“Saya anak Malaysia. Saya anak Malaysia!”

Mungkin saya terlalu kecil pada waktu itu untuk memahami persoalan nasionalisme atau patriotisme. Namun, lagu nyanyian Dr. Sam – Saya Anak Malaysia – cukup untuk membangkitkan rasa bangga terhadap sebuah negara bernama Malaysia. Apa yang boleh saya faham kemudiannya pada lirik lagu tersebut ialah persoalan “benih baik” – campak ke laut menjadi pulau, campak ke darat menjadi gunung. Ia secara halus menggambarkan keteguhan jati diri anak Malaysia, biar apa pun penampilan luaran yang digambarkan.

Malaysia, sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tentulah menjadi satu daripada pencapaian penting. Sebenarnya, bagi yang mungkin tidak tahu, mengikut perancangan asal, penubuhan Malaysia dengan persekutuan bersama Sabah, Sarawak dan Singapura telah dirancang untuk diisytihar pada 31 Ogos 1963, selaras dengan tarikh kemerdekaan Malaysia yang telah dimahsyurkan pada 31 Ogos 1957. Namun, kerana beberapa masalah teknikal, ia ditunda kepada 16 September 1963.

Untuk saya, kemerdekaan tahun ini cukup bermakna kerana ia hadir di tengah kehangatan Ramadhan, selang beberapa hari sebelum perayaan ‘Aidilfitri bagi penganut agama Islam serta Hari Malaysia kemudiannya.

Pada malam sambutan kemerdekaan Malaysia, saya telah dijemput sebagai panelis program Di Luar Lingkungan, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) yang dihoskan oleh saudara Sayed Munawar untuk membincangkan persoalan Merdeka dan masa depan Malaysia.

Panelis pertama, saudara Uthaya Sankar S.B. memulakan komentar dengan membawa persoalan hubungan kaum dan ia menjadi isu perbincangan yang agak panjang selepasnya dalam program itu. Memang, isu hubungan kaum ini sentiasa boleh dibincangkan panjang lebar kerana banyak sudut pandang boleh diketengahkan.

Saya sendiri mempunyai sejumlah pengalaman berkaitan isu ini. Penjelajahan saya ke seluruh Malaysia bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat telah memberi peluang saya menemukan dinamika sudut pandang masyarakat. Sedikit sebanyak, ia turut membentuk wacana dan bentuk aliran politik negara Malaysia kini.

Secara umumnya, kita seakan sedang berdepan dengan sekurang-kurangnya dua sudut pandang yang bertentangan dalam wacana awam kini. Pertama, kelompok yang saya kategorikan dengan label “Anak Bangsa Malaysia”.

Kelompok kedua pula mahu dikenal dengan apa yang saya kategorikan dengan label “agama” atau “kaum”, dan paling ketara tentulah muslim (baca: beragama Islam) atau Melayu, namun ia bukan ‘kelompok kaum’ tunggal menuntut hal ini. Ini banyak dikesan semasa saya berkunjung ke Sabah dan Sarawak khususnya.

Jujurnya, saya berfikir bahawa perkembangan wacana ini bagus. Namun, saya juga dapat mengesan wujudnya kesendengan dalam prosesnya. Ia dibicarakan dalam konteks yang saling bertentangan, walhal saya melihatnya harus bersifat saling melengkapi.

Semasa program tersebut, bahkan saya juga berdepan dengan isu yang sama di banyak tempat, wujud pertikaian tentang pengenalan kaum sama ada dalam borang demografik kerajaan (bahkan swasta) atau keperluan seseorang memperkenalkan latar belakang kaumnya (pengenalan agama

dalam sesetengah kes) semasa mereka memperkenalkan diri. Untuk mereka, ini adalah sebahagian daripada apa yang membantu penyuburan semangat perkauman.

Saya pernah dipertikai keras hanya kerana mengedarkan borang maklumat diri yang mempunyai ruangan “kaum” padanya. Antara hujah yang selalu didengar ialah “Jika di luar negara, apabila ditanya, saya akan memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia (Malaysian). Saya tidak ada keluarga di negara lain (selalunya sama ada China atau India)”.

