Saudara-saudari setanah air,

KATA MP | Pilihan raya kecil Tanjung Piai diadakan kerana kekosongan berikutan kematian Dr Mohd Farid Rafik, ahli parlimen yang telah dipilih oleh pengundi di sini semasa PRU-14.

Meskipun baru setahun setengah dipilih, beliau telah menunjukkan prestasi baik dengan membawa balik peruntukan hampir RM20 juta ke sini untuk pelbagai projek pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan. Namun Tuhan lebih menyayanginya. Marilah kita bersama mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

Majoriti pengundi Tanjung Piai sebenarnya telah membuat keputusan terbaik semasa PRU-14, iaitu menjadi penyumbang satu kerusi Pakatan Harapan yang telah berjaya menumbangkan BN buat pertama kali dalam sejarah. Ia disambut dengan gembira oleh masyarakat demokratik di seluruh dunia kerana kita telah menunjukkan contoh bahawa kleptokrasi boleh diatasi. Andalah pengundi yang telah mencipta sejarah ini.

Saudara-saudari setanah air,

Sejak PRU-14, kerajaan telah melaksanakan 8.5 daripada 10 manifesto utama Pakatan Harapan. Manifesto PTPTN baru dapat dilaksanakan separuh iaitu menarik semula senarai hitam kepada hampir 450,000 peminjam daripada halangan ke luar negara manakala bayaran balik bermula gaji RM4,000 belum dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan dan situasi ekonomi semasa baik di peringkat antarabangsa dan dalam negara yang belum mengizinkan. Ada yang tidak dapat dilaksanakan kerana ahli-ahli parlimen pembangkang menolaknya, misalnya pindaan Perlembagaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagaimana semasa Perjanjian Malaysia 1963. Antara sebab kelewatan pelaksanaan ini ialah hakikat bahawa pentadbiran baru kerajaan hanya ditinggalkan dengan tunai sebanyak RM450 juta dan pelbagai masalah kewangan lain yang cukup memilukan.

Selain itu, sebanyak 53 manifesto lain telah pun dilaksanakan. Ada manifesto yang dirancang untuk pelaksanaan jangka panjang.

Antara kejayaan besar kerajaan dalam menunaikan manifesto utama PH ialah menyemak semula projek-projek mega yang ditandatangani semasa pentadbiran lalu. Rundingan semula ini telah menjimatkan RM46 bilion daripada kos perjanjian asal.

GST telah dimansuhkan. Pulangan GST yang gagal dikembalikan oleh pentadbiran lalu kepada peniaga bertolak sebanyak RM19.4 bilion telah dilangsaikan

Kes Felda telah dimulakan dan kertas putih langkah pemulihan Felda telah dikemukakan di Parlimen. Dalam usaha menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, terdapat tiga mekanisma yang dikenal pasti iaitu:

a) Insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk lima tahun;

b) Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta;

c) Insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures (FGV) melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.

Saudara dan saudari setanah air,

Meskipun situasi ekonomi global tidak begitu memberangsangkan, Malaysia masih dinilai sebagai antara negara yang paling berdaya saing. Indeks Daya Saing Global (Global Competitiveness Index) menunjukkan skor Malaysia sebenarnya meningkat daripada 73.24 mata (2017) kepada 74.60 mata (2018). KDNK negara berada pada tahap tertinggi iaitu RM357.1 pada suku keempat 2018 berbanding RM340.9 pada suku keempat 2017 (zaman pentadbiran BN). Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) menunjukkan Malaysia naik sembilan anak tangga menjadi negara ke-16 teraman di dunia. Indeks Kemudahan Berniaga (Ease of Doing Business) menunjukkan Malaysia naik dari tangga ke-15 ke tangga ke-12. Jika ekonomi dunia berkembang, pasti negara kita akan kembali gagah.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) menyatakan prestasi KDNK suku ke-2 2019 (pertumbuhan 4.9 peratus) adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 suku terakhir yang dikaji dan ia mengejutkan pasaran kerana pertumbuhannya lebih tinggi daripada jangkaan kebanyakan penganalisis. Malaysia menjadi negara tunggal di rantau ini yang mencatat pertumbuhan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

Saudara dan saudari setanah air,

Kerajaan juga telah dan masih melakukan pemutihan dan ubah suai pelbagai program kebajikan dengan memperkenalkan beberapa program baru yang lebih bersasar seperti Peduli Kesihatan (PeKa), MySalam, rebat elektrik RM40 sebulan kepada B40, i-Suri dan sebagainya.

Peruntukan subsidi dan bantuan sosial telah meningkat daripada sekitar RM26.6 bilion (9.5 peratus) pada tahun 2018 kepada RM39.5 bilion (13.3 peratus) pada tahun 2020.

Jabatan Perangkaan menunjukkan inflasi berada pada kadar 0.8 peratus dan penganalisa-penganalisa ekonomi menjangkakan inflasi akan kekal di bawah 1 peratus bagi tahun ini.

Jumlah tenaga kerja pula bertambah daripada 15.04 juta (Jun 2017) kepada 15.4 juta (Jun 2018) kepada 15.7 juta orang Jun 2019). Pengangguran dicatat menurun daripada 5.5 peratus (Jun 2017) kepada 5.4 peratus (Jun 2018) kepada 5.3 peratus (Jun 2019).

Ini semua merupakan petunjuk positif bahawa asas ekonomi kita masih berdaya tahan dan mampu bangkit semula bila ekonomi dunia berkembang.

Saudara-saudari setanah air,

Pembangkang cuba memberi gambaran buruk kerana mereka terdesak selepas kehilangan kuasa. Tidak ada mana-mana kerajaan boleh melakukan segalanya dalam tempoh singkat. Namun, Pakatan Harapan telah menunjukkan komitmen yang bersungguh melalui bukti-bukti yang kami berikan ini.

Kami percaya semua pencapaian ini adalah kerana keyakinan rakyat untuk mendapatkan sebuah pentadbiran baru yang bersih dan cekap.

Kami akui masih banyak yang perlu dilakukan dan dikemaskan. Sebagaimana minum daripada gelas yang kotor, kini kita dalam proses mencuci dan mengeringkan gelas ini. Apabila ia sudah cukup bersih, air yang dituang ke dalamnya akan dapat kita nikmati sepenuhnya.

Sokongan anda sangat kami hargai. Semoga Pakatan Harapan akan lebih kuat untuk menerajui perubahan Malaysia. Anda telah mencipta sejarah dan marilah kita bersama-sama membina semula negara ini.

Undilah Haji Karmaine Sardini sebagai wakil rakyat baru Tanjung Piai. Undilah Pakatan Harapan.

Terima kasih.

Noor Amin Ahmad

Diterbitkan:  Nov 15, 2019 3:42 PM

https://www.malaysiakini.com/news/499946