18 SEPT — Setiap kali bulan Ogos dan September tiba, perbincangan mengenai sejarah negara ini dengan sendirinya muncul. Tambahan pula minat terhadapnya dilihat meningkat seiring dengan pelbagai isu semasa yang timbul.

Meskipun istilah sejarah telah lama wujud dalam perbendaharaan kata Melayu, ia tidak banyak digunakan berbanding hikayat. Sebelum abad ke-18, tulisan sejarah tidak memberi penekanan kepada ketepatan waktu dan kebenaran objektif seperti yang difahami kini. Ia berkisar dalam bentuk fiksyen, mitos, salasilah dan lagenda.

Dikatakan perkataan ‘tarikh’ dengan makna ‘sejarah’ pertama kali didengar dan difahami makna dan tujuannya oleh orang-orang Melayu pada dekad 1920-an di mana sebelum itu setiap cerita atau hikayat dewa mambang dan sebagainya diambil sebagai benar belaka (Majallah Guru, 1934).

Bagaimanapun, pensejarahan antara abad ke-18 dan abad ke-19 mula beralih dan ia tidak lagi secara mudah diketepikan. Meskipun ramai penulisnya tidak diketahui, bukti-bukti yang ada menunjukkan ia boleh dipercayai. Konsepnya elit dan nadanya bersifat politik – berorientasikan istana.

Ini tidak banyak berubah pada awal abad ke-20 sehinggalah subjek sejarah mulai diperkenalkan ke dalam kurikulum pendidikan pada tahun 1918 (di Kolej Melayu Melaka, di mana R.J. Wilkinson turut bertanggungjawab sebagai pengasasnya pada tahun 1990). Pada tahun yang sama juga R. O. Winstedt dan Daing Abdul Hamid bin Tengku Muhammad Salleh dari Selangor menulis Kitab Tawarikh Melayu (Buku Sejarah Melayu), bertujuan untuk digunakan sebagai sebuah teks di sekolah Melayu.

Tumpuan sejarah kemudiannya berkembang dan dikaitkan dengan masyarakat. Ia, meskipun cuba mencari kebenaran tentang apa yang telah berlaku pada masa lalu (bersifat objektif), pensejarahannya masih merupakan tafsiran terhadap apa yang telah berlaku (subjektif). Tambahan pula, banyak lagi yang belum dikaji meskipun sebahagian besar bahannya ada.

Sejarah sebenarnya boleh dilihat dari jauh untuk melihat gambaran menyeluruh dan dekat untuk melihat gambaran lebih jelas. Kedua-dua pandangan ini ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Begitu juga, apakah perkembangan semasa kini lebih banyak dipengaruhi oleh sejarah terdahulu atau yang terhampir.

Dijajah atau tidak?

Dalam menyiapkan penterjemahan himpunan artikel jurnal Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, saya diberitahu oleh beliau tentang banyaknya bahan sejarah berkaitan negara ini belum dikaji. Pandangan-pandangan beliau mengenai sejarah juga amat menarik dan sebahagiannya bersifat kontroversi.

Beliau tegas berpegang dengan pandangan bahawa Malaysia (merujuk kepada negeri-negeri beraja) tidak pernah dijajah, kecuali semasa tempoh singkat Malayan Union serta Negeri-negeri Selat, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, isu sama ada Tanah Melayu dijajah oleh British sebenarnya pernah dibincangkan panjang lebar dalam the Straits Times pada dekad 1920-1930-an. Pada waktu itu, Roland Braddell yang menjadi Peguam Negara menegaskan tidak.

Bukti-bukti lain turut dikemukakan beliau misalnya dalam dua isu tanah, masing-masing di Kelantan (Duff Syndicate) dan Pahang (Pahang Consolidated), serta isu saman seorang wanita Inggeris kepada Sultan Johor yang mengingkari janji untuk mengahwininya. Dalam semua kes yang dibawa kepada perhatian British pada masa itu, jawapan yang diberikan ialah Raja dan negeri-negeri tersebut berdaulat, justeru itu tidak tertakluk kepada undang-undang British.

Ini turut dinyatakan dalam Pemashoran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan Pemashoran Malaysia pada 16 September 1963 yang jelas menyatakan bahawa Melaka dan Pulau Pinang (dokumen pertama) dan Sabah, Sarawak dan Singapura (dokumen kedua) tamat daripada menjadi sebahagian jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen di mana Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa di semua negeri-negeri itu.

Apabila ditanya tentang sama ada Tok Janggut mati menentang penjajah atau tidak, beliau menjelaskan kepada saya bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Tok Janggut pada waktu itu ialah “menderhaka kepada Sultan”, dan Raja-Raja Melayu yang membenarkan British terlibat dalam banyak urusan pentadbiran pada waktu itu.

Masa depan

Sudah tentu hujah-hujah yang dikemukakan ini tidak mudah dibantah, meskipun pada hakikatnya beliau boleh menerima bahawa sebahagian tindak-tanduk British adalah bercirikan penjajah.

Dan beliau mengingatkan, “bukan terpulang kepada ahli sejarah untuk mengadili mereka yang hidup dahulu. Setiap generasi melihat masalah dengan kacamatanya yang tersendiri. Tugas ahli sejarah hanyalah untuk memahami dengan perspektif yang tepat; mudah-mudahan ini akan membantunya menghuraikan masalah zaman sekarang terutamanya jika masalah itu bersangkut paut dengan keadaan yang mula-mula muncul di masa yang telah lepas. Tiada masyarakat berubah secara mendadak dan menyeluruh walaupun berlaku revolusi. Etos sebuah masyarakat berakar di zaman yang lampau.”

Semoga kita akan berdamai dengan sejarah. Sesungguhnya masa lalu tidak dapat diubah, tetapi boleh difahami dengan pelbagai cara. Semoga kita dapat menjadikan ia asas kukuh untuk hidup bersama dengan aman, makmur dan bersatu.

Selamat Hari Malaysia!

* Noor Amin Ahmad ialah pengarah eksekutif Institute for Leadership and Development Studies (LEAD)

Friday, 18 Sep 2015 3:05 PM MYT

https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2015/09/18/sejarah-merdeka-malaysia-noor-amin-ahmad/972319