Ada juga yang agak tidak bersetuju dengan hal serupa namun sedia menulis rakyat Malaysia berbangsa Cina atau India (Malaysian Chinese atau Malaysian Indian) pada borang tersebut.

Pertikaian bukan sekadar itu. Di Sabah dan Sarawak misalnya, mereka juga tidak begitu senang dengan borang yang meletakkan pada senarai kaum itu dengan pilihan “Melayu”, “Cina”, “India” dan “dan lain-lain”.

Untuk mereka, kaum mereka bukan “dan lain-lain”. Mereka mahu nama kaum mereka juga dimasukkan ke dalam borang! Bayangkan berapa panjang borang yang kita perlu sediakan untuk tujuan memuatkan senarai semua suku kaum ini…Dalam program tersebut juga, saya ada mengeluarkan perkataan “bukan Melayu” atau “bukan Muslim” yang menurut Sayed Munawar dan diakui oleh Uthaya, boleh mencetuskan “perbincangan” lain.

Saya amat menyedari persoalan ini, bahkan saya fikir semua pertikaian tersebut ada keabsahannya tersendiri. Cuma saya berpendapat ianya mesti dibincangkan dalam kerangka yang sihat dan objektif. Justeru, saya mahu memanjangkan perbincangan ini lantaran telah menyebut di dalam program berkenaan bahawa kita, Malaysia, kini berdepan dengan isu identiti.

Ia bukan sepenuhnya bermasalah kerana dalam banyak kajian berkaitan globalisasi memang menunjukkan berlakunya semacam “pertembungan” antara apa yang disifatkan sebagai universal dan keunikan ciri sama ada individu, masyarakat, negara dan sebagainya. Ini tentunya menyentuh persoalan bahasa, pemikiran, budaya dan agama. Sesetengah pemikir domestik seperti saudara Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) misalnya, menggunakan istilah kosmopolitan

sebagai sebahagian rencah perbincangan isu ini. Tidak lama sebelum ini juga kita ada mendengar kekecohan ahli politik berbeza pendapat tentang slogan apa yang patut didahulukan. YB saudara Muhyiddin Yassin (Tan Sri) dengan Malay First-nya, YB saudara Lim Kit Siang dengan Malaysian First-nya dan YB saudara Zulkifli Nordin dengan Muslim First-nya. Menarik bukan?

Sejarah dan masa depan

Sebenarnya persoalan ini bukanlah baru. Ianya bukan tidak boleh diselesaikan. Ia terpulang kepada diri kita, sama ada mahu menyelesaikannya atau tidak. Untuk saya, ia adalah sebahagian daripada produk pemikiran. Bukan sekadar perkauman itu sendiri, bahkan agama juga boleh dijadikan justifikasi untuk memperkuatkan hujah perkauman.

Ramai tahu bahawa bukanlah asing dalam ‘kaedah politik’ untuk menyediakan masalah bagi menjustifikasikan tawaran penyelesaian ada padanya. Ia seperti percakapan awam yang ditonjolkan aktivis politik-budaya, Hishamuddin Rais tentang hal penaburan paku di jalan raya untuk membolehkan perniagaan tukar tiub tayar “hidup”.

Pada hari ini, ramai orang Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum apa pun, boleh dengan bangganya menyebut kesalahan British berkaitan “pecah dan perintah”. Sayangnya, ia sekadar dalam bentuk “orang Melayu duduk di kampung bertani, orang Cina di bandar berniaga dan orang India mengusahakan ladang di estet”. Apa yang tidak dikisahkan ialah “pecah dan perintah” itu adalah lebih daripada persoalan bentuk itu.

Saya melihat kemunculan sensitiviti tidak bertempat atau tidak terarah dalam masyarakat kita. Kita ambil misalnya “bukan muslim (selalunya disebut bukan Islam)” atau “bukan melayu” sebagai contoh. Ia bukanlah satu kaedah luar biasa dalam aspek silogisme. Ia satu cara yang boleh diguna-pakai untuk menerangkan banyak entiti lain selain menjelaskan satu entiti tertentu. Untuk saya, ia tidak salah bahkan tepat berbanding perlu menyebut satu demi satu etnik atau suku kaum yang pelbagai di dunia. Ia jauh lebih baik daripada hanya menyebut Melayu, Cina dan India, seolah-olah kaum atau suku kaum lain tidak wujud di Malaysia.

