Surat ini diterbitkan di The Malaysian Insider pada 19 May 2010

Rakan-rakan saya kini teruja menonton tayangan filem Robin Hood di pawagam.

Meskipun saya belum berkesempatan menontonnya, saya pernah mengetahui cerita rakyat Inggeris tentang Robin Hood ini semasa saya kecil.

Pemanah yang mahir ini terkenal dengan sikap ‘membantu orang miskin’. Bantuan ini tentulah sesuatu yang mulia.

Namun, bantuan yang diberikan ini adalah melalui kegiatan ‘mencuri daripada orang kaya’. Saya tidak pasti sama ada ini akan disokong oleh mereka yang berhati mulia.

Ketika saya masih seorang mahasiswa, ‘idea-idea kiri’ memang dekat dengan saya. Idea kiri sering menggunakan istilah sosial atau rakyat sebagai istilah kempen mereka. Pernah ketika sasterawan terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer meninggal dunia, saya menulis ucap selamat kepadanya dan memetik jawapannya ketika disoal “kenapa beliau mendokong aliran kiri?”.

Jawab Bung Pram “kiri adalah rakyat”.

Tulisan saya itu ditempelak oleh Khalid Jaafar: “kanan pun rakyat!”. Tempelakan ini sedikit membuatkan saya tersentak.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan seorang rakan: “Yang menarik tentang Khalid Jaafar ialah beliau tidak apologetik ketika mempertahankan pandangannya”. Ya, seringkali mereka yang menolak idea-idea kiri bersifat apologetik. Ini berlaku kerana pendokong kiri seolah-olah mendominasi penggunaan kata ‘pro-rakyat’, ‘miskin’ dan sebagainya. Maka, ketika penolakan kepada idea-idea kiri dibentangkan, ia sering dinisbahkan sebagai penolakan kepada orang miskin dan dilihat sebagai anti-rakyat. Maka, jika tidak apologetik, ia akan digambarkan sebagai kejam.

Rakan saya ini adalah satu daripada pendokong aliran kiri yang kini mula memahami libertarianisme dan yakin bahawa ia lebih baik. Memang yang selalu kedengaran ialah pendokong aliran kiri akhirnya mendokong pasaran bebas tetapi hampir tidak pernah kedengaran mereka yang mendokong pasaran bebas akhirnya menjadi pendokong idea-idea kiri.

Sementara berlaku pertembungan idea antara golongan kiri dan pendokong libertarianisme, ada yang sinis mengatakan bahawa bahawa perbincangan yang dibuat mestilah berasaskan aspek keadilan serta rasional dan mengelakkan label-label. Bersetuju dengan pandangan ini, saya fikir elok juga mereka yang mengambil sikap ini meneliti keadilan dan rasional dalam semua pandangan yang ada. Jangan menganggap bahawa label-label ini tidak mengambil kira keperluan bersikap adil dan rasional dalam penghujahan mereka. Sebab itu pertarungan idea ini berterusan — masing-masing mahu membuktikan pandangan mereka adil dan rasional.

Hal ini memerlukan penelitian lanjut kerana isu ekonomi adalah sangat luas. Antara idea yang dikemukakan oleh pendokon idea kiri ialah gaji minima dan libertarian menolaknya. Dulu, tanpa mengambil kira banyak faktor yang menyumbang kepada isu gaji, saya menerima idea gaji minima ini kerana berpendapat ia adalah sesuatu yang bagus untuk menyelesaikan desakan hidup kepada golongan berpendapatan rendah.

Sebenarnya idea gaji minima ini tidak semestinya dipelopori oleh golongan kiri. Lebih mudah untuk kita katakan ia dipelopori oleh kumpulan manusia yang percaya bahawa kerajaan adalah penyelesai masalah mereka. Kumpulan ini dipanggil statist (asal dari kata State atau Kerajaan).

