej tersirat di sebalik SBPA.

Ada kecenderungan biasa dalam perbahasan belanjawan iaitu ahli Parlimen suka banding tahun lepas dan tahun ini peruntukan dapat lebih atau kurang. Mereka selalu anggap dapat lebih itu bagus. Sebenarnya bagus atau tidak bukan pada sikit atau banyak peruntukan tapi pada hasil perbelanjaan.

Ahli Parlimen juga lazimnya bahas belanjawan dengan melihat perspektif tahunan. Tak ramai cuba melihat corak yang berkembang dari tahun ke tahun untuk melihat hala tuju ekonomi kita. Ramai seakan tidak sedar belanjawan kita terlalu diikat dengan rolling plan Rancangan Malaysia (RMK) demi Rancangan Malaysia.

Yang agak malang ialah RMK ini banyak cantik atas kertas tapi penyampaian (delivery) tersasar jauh. Contoh kes Sekolah Sukan di Perlis sudah memadai. Dalam kes Sekolah Sukan ini pun sama, ramai hanya lihat laporan audit dalam konteks projek, bukan corak hala tuju ekonomi.

RMK ini semua sebenarnya terkait dgn apa yang saya tulis di atas iaitu rancangan menggandakan pertumbuhan. Jika RMK tak jalan seperti dirancang, bagaimana kita nak mengharap penggandaan pertumbuhan boleh berlaku? Itu baru soalan asas. Lagi, bagaimana pula kemakmuran bersama boleh dicapai?

Saya masih seorang liberal dalam faham ekonomi politik iaitu masalah sebenar belanjawan kita ialah corak perbelanjaan kerajaan. Sebelum kerajaan bercakap ttg masalah hasil cukai yang tidak cukup, isu ketirisan, rasuah, ketelusan dan lain-lain mesti ditangani terlebih dahulu. Ini keutamaan.

Saya pernah bayangkan dasar awam seperti permainan kiub Rubik. Cuma dasar awam ada pembolehubah yang tidak tetap. Hari ini seorang boleh jadi kaya, tiba-tiba esok miskin dan begitu juga sebaliknya. Nak alih-alih Rubik masyarakat kita untuk capai “keadilan” bukan perkara mudah.

Saya selalu guna istilah “greater justice” (keadilan yg lebih baik) sebab rasa mustahil capai nilai keadilan sebenar. Untuk semakin baik kita perlukan agregat masyarakat yang faham soal keadilan, sukakan keadilan, sanggup berlaku adil, sanggup berjuang mengusahakan keadilan.

Kita mungkin cenderung kepada tokoh atau kumpulan tertentu (politik atau bukan politik), atau minat dalam bidang lain yang sangat pelbagai. Kita juga sering terdorong menganggap diri sebagai seorang yang adil maka setiap penafsiran tidak mungkin mahu melihat ke dalam –  mengatakan apa yang kita buat kurang baik, kurang betul, silap bahkan zalim mengambil hak orang lain.

It is a mounting task. Semoga jadilah kita manusia yang faham dan sukakan keadilan, mahu berlaku adil dan sanggup berusaha berlaku adil. – 19 Januari, 2021.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/295993