Semasa program tersebut, saya menjelaskan bahawa tidak salah untuk seseorang itu menegaskan ciri kaum pada diri mereka. Saya jelaskan bahawa isunya bukan pada ciri kaum yang tertera di mana-mana boring atau amalan agama seseorang. Isu pokok dalam kenegaraan kita, untuk saya, ialah kebebasan dan keadilan. Ini juga bukan persoalan baru bahkan sudah tertera dalam teks Pemahsyuran Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 sebelum diulang semula semasa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Sebagai seorang graduan yang dilatih dalam bidang sains tulen serta sains sosial, saya melihat wujud banyak kepentingan keperluan mengetahui aspek demografik kaum dan agama. Ia membantu pemahaman lebih baik tentang dinamika sosial yang wujud dalam masyarakat.

Ketika berdepan dengan sejumlah individu dalam masyarakat, saya mengatakan hujah bahawa pengenalan kaum pada borang maklumat diri sebagai penyuburan semangat perkauman seolah-olah mengabsahkan pertikaian sama pada konteks lain yang saya bawa kepada mereka – keperluan sekolah vernakular.

Ya, ramai rakan saya yakin bahawa kempen “Satu Sekolah Untuk Semua” perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani masalah ini. Saya fikir itu cadangan yang baik meski ianya tidak sepenuhnya dipersetujui oleh saya. Saya katakan ia baik berdasarkan pengalaman di sekolah

kebangsaan dengan sejumlah rakan-rakan Cina, India bahkan dari suku kaum Sabah dan Sarawak. Saya tidak bersetuju kerana yakin bahawa pilihan harus diberikan kepada masyarakat. Apa yang perlu diketengahkan ialah kualiti pendidikan yang setara di semua sekolah sama ada dalam konteks prasarana, kemudahan belajar, silibus dan guru.

Saya meletakkan keyakinan tinggi bahawa masyarakat Malaysia punya cita-cita tinggi melihat hubungan kaum dan agama lebih baik akan memilih keadaan lebih baik ini. Saya sedar bahawa isu ini rumit dan sulit. Di Amerika Syarikat sendiri ia masih gagal diterjemah sebagaimana diharapkan. Namun, itu tidak semestinya menjadi alat dan sebab untuk kita semua menajamkan prasangka atau bermusuh.

Saya seorang melayu, menganut agama Islam, saya tidak melihat sebarang masalah jika bertemu mana-mana rakan kaum lain, hatta seorang Yahudi, bahkan apa juga latar belakang kepercayaan agama mereka, termasuk seorang ateis. Bahkan, kerana saya seorang melayu dan penganut agama Islam-lah, saya dapat menghargai segala kepelbagaian yang ada dengan bersandarkan prinsip kemanusiaan, kebebasan dan keadilan.

Untuk saya, sebagaimana ditegaskan dalam program berkenaan dan di banyak tempat lain; pokok persoalan hubungan kaum ini, termasuk dalam hal penggunaan maklumat dalam borang perlu disandarkan kepada prinsip-prinsip tersebut dan bukan dijadikan satu pendekatan mendorong perkauman.

Saya melayu, muslim…dan saya melihat ianya tidak terpisah dengan erti hidup sebagai seorang warganegara Malaysia. Saya yakin bahawa perbezaan di kalangan kita adalah aset yang perlu dipelihara dan disemarakkan. Persoalannya, prinsip apa yang mahu kita guna-pakai?

Sempena kehangatan ‘Aidilfitri ini, kembalikanlah diri kepada fitrah. Bahawa kita semua adalah kain putih sama, sebelum dicorak atau memilih corak yang mahu ditempatkan padanya. Sesungguhnya, kejayaan atau kegagalan pada masa hadapan tidak semestinya ditentukan oleh kejayaan atau kegagalan pada masa lalu, tetapi ianya bergantung kepada pilihan kita pada hari ini.

“Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia!”

* Amin Ahmad, 28 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) (www.IDEAS.org.my).

https://www.malaysiakini.com/news/514637