Sebagai manusia, sudah tentu naluri kemanusiaan selalu mahu kemelaratan hidup yang ada dalam masyarakat diselesaikan. Kita percaya semua manusia berhak untuk kehidupan yang lebih baik. Niat ini memang baik dan betul, namun persoalannya sama seperti kes Robin Hood, adakah ia harus menghalalkan cara?

Sambil mendokong keperluan menaikkan taraf hidup rakyat, saya menolak gaji minima atas beberapa faktor, namun faktor utama ialah: Gaji minima tidak menyelesaikan masalah taraf hidup rakyat berasaskan asas ekonomi yang benar.

Pendokong gaji minima percaya dengan menaikkan gaji pekerja, masalah ini selesai. Jika ia begitu, kenapa gaji minima hanya ditetapkan RM1,500? Kenapa tidak RM5,000 supaya pekerja ini dapat terus keluar daripada lingkaran kemiskinan?

Asas ekonomi ada pada permintaan (demand) dan penawaran (supply).

Dengan asas ini, persetujuan (atau dalam bahasa ekonominya equilibrium) dibentuk. Persetujuan ini boleh terencat dengan campur tangan yang tidak perlu oleh kerajaan. Dalam kes gaji minima, satu perusahaan perniagaan misalnya mahu mendapatkan pekerja membersihkan pejabat dengan gaji RM1,000 sebulan. Syarikat ini perlu menyediakan 30 pekerja bagi membolehkannya bersaing mendapatkan kontrak yang ada.

Dalam pengertian lain, kos gaji sahaja yang akan membebankan syarikat ini ialah RM30,000 sebulan. Itu belum termasuk kos latihan, pengangkutan pekerja, asrama dan makan-minum pekerja (bagi sesetengah kes yang menyediakannya) dan keperluan untuk membolehkan perkhidmatan pekerja-pekerja ini digunakan. Selain itu, tentu syarikat ini mahukan keuntungan dalam perniagaannya.

Katakan kontrak ini bermula pada Januari 2010 selama setahun iaitu sehingga Disember 2010. Selama 12 bulan, kos gaji pekerja sahaja ialah RM30,000 x 12 = RM360,000. Itu kos gaji sahaja dan itu apa yang boleh dihitung di atas kertas.

Apa yang jarang difikirkan ialah syarikat ini perlu membuat pelaburan modal yang biasanya dibuat melalui pinjaman. Katakan syarikat memerlukan masa 1 bulan untuk latihan kepada pekerja. 1 bulan ini melibatkan kos. Gaji pekerja perlu dibayar, kemudahan berkaitan jika perlu — misalnya pengangkutan, asrama dan makan-minum — mesti dibayar. Selepas semua latihan disediakan, barulah mereka boleh secara yakin cuba bersaing mendapatkan mana-mana pihak yang memerlukan khidmat ini.

Sepanjang tempoh percubaan mendapatkan pelanggan ini, kos terus berjalan.

Semua kos ini ditanggung oleh syarikat yang mengambil risiko melalui pinjaman mereka hanya semata-mata untuk membuka peluang pekerjaan kepada 30 orang pekerja tadi.

Apakah syarikat ini memaksa pekerja ini bekerja dengannya? Tidak!

Oleh kerana jawapannya tidak, maka pekerja boleh memilih untuk tidak bekerja dengan syarikat yang menawarkan apa yang dikatakan ‘gaji tidak setimpal’ tadi dan membiarkan syarikat ini tutup kerana tidak ada pelanggan boleh dicari kerana penawaran yang ada tidak cocok dengan permintaan pelanggan. Semudah itu.

Apakah pekerja ini yang mengambil risiko pinjaman bank untuk membolehkan mereka bekerja? Tidak!

Adakah kerugian yang mungkin ditanggung oleh syarikat ini melalui pinjaman bank akibat gagal mendapatkan mana-mana pelanggan ditanggung oleh pekerja ini? Tidak!

Adakah bila syarikat ini rugi dan terpaksa menanggung hutang, akan ada yang membela mereka? Tidak!

