Oleh: NOOR AMIN AHMAD

Dalam siri dua, saya menegaskan bahawa belanjawan bukanlah hanya sekadar angka-angka. Sebaliknya ia terkandung visi dan strategi untuk mencapainya melalui pelbagai sektor aktiviti manusia. Justeru itu, perbezaan (dan persamaan) yang sering dilihat atau didengar sebenarnya lebih banyak terkait dengan perbezaan visi atau strategi.

Sebelum pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober nanti, kita akan mendengar, membaca atau melihat melalui pelbagai media tentang apakah jangkaan orang ramai tentang belanjawan ini. Pelbagai pihak, mewakili pelbagai kumpulan masyarakat misalnya nelayan, petani, peniaga kecil, pemandu teksi, mahasiswa, wanita dan sebagainya akan ditanya harapan mereka.

Hakikatnya Belanjawan 2023 sebenarnya telah mula diusahakan sejak awal tahun 2022. Ia melibatkan proses dalaman dan luaran (melibatkan orang ramai atau pihak di luar kerajaan persekutuan).

Proses dalaman bertumpu kepada dasar sedia ada – sama ada ia mahu dikekalkan, dikembangkan, dikecilkan atau dimansuhkan sama sekali. Pilihan yang dibuat akan menentukan jumlah belanjawan yang akan diperuntukkan kepadanya. Lazimnya, satu had atau batas perbelanjaan akan ditetapkan bagi pelaksanaan dasar-dasar ini.

Di sinilah cabaran bagi pemimpin terkemudian sekiranya mereka mahu melakukan perubahan melalui dasar-dasar baru. Andaikan seseorang pemimpin mempunyai visi dan strategi yang hebat

Sekalipun, ia belum tentu mudah dilaksanakan kerana hampir setiap dasar memerlukan kos. Jika tanggungan kos untuk dasar-dasar lama sudah cukup tinggi, maka ruang anjal untuk dasar-dasar baru menjadi lebih sempit.

Ini belum termasuk program-program ‘one-off’ (yang tidak berulang, sekurang-kurangnya dalam tempoh dekat), misalnya penganjuran acara antarabangsa seperti APEC, Komanwel dan sebagainya.

Lazimnya satu nilai ambang akan ditentukan oleh kerajaan bagi pelaksanaan dasar baru atau program one-off ini.

Untuk proses luaran pula, rundingan dibuat dengan misalnya komuniti persatuan peniaga sama ada yang besar atau kecil, pelabur, badan bukan kerajaan, belia, mahasiswa, golongan seni budaya dan sebagainya termasuk daripada parti-parti pembangkang. Ia bergantung kepada seluas mana pihak kerajaan (baca: Eksekutif) mahu mendapatkan input.

Di zaman yang lebih canggih kini, input juga turut diterima secara atas talian. Sama ada jentera pentadbiran dapat memproses seluruh input yang diterima dalam tempoh yang ada sukar ditentukan, terutama dalam menentukan pilihan dasar baru. Sebanyak mana pun input diterima, tidak mungkin sesebuah kerajaan dapat melaksanakan semuanya.

Di sinilah ruang perbezaan pendapat sekali lagi boleh timbul kerana pilihan keutamaan sesebuah kerajaan mungkin tidak sepenuhnya sama seperti jangkaan mana-mana pihak.

Selalunya, ketetapan perincian belanjawan telah dibuat sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembentangannya. Ini bagi memberi ruang untuk kerja-kerja percetakan. Namun, ada sedikit ruang untuk dasar baru yang dimasukkan dalam ucapan belanjawan yang boleh dicetak kemudian, kini diberi dalam bentuk fail yang dimuat turun atas talian.

Anda sebenarnya boleh mempengaruhi penyediaan belanjawan dengan mengambil sikap proaktif khususnya dalam tempoh Mac-Ogos setiap tahun dengan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengemukakan usul, cadangan dan pandangan kepada pihak kerajaan sama ada melalui penulisan atau lontaran pandangan di pelbagai media, mengemukakan kertas kerja, memorandum, petisyen dan sebagainya.

Kata kuncinya – idea dan saluran yang ‘sampai’.

Idea pula bukan hanya pendapat umum. Paling baik ialah apabila kita telah meneliti data dan fakta sokongan, di mana kita boleh menunjukkan kesan kos pelaksanaan dasar baru kepada kerajaan dan bagaimana impak positifnya lebih menguntungkan. Meskipun keuntungan tidak selalu dalam bentuk kewangan, kemampuan menunjukkan keuntungan (atau penjimatan) kewangan lebih mudah menarik perhatian pemimpin untuk mengambil idea anda (kecuali pemimpin suka berbelanja besar untuk mencari ‘keuntungan dalam bentuk lain’).

Kata kuncinya – idea dan saluran yang ‘sampai’.

Idea pula bukan hanya pendapat umum. Paling baik ialah apabila kita telah meneliti data dan fakta sokongan, di mana kita boleh menunjukkan kesan kos pelaksanaan dasar baru kepada kerajaan dan bagaimana impak positifnya lebih menguntungkan. Meskipun keuntungan tidak selalu dalam bentuk kewangan, kemampuan menunjukkan keuntungan (atau penjimatan) kewangan lebih mudah menarik perhatian pemimpin untuk mengambil idea anda (kecuali pemimpin suka berbelanja besar untuk mencari ‘keuntungan dalam bentuk lain’).

Apa yang penting ialah penyediaan belanjawan dibuat sejak awal tahun, khususnya antara Mac ke September. Ia melibatkan proses dalaman dan luaran. Orang ramai boleh cuba mempengaruhi hala tuju dan strategi belanjawan dengan penglibatan aktif khususnya sepanjang tempoh ini.

Meskipun belanjawan dibentang setiap tahun, ia perlu menanggung dasar sedia ada sejak dulu di samping dasar baru dan program ‘one-off’ yang mahu dilaksanakan.