Apa yang syarikat ini mungkin dapat daripada kumpulan ini ialah “padan muka!”.

Sebab itu Friedrich Augustus Hayek tepat dalam pandangan ekonominya berkaitan bahagian kerja (division of labour). Hayek mengatakan bahawa khidmat sosial yang pertama diberikan oleh para peniaga ialah mencipta peluang pekerjaan.

Penentang idea gaji minima sebenarnya bukanlah berminat untuk mengajak manusia bekerja di bawah orang lain. Agenda libertarian yang tulen ialah membebaskan manusia untuk mengambil tanggungjawab terhadap diri sendiri. Jika manusia gagal mengambil tanggungjawab terhadap diri sendiri, mereka akan terpaksa bekerja dengan orang lain atau mungkin terjerumus dalam masalah kehidupan yang lebih besar seperti kemiskinan atau yang mungkin jenayah.

Maka, jika mereka bekerja dengan orang lain, tanpa mengambil apa-apa risiko berhutang dan rugi, tawaran kerja itu tentulah terhad. Sebab itu kita tidak hairan apabila ramai yang berebut mahu bekerja dengan kerajaan. Mudah, bagi mereka ini (bukan semuanya), kerajaan tetap akan membayar gaji mereka meskipun mereka tidak produktif. Mereka akan merungut jika bekerja secara kontrak kerana ketidakpastian untuk kekal dan perlu terus bekerja keras untuk memastikan mereka kekal dengan pekerjaan tersebut. Itulah hasrat perniagaan, gaji setimpal biarlah dengan produktiviti kerja.

Saya yang tidak bersetuju dengan gaji minima pun tidak ada kepastian bahawa saya boleh kekal dengan kerja saya dan saya berdepan dengan risiko ini dengan lapang dada bahawa saya mesti membuktikan bahawa saya layak untuknya.

Jujurnya, saya tidak pasti sama ada mereka yang giat mendokong Akta Gaji Minima ini benar-benar pernah menjadi seorang usahawan. Jika mereka pernah, saya tidak pasti sama ada mereka mereka memperkenalkan gaji minima dalam perusahaan mereka. Jika ada, saya tidak pasti sama ada pengenalan ini telah membataskan produktiviti mereka dengan mengambil kira bilangan pekerja dan pengeluaran.

Mereka hanya berfikir mengikut logik yang tidak disertakan dengan bukti-bukti bahawa ia mampu dilaksanakan.

Baiklah, katakan syarikat tadi perlu meletakkan gaji minima dan pelanggan sedia menerima mereka dengan kos yang sama, RM30,000 untuk semua kerja yang perlu diselesaikan. Jika tadi dengan gaji RM1,000 syarikat ini boleh menyediakan peluang kerja kepada 30 orang, kini peluang kerja hanya terhad kepada 20 orang. 20 orang ini perlu menampung beban kerja yang sepatutnya diselesaikan oleh 30 orang tadi.

Inilah risikonya gaji minima. Ada 10 orang yang terkorban semata-mata untuk memenuhi keperluan 20 orang tadi. Itu boleh dikira nasib baik. Mungkin 30 orang ini langsung tidak mendapat pekerjaan kerana syarikat tadi tutup dan tidak mampu beroperasi kerana tidak ada pelanggan yang mahu menggunakan khidmat mereka.

Ramai yang lupa tentang risiko syarikat perniagaan yang sentiasa tidak menentu. Sambil itu, ramai yang hanya tahu mengkritik tanpa benar-benar mahu memahami getirnya isu yang ada.

Ketika saya menulis ini, saya tidak pentingkan pandangan seorang libertarian, tetapi saya pentingkan nilai kepada penghujahan yang ada. Ia harus dibangunkan daripada asas yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan, bukan pada hasrat yang menghalalkan apa juga cara untuk mencapainya.

Saya sukakan niat Robin Hood, tetapi saya tidak bersetuju dengan caranya.

* Amin Ahmad ialah Ahli Bersekutu di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

https://www.malaysiakini.com/